DUNIA

Amaro menang X Factor pertama di AS

Amaro menang X Factor pertama di AS

AFP
MELANIE AMARO memenangi trofi kemenangan program The X Factor di Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang remaja berusia 19 tahun, Melanie Amaro menjadi warga AS pertama memenangi pertandingan nyanyian The X Factor kelmarin.

Kemenangan itu melayakkan Amaro memperoleh kontrak rakaman lumayan bernilai AS$5 juta (RM15.7 juta) dan kontrak iklan Pepsi.

Tempat kedua dimenangi Josh Krajcik manakala Chris Rene pula mendapat tempat ketiga.

Kemenangan mereka diumumkan dalam program akhir musim pertama X Factor di AS yang berlangsung selama dua jam kelmarin.

Rancangan itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan barisan penyanyi popular seperti Justin Bieber, Stevie Wonder, Leona Lewis dan 50 Cent.

Amaro menyanyikan lagu popular Beyonce, Listen manakala Krajcik, 30, memetik gitar sambil mendendangkan lagu nyanyian Etta James, At Last.

Pemenang tempat ketiga, Rene, 28, pula menyanyikan lagu ciptaannya sendiri, Young Homies pada program penutup musim tersebut.

"Saingan kali ini akan menjadi benar-benar sengit," kata juri dan penerbit X Factor, Simon Cowell pada Rabu lalu.

Selepas Amaro membuat persembahan penutup pada program bahagian pertama Rabu lalu, Cowell memberitahu dia memang layak memenangi X Factor.

"Berdasarkan persembahan anda malam ini, anda memang layak untuk bergelar pemenang X Factor," kata Cowell.

Namun, ketika itu, pemenang belum diputuskan kerana undian penonton belum dikira.

Program X Factor AS itu diadaptasi daripada pertandingan nyanyian terbitan Cowell di Britain, X Factor yang mula disiarkan pada 2004.

Rancangan tersebut turut melahirkan beberapa penyanyi popular termasuk Matt Cardle dan Leona Lewis.

Di AS, pertandingan nyanyian versi AS itu ditonton oleh sekitar 12 juta penonton. - Agensi

Process time in ms: 31