HIBURAN

Tiket RM25 Search di Borneo

Tiket RM25 Search di Borneo


DARI KIRI: Yazid, Kid, Amy, Nasir dan Nordin bakal memberikan tenaga maksimum untuk Search menggegarkan Tawau dan Kuching menerusi Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo.


KONSERT Fenomena Search 30 Tahun yang berlangsung di Pulang Pinang (19 November) dan Johor Bahru (3 Disember) ternyata mendapat sambutan yang hangat daripada peminat legenda rock tanah air tersebut.

Malah, konsert yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Disember ini sempena sambutan ulang tahun Search yang ke-30 itu turut akan dibanjiri dengan peminat-peminat mereka.

Bagaimanapun, ia bukanlah kemuncak buat ahli kumpulan tersebut iaitu Amy (Vokalis), Nasir (Gitar bass), Nordin (Gitar kedua), Kid (Gitar utama) dan Yazid (Dram) untuk mengadakan konsert pada tahun ini.

Sebaliknya, hanya selepas seminggu berakhirnya konsert di Kuala Lumpur nanti, mereka akan diterbangkan pula ke dua buah negeri iaitu di Sabah dan Sarawak untuk menghiburkan peminat mereka di sana.

Dianjurkan bersama oleh Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd., Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, Sabah (24 Disember) dan Stadium Negeri Kuching, Sarawak (31 Disember).

Pada sidang akhbar baru-baru ini, Datin Nirvana Jalil Ghani selaku wakil Universal Credential Sdn. Bhd. memberitahu penganjuran konsert di kedua-dua, buah negeri tersebut adalah mahu memberi peluang kepada peminat untuk meraikan bersama ulang tahun Search yang sudah bertapak dalam industri muzik selama 30 tahun.

“Ini adalah merupakan kesinambungan kepada siri jelajah konsert yang diadakan di tiga buah negeri Semenanjung Malaysia, walaupun ia dianjurkan oleh pihak yang berlainan.

“Lagipun usaha kami untuk menganjurkan konsert di Sabah dan Sarawak adalah bagi memenuhi permintaan peminat di sana yang sudah lama menantikan persembahan secara langsung oleh Search,” jelasnya.

Menurut Nirvana, para peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut tidak perlu risau kerana harga tiket yang telah ditetapkan sangat murah dan berbaloi iaitu RM25 sahaja.

Ujarnya, dengan harga tiket tersebut pihaknya sangat berharap agar peminat legenda rock tanah air itu dapat hadir beramai-ramai memandangkan ia mampu menampung sehingga 30,000 orang.

“Jika sebelum ini peminat hanya dapat menonton persembahan Search di televisyen, maka ini adalah peluang terbaik untuk mereka sama-sama berhibur sambil meraikan ulang tahun kumpulan tersebut,” ujarnya.

Pada sidang akhbar yang sama, Amy menjelaskan peluang untuk mengadakan konsert di Sabah dan Sarawak adalah satu peluang yang sangat dinantikan.

Selain negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Amy memberitahu bahawa kumpulan Search juga sebenarnya mempunyai ramai peminat yang fanatik di kedua-dua buah negeri tersebut.

“Sudah tentu tanggungjawab kami adalah memberi yang terbaik serta persembahan mantap kepada peminat semasa konsert itu berlangsung dan dengan harapan dapat memberi kenangan paling manis buat mereka,” ujarnya.

Ditanya tentang konsep persembahan pula, Nasir menjelaskan tidak banyak perbezaan yang dibuat berbanding dengan siri jelajah konsert yang diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru sebelum ini.

Ujarnya, kelainan yang akan ditampilkan nanti adalah berdasarkan kepada beberapa aspek teknikal seperti reka bentuk pentas, penggunaan lampu dan sistem bunyi memandangkan kos yang lebih besar diperlukan untuk menganjurkan konsert di kedua-dua negeri tersebut.

“Tentang lagu-lagu yang akan dinyanyikan pula, sebanyak 20 lagu yang akan dipersembahkan dan dipetik daripada album-album Search terawal sehinggalah yang terkini,” ujarnya.

Process time in ms: 47