HIBURAN

Sejarah hidup tanpa memori

Sejarah hidup tanpa memori



JIKA mengimbau kembali kenangan 16 tahun lalu, tiada apa yang istimewanya gadis bernama Siti Nurhaliza Tarudin. Dia hanya gadis kampung yang dilahirkan di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang. Kehidupan semasa kecilnya banyak dihabiskan dengan membantu keluarga menjual kuih karipap sardin dan keria.

Namun, perubahan kehidupan anak keempat daripada lapan beradik itu mula berubah sekelip mata selepas melibatkan diri dalam dunia seni suara bermula pada tahun 1995.

Kini, dia dikenali sebagai Datuk Siti, 32, dan kejayaan yang dikecapi dalam bidang seni dan perniagaan produk Simply Siti sememangnya cukup membanggakan warga Malaysia. Tidak cukup dengan itu, dia juga mempunyai aura yang mampu membuatkan orang sekelilingnya menyanyangi dan menyanjunginya.

Bukan sengaja ingin membuka kisah lampau Siti tetapi ini semua adalah rentetan perjalanan hidup Siti daripada gadis kampung menjadi penyanyi berprolifik tinggi yang bakal disiarkan dalam saluran History (Astro 555). Menariknya, dokumentari itu bakal ditayangkan pada 11 Januari 2012 pada pukul 10 malam sempena sambutan hari jadi Siti yang ke-33.


DATUK Siti Nurhaliza memberitahu keluarganya tidak mempunyai kamera sewaktu zaman dia membesar. Justeru semua sejarah hidupnya berjalan tanpa rakaman memori secara visual.


Hakikatnya, dokumentari yang bertajuk Siti Nurhaliza itu juga bakal menyingkap rahsia dan sisi Siti yang tidak pernah diketahui peminatnya selama ini. Malah, Siti sendiri tidak menentukan atau mengedit dokumentari terbitan Red Communication Sdn. Bhd. tersebut agar ia telus ditonton masyarakat Malaysia.

Siti sendiri melahirkan rasa bangga dan tidak sangka diberi pengiktirafan untuk memaparkan kisah hidupnya dalam saluran History. Dia sedia maklum selama ini hanya orang yang bukan calang-calang sahaja berjaya memahatkan sejarah kehidupannya dalam saluran History. Antaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan penghibur tersohor, Allahyarham Sudirman Arshad.

"Kalau diikutkan ramai lagi artis senior yang lebih layak tetapi Siti dipilih. Siti bersyukur dan berbesar hati kerana perjalanan hidup dipaparkan dalam saluran History. Siti harap perjalanan hidup sepanjang 16 tahun dalam dunia seni ini dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan muda," katanya ketika ditemui pada sidang media Biografi Siti Nurhaliza di The Courtyard Garden, Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam.

Dokumentari selama sejam itu akan memaparkan bagaimana sukarnya Siti tatkala mula melangkah ke dunia seni dengan melalui pelbagai ranjau dan duri namun semuanya dapat dihadapi olehnya sehingga menjadi insan seni tersohor negara.

Hakikatnya Siti berjaya membuktikan anak gadis kampung seperti dia mampu menjadi bintang yang amat berharga sekiranya bakat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang betul.

Diterbitkan oleh penerbit filem Pisau Cukur, Lina Tan, antara individu yang ditemu bual untuk berkongsi rahsia dan kisah hidup Siti ialah pengurus yang juga kakak ipar Siti, Rozi Abdul Razak, Jennifer Tompson (penerbit Anugerah Industri Muzik (AIM), Zainal Alam Kadir (wartawan, penerbit), Adnan Abu Hassan (komposer), Nurul Shukor (jurusolek Siti) dan Michael Ong (pereka fesyen Siti).

Antara yang menarik, personaliti televisyen terkemuka, Najib Ali juga ditemubual untuk mendedahkan mengenai Siti yang pernah menyertai uji bakat untuk program Asia Bagus di Singapura sewaktu berusia 14 tahun.

Bongkar rahsia


DARI kiri: Lina Tan, Datuk Siti Nurhaliza dan Chris Humphrey.


Jika sebelum ini peminat Siti hanya melihat senyuman di sebalik wajah manisnya dan kejayaan yang dimiliki namun peminat juga dapat melihat sikap Siti yang lain di dalam dokumentari tersebut.

"Bagi yang dekat dengan Siti sahaja yang tahu bagaimana Siti menghadapi situasi sewaktu tertekan. Misalnya, juru solek Nurul Shukor yang sudah bekerjasama dengan Siti selama 10 tahun. Dia tahu bagaimana Siti juga ada kalanya memberontak dan marah ketika stres," ungkapnya yang bersikap terbuka berkongsi kehidupan peribadinya bersama peminat.

Berkongsi cerita, Siti juga mengaku tidak mempunyai foto ketika kecil kerana keluarganya tidak memiliki kamera. Jadi, ia agak menyukarkan pihak penerbit untuk mendapatkan gambarnya ketika kecil.

Mujur, teman-teman dan jiran Siti di kampung mempunyai koleksi gambar Siti dan pihak penerbitan berjaya memperoleh untuk dimuatkan dalam dokumentari Siti.

Siti juga mengaku agak emosional dan tidak dapat membendung air mata tatkala mengimbau kembali kenangan bersama arwah ayahnya, Tarudin Ismail.

"Siti cuba menahan sedih tetapi apabila mengimbau kembali kenangan bersama arwah ketika ditemu bual pihak penerbit, air mata Siti tidak dapat ditahan," katanya yang turut memberitahu suaminya, Datuk Khalid tidak akan ditemu bual di dalam dokumentari tersebut atas sebab dia tidak mahu.


SITI akan berganding dengan Johan Raja Lawak untuk sebuah program berbentuk permainan.


Kata Siti, suaminya hanya memberi dorongan untuk dia melibatkan diri dalam dokumentari tersebut.

Selain sibuk dengan projek terbaharu rakaman kisah mengenai sejarah hidupnya untuk saluran History, Siti juga akan menjadi hos rancangan permainan terkini.

Dalam rancangan itu Siti dijangka bergandingan dengan Johan (Raja Lawak) dan menjayakan beberapa permainan yang turut melibatkan para artis lain.

"Insya-Allah selepas rancangan bual bicara iaitu Siti, terkini pihak syarikat produksi Global Station mahu menghasilkan sebuah rancangan permainan pula," jelasnya.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16