HORIZON

Menjejak sejarah Bukit Kutu

Menjejak sejarah Bukit Kutu


PARA peserta pendakian meredah sebatang sungai di berdekatan petempatan Orang Asli di Kampung Pertak.


NAMANYA mungkin kedengaran sedikit lucu, namun Bukit Kutu tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, lokasi itu saban minggu sering menjadi tumpuan para penggemar dan penggiat rekreasi serta pencinta alam khususnya dari sekitar Lembah Klang.

Semuanya disebabkan keindahan alam semula jadinya yang unik dan masih kekal terpelihara sehingga kini.

Mempunyai ketinggian kira-kira 1,090 meter dari paras laut, puncak Bukit Kutu menghidangkan panorama alam yang menarik kunjungan pelawat.

Selain kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna, di situ juga pengunjung boleh melihat beberapa kesan peninggalan sejarah semasa era pemerintahan British suatu ketika dahulu.

Penulis telah lama menyimpan angan-angan untuk ke Bukit Kutu sebelum ini, namun faktor masa dan tugas sering menjadi penghalang.

Peluang itu muncul apabila apabila penulis bersama-sama 25 orang pendaki dan seorang jurupandu arah berpengalaman menyertai sebuah ekspedisi ke Bukit Kutu baru-baru ini.

Kami memulakan perjalanan selepas waktu subuh dari Kuala Lumpur ke Kuala Kubu Bharu sejauh kira-kira 70 kilometer (km). Cuaca dingin pagi menyebabkan ada dalam kalangan peserta mengambil peluang melelapkan mata seketika.

Perjalanan yang mengambil masa satu jam 15 minit itu agak lancar berikutan aliran trafik yang tidak sibuk di jalan raya.


SAAT ceria ketika bergambar secara berkumpulan di hadapan cerobong asap tinggalan British.


Kami kemudiannya tiba di penempatan baharu Kampung Orang Asli Simpang, tidak jauh dari Empangan Hulu Selangor yang menjadi laluan masuk ke Bukit Putu.

“Eh, kita dah sampai ke? Aku rasa baru saja terlelap tadi,” tanya seorang rakan penulis sebaik menyedari kenderaan yang dinaiki tiba-tiba berhenti.

Sebaik tiba di situ, semua peserta sibuk melakukan persiapan untuk memulakan pendakian. Dari riak wajah, masing-masing seakan-akan tidak sabar untuk menikmati keistimewaan Bukit Kutu dengan lebih dekat.

Seperti biasa, kami melakukan senaman ringan terlebih dahulu sebelum diberikan taklimat mengenai perjalanan ekspedisi daripada jurupandu arah.

Usai membaca doa, pendakian di awal pagi itu pun bermula. Pada mulanya, perjalanan dirasakan agak mudah. Selepas melintasi dua buah jambatan besi dalam laluan kami, kesukaran yang dilalui hanyalah merentasi bekas laluan balak.

Tidak hairanlah, sebahagian peserta masih boleh ketawa dan bergurau-senda biarpun sarat dengan kelengkapan pendakian masing-masing.

Nah, ujian sebenarnya sudah bermula. Sebatang sungai yang merentangi laluan ke sebuah perkampungan Orang Asli dari suku kaum Temuan perlu kami rentasi.

Air dingin

Mujurlah air sungai tidaklah terlalu dalam. Namun air jernih itu terlalu dingin sehingga menyebabkan sebahagian peserta tidak sabar untuk tiba di bahagian tebing.

Laluan pendakian semakin mencabar apabila kami terpaksa melalui denai securam hampir 70 darjah. Di situlah kekuatan mental dan fizikal peserta benar-benar diuji. Baju yang sebelumnya agak kering mula dibasahi peluh.

Trek denai itu kemudiannya kami tinggalkan sebelum tiba di sebuah gua kecil yang dikenali sebagai Gua Air.

Seperti namanya, di dalam gua itu terdapat aliran air yang mengalir tenang dari bawah tanah.

“Okey, kita rehat dahulu selama beberapa minit, selepas ini baru kita sambung ekspedisi,” ujar jurupandu arah kami.

Rasa dahaga menyebabkan penulis masuk ke dalam gua berbekalkan cahaya lampu suluh. Memang benar, air yang tidak diketahui dari mana puncanya itu cukup dingin dan menyegarkan.

Pendakian kemudiannya diteruskan. Kami menemui sebuah gua yang terbentuk daripada gabungan beberapa struktur bongkah batu besar yang dikenali sebagai Gua Kambing.

Menurut cerita jurupandu arah kami, gua itu mendapat namanya selepas beberapa Orang Asli menemui seekor kambing hitam berkeliaran di sekitar kawasan gua suatu ketika dahulu.


JAMBATAN besi ini adalah antara rentasan unik yang ditemui dalam laluan perjalanan.


Kami berhenti dan berehat seketika di gua itu untuk melepaskan lelah dan menjamah sedikit makanan serta minuman yang dibawa.

Ternyata perjalanan selama dua jam yang diharungi membuat semua peserta agak berselera menikmati hidangan masing-masing.

Selepas perut terisi, badan yang sebelum ini agak keletihan kembali segar. Lantas pendakian diteruskan ke puncak Bukit Kutu yang mengambil masa satu jam.

Dataran tinggal

Sesuatu yang menarik ingin dikongsi bersama pembaca, berhampiran puncak ini terdapat sebuah dataran tinggal yang amat luas.

Di sekitarnya kelihatan monumen lama kesan peninggalan penjajah British satu ketika dahulu. Antaranya ialah bekas cerobong asap, beberapa buah perigi lama dan bekas sebuah bangunan usang.

Air perigi itu kelihatan agak jernih, namun kami tidak dibenarkan mengambilnya untuk minum kerana bimbang meninggalkan risiko terhadap kesihatan.

Di bahagian puncak bukit itu terdapat sebongkah batu besar dan tinggi berhampiran kawasan perigi.

Untuk tiba di atasnya, peserta perlu memanjat menggunakan tali dan tangga yang disediakan. Agak mencabar juga, namun membayangkan kepuasan yang diperolehi, halangan itu ditolak ke tepi.


KELETIHAN menempuh cabaran perjalanan disegarkan dengan kedinginan air bawah tanah di Gua Air.


Selain bagi tujuan bergambar, di atas puncak setinggi 1090 meter itu peserta berpeluang melihat pelbagai pemandangan menakjubkan.

Jika cuaca baik, kemungkinan besar boleh melihat panorama sekitar Empangan Hulu Selangor, pekan Kuala Kubu Bharu dan kawasan pergunungan berhampiran seperti Gunung Rajah dan Gunung Ulu Semangkuk.

Bagi yang bermalam di situ, mereka berpeluang menyaksikan panorama indah matahari terbit dan terbenam serta kilauan lampu neon dari pekan Kuala Kubu Bharu dan sekitarnya.

Lebih menarik, kira-kira 50 meter dari puncak terdapat sebuah bekas lot bangunan lama tinggalan tentera British. Bagaimanapun, sebahagian binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba.

Kini yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga.

Sebelum memulakan perjalanan turun dari puncak Bukit Kutu untuk pulang, kami mengambil beberapa keping foto berkumpulan sebagai tanda kenang-kenangan.

Biarpun tempoh yang dilalui agak singkat, namun pengalaman menyertai ekspedisi ke Bukit Kutu itu amat berharga.

Selain diuji mental dan fizikal, kami juga dapat dapat menikmati panorama indah dan sejarah di kawasan Bukit Kutu dengan lebih dekat.

Process time in ms: 15