STAILO

Sentimen klasik lelaki Inggeris

Sentimen klasik lelaki Inggeris



ERA gaya hip hop pernah meledakkan arus fesyen tanah air suatu ketika dulu, namun selepas angin ketaksuban gaya tersebut terhenti, muncul pula fesyen-fesyen lain yang menjadi pilihan si jejaka.

Siapa kata lelaki Malaysia buta fesyen? Jika diperhati dengan teliti, golongan Adam tempatan gemar mengikuti trend fesyen terkini.

Kewujudan butik Topman pada era milenium ini membuka lembaran baharu dalam mekanisme fesyen lelaki Malaysia. Hampir setiap lelaki khususnya remaja memiliki sekurang-kurangnya sehelai baju T jenama Eropah itu.

Bersesuaian dengan konsep high street yang dibawa sejak tahun 1978, Topman tidak pernah gagal memberi kepuasan kepada pelanggan setianya dengan rekaan-rekaan terbaharu dan segar.

Barisan jean dengan pelbagai jenis potongan seperti skinny, slim, straight, bootcut dan carrot menjadi identiti jenama itu sejak ia mula bertapak di Malaysia.

Paling ketara ialah ilham baju T tanpa kolar berbutang tiga di leher yang menjadi kegilaan remaja. Kita dapat melihat lelaki yang memakai rekaan santai itu hingga wujudnya imitasi ke atas rekaan tersebut.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Topman merupakan jenama pelopor fesyen kepada gaya high street buat lelaki Malaysia. Lebih itimewa, harganya yang berpatutan menjadikan jenama itu mampu dimiliki oleh setiap peringkat umur.


BUTIK Topman yang terletak di Oxford Street, London merupakan cawangan butik jenama tersebut yang terbesar.


Aktor dan pengacara rancangan 3 Hari 2 Malam di TV9 dan aktor, Karl Shafek Ibrahim, 32, merupakan antara lelaki yang cukup menggemari jenama yang telah mengembangkan sayapnya ke lebih 60 buah negara itu.

“Rekaannya santai tetapi ia mampu membuat kita kelihatan bergaya dan ia seperti menyuntik keyakinan dalam diri.

“Banyak koleksi yang dihasilkan Topman tampak klasik, namun dimodenkan dalam konteks hari ini dan apabila digabungkan ia menyerlahkan karakter maskulin lelaki.

“Mereka ibarat magnet dalam mempengaruhi cita rasa fesyen lelaki Malaysia terutama apabila melibatkan elemen klasik vintaj bak lelaki tahun 70-an,” luahnya yang bakal menemui audiens dalam filem Zaiton Ceritaku dan teater 1 Plastik Hitam.

Ibarat satu pengembaraan masa apabila menyorot pandangan pada sekumpulan anak muda yang menggayakan seluar pendek khaki berwarna terang yang dipadankan dengan baju T bercorak Aztec, terasa seperti berada pada era lampau yang memiliki peradaban moden.

Jean skinny hitam yang sempit di pergelangan kaki yang disatukan dengan baju T AAA White Movement Crew bercirikan baju labuh melebihi paras punggung dengan fabrik nipis pula membentuk identiti lelaki yang tidak segan menjadi perhatian umum sekali gus membongkar keberanian mereka dalam bereksperimen dengan fesyen.

Banyak pilihan


TOPMAN berjaya menembusi pasaran tempatan kerana menawarkan saiz baju untuk lelaki Asia yang bertubuh kecil.


Sentimen klasik ala lelaki Inggeris yang begitu kuat dalam setiap rekaan Topman pantas diterima oleh anak-anak muda walaupun dalam kalangan mereka masih berada di bangku sekolah.

Percaturan warna-warna terang seperti kuning, merah dan jingga untuk seluar khaki potongan chinos atau seluar pendek atas lutut fabrik kapas dengan rona merah jambu terang, hijau dan biru muda mendominasi pilihan utama lelaki belasan tahun.

Tambah Karl, remaja zaman ini bertuah kerana banyak pilihan fesyen boleh digayakan. Bahkan, idea yang diserakkan Topman ke dalam mentaliti lelaki muda memainkan peranan penting kepada perkembangan cita rasa fesyen mereka.

“Dahulu lelaki kurang diberi pendedahan tentang fesyen kerana banyak jenama di pasaran lebih fokus kepada wanita tetapi masa telah berubah. Kini pelajar sekolah pun tahu mengikuti trend-trend terkini.

“Bermula daripada generasi mereka inilah kita dapat melihat minda fesyen golongan lelaki bercambah selari dengan ilmu milik wanita apabila mereka dewasa kelak.

“Dari situ, ideologi fesyen akan turun kepada generasi baharu sekali gus menjadikan lelaki sebagai jantina yang tidak kurang hebatnya dalam berfesyen,” ujar hos program Hip TV itu saat diminta meluahkan persepsinya berkenaan transformasi fesyen lelaki tempatan.

Sementara itu, pereka dan perunding fesyen, Faizal Hamid, 40, menyifatkan kegilaan remaja terhadap trend rekaan Topman adalah disebabkan pilihan yang pelbagai ditawarkan oleh jenama itu.

Bermula daripada pakaian formal seperti sut ke majlis-majlis rasmi, pakaian ke pejabat, kemeja ringkas sehinggalah kepada pilihan jean, seluar khaki dan aksesori, segala-galanya boleh didapati di butik tersebut. “Di London sendiri terdapat banyak butik Topman dan penerimaan lelaki Malaysia terhadap jenama ini menunjukkan bahawa mereka gemarkan rekaan yang trendy dan menyerlah.

“Remaja kita khususnya sudah berani bereksperimen dengan warna-warna terang dan tidak segan menyarungkan seluar pendek atas lutut yang dirasakan terlalu menonjol untuk seorang lelaki. “Jika kita lihat di pusat-pusat beli-belah di ibu kota, hari ini remaja lelaki kelihatan bergaya dan bijak berfesyen. “Ini merupakan bukti bahawa fesyen itu tidak statik dan sentiasa berubah-ubah sesuai dengan peredaran zaman, lelaki Malaysia era ini semakin pandai dalam berpakaian,” jelas pensyarah di Jabatan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.

Selaku butik sehenti, Topman yang berasal dari Eropah berjaya menembusi pasaran tempatan kerana mengambil kira saiz tubuh lelaki Asia yang kebanyakannya kecil. Tambah Faizal, adakalanya saiz yang disediakan Topman seperti XXS kelihatan agak pelik untuk dipasarkan, namun percaya atau tidak ia pasti habis dijual berikutan kecenderungan lelaki bertubuh kecil melabur wang mereka di butik tersebut.

Process time in ms: 47