GARAJ

Penunggang lagak ngeri terbaik dunia

Penunggang lagak ngeri terbaik dunia



SEWAKTU berusia sembilan tahun, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti menunggang motosikal. Pada usia semuda itu, motosikal roda tiga jenis ATC digunakan sebagai jentera dirt bike. Teman sepermainan di laluan off road ketika itu ialah abang dan rakan-rakannya.

Sebaik sahaja mendapat lesen menunggang pada usia 16 tahun, Tony Carbajal beralih kepada jentera beroda dua berkuasa tinggi. Motosikal pertamanya ialah sebuah Honda CBR 900RR. Jentera itu menjadi kenderaannya untuk berulang-alik ke sekolah.

Dalam perjalanan ke sekolah setiap hari itu, salah seorang rakannya yang turut memiliki sebuah motosikal sport sering melakukan aksi wheelie. Aksi berani itu nyata menarik perhatian Tony sehinggakan dia mula mempelajari asas-asas teknik wheelie.

Pembabitan jejaka kelahiran California Selatan, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang tunggangan lagak ngeri bebas (freestyle stunt riding) semakin serius apabila memiliki sebuah Honda CBR F4i. Pelbagai jenis aksi wheelie serta burnout mula didalami dan dikuasainya.

Labur wang simpanan

Mengimbau kembali pembabitan awalnya dalam dunia tunggangan lagak ngeri, Tony, 24, mengakui bukan mudah untuk mendapat restu daripada keluarganya. Alasannya, mereka bimbang terhadap kecederaan yang mungkin dialami Tony. Namun, keraguan tersebut beransur-ansur berubah menjadi sokongan.

Semua wang simpanan Tony dilabur pada motosikal. Malah gaji yang diterima daripada beberapa pekerjaan sebelum ini dijadikan modal untuk modifikasi jentera dan membaik pulih kerosakan yang dialami selepas membuat persembahan.


AKSI wheelie sambil mengangkat kaki ke atas tangki motosikal.


"Sebelum terlibat dalam stunt riding, saya pernah melakukan beberapa jenis pekerjaan. Misalnya, menukar minyak enjin kenderaan dan kemudian sebagai mekanik untuk trak-trak diesel.

"Ramai juga yang tidak tahu bahawa saya pernah bekerja sebagai tukang cuci di beberapa buah sekolah sekitar tahun 2005. Gaji yang diterima cukup-cukup sahaja untuk membeli alat ganti dan menyelenggara motosikal," katanya ketika ditemui Kosmo! sewaktu acara Bikepalooza 2011 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tahun 2005 memberi pengajaran buat Tony agar menitikberatkan soal keselamatan sewaktu mempamerkan aksi stunt. Katanya, kemalangan yang dialami pada waktu itu menyebabkan dia terlantar di hospital selama beberapa bulan.

"Waktu itu, saya tidak memakai pakaian keselamatan. Motosikal pula tidak dilengkapi dengan peralatan kemudi. Seingat saya, kelajuan tunggangan masa itu ialah kira-kira 65 batu/sejam (105 kilometer/sejam) dan aksi yang ingin dilakukan ialah stoppie. Malangnya, hendal mula goyang dan saya tercampak kira-kira 27 meter ke hadapan.

"Kulit badan dan kaki saya koyak. Malah tulang selangka, bahu, tulang pergelangan tangan dan renggang bahu patah. Itu belum dicampur dengan lebam di kawasan tulang rusuk dan paru-paru saya hampir bocor. Selama dua bulan, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk di katil hospital," ceritanya.

Biarpun ada khidmat mekanik, Tony masih mahu memeriksa semua komponen mekanikal jenteranya. Bukan soal tidak percaya, tetapi lebih baik buat sendiri. Kerosakan mekanikal ialah kebimbangan utama buat penunggang stunt ini.


TONY mengambil masa bertahun-tahun untuk menguasai pelbagai teknik wheelie dan burnout.


"Stunt riding diibaratkan seperti sky diving. Jika anda seorang penerjun profesional, sudah pasti anda tidak mahu orang lain menyiapkan beg payung terjun. Sebabnya, anda sendiri tidak tahu sama ada payung terjun itu akan berfungsi atau tidak," katanya.

Ditanya mengenai kerjaya penunggang lagak ngeri gaya bebas yang dianggap memperjudikan nyawanya, dia mengaku dan menjawab:

"Sukan ini bukan untuk semua orang. Hanya segelintir sahaja akan melakukannya. Kami memandang serius terhadap pemakaian peralatan lengkap tunggangan dan soal keselamatan sewaktu menunggang.

"Ia jauh berbeza dengan penunggang gila di atas jalan raya atau lebuh raya (pelumba haram). Nyawa pengguna jalan raya lain tidak difikirkan. Sebenarnya, golongan itu lebih bahaya berbanding kami yang beraksi di litar tertutup," jelasnya.

Process time in ms: 62