HIBURAN

Hari penentuan AIM 18

Hari penentuan AIM 18


ROSSA dan Aizat masing-masing tercalon dalam AIM 18.


ANUGERAH Industri Muzik ke-18 (AIM 18) akan berlangsung pada malam ini. AIM adalah sebuah 'medan pertempuran' serius. AIM bukan gelanggang sarkas.

Sejak ia ditubuhkan 18 tahun lalu, AIM selalu diangkat ke darjat tertinggi dalam hirarki anugerah tempatan, terutama bagi para penggiat seni hiburan.

Malangnya, semakin ia 'tua' AIM dilihat semakin rapuh, merapu dan tidak relevan, terutama bagi anak seni yang telah lelah membuat kerja seni mereka dan akhirnya bukan tidak diiktiraf, malah tidak tercalon langsung.

Itu senario yang terjadi pada AIM 18. Nama-nama anak seni yang sepatutnya tercalon dalam beberapa kategori yang dianggap relevan seperti Hujan misalnya yang sepatutnya layak dicalonkan untuk kategori Album Rock Terbaik tetapi tercicir atas alasan seorang anggota mereka, Hang Dimas merupakan rakyat Indonesia dan sebaliknya yang berlaku. Sehingga timbul ura-ura barisan penyanyi dan karyawan belakang tabir yang bertungkus-lumus menghasilkan sesuatu produk mahu memboikot anugerah yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada malam ini.

Justeru apapun keputusan yang diperoleh pada malam ini, ia tetap telah jauh menjatuhkan martabat anugerah berprestij ini sendiri walau orang kuat AIM bermati-matian mengatakan setiap sesuatu hal waima sebesar zarah sekali pun mereka ambil kira atas dasar realistik. Ini kerana tanpa pihak penganjur sedari, perasaan banyak anak seni terguris, kepercayaan sudah lama terbang dan apabila sesuatu yang selama ini menjadi harapan mereka bergantung untuk mengukur kredibiliti sudah tidak membuka ruang, semua yang berlaku tidak lagi membawa erti buat mereka.


WALAU tercicir daripada pencalonan Album Rock Terbaik, Hujan menerima banyak pencalonan belakang tabir yang dijangka akan membawa 'keuntungan' kepada mereka menerusi album Lonely Soldier Boy.


Bukan menidakkan kredibiliti calon-calon yang bertanding dan barangkali siapalah kita untuk menilai karya seni yang ada berbanding barisan profesional yang telah memilih mereka.

Bagaimanapun AIM 18 bukanlah satu medan yang terlalu busuk sehingga tidak ada satu pun kebaikan yang akan disumbang kepada anak seni serta industri. Percayalah, walau AIM 18 dikritik pedas, anugerah ini akan tetap wujud pada tahun mendatang dan terus mendapat kepercayaan bagi pengkarya muzik kerana inilah satu-satunya medan yang terbaik untuk menjadi kayu ukur produk pembikinan mereka.

Malah melihat kepada pencalonan yang ada, ia sedikit melegakan hati kerana nama-nama yang layak bertanding ada juga tersangkut dalam kategori yang dibuka. Misalnya penyanyi seperti Anuar Zain, Najwa, Aizat, Yuna dan Datuk Sheila Majid tercalon melalui karya-karya mereka dalam kategori yang selayaknya.

Jika mahu membuat prediksi tentang siapa yang bakal dinobat sebagai terbaik, barangkali semua yang tercalon mempunyai kriteria untuk menang. Namun sudah adat pertandingan, dalam satu kelompok, hanya satu sahaja yang akan dipilih sebagai paling baik. Mengikut data senarai pencalonan, Kosmo! memberi prediksi siapa yang mungkin akan dinilai sebagai terbaik pada malam ini. Semoga selepas AIM 18 berakhir pada malam ini, tiada lagi kontroversi tercetus seperti pada saat mereka mengumumkan calon yang layak bertanding. Terlebih dahulu ucapan tahniah untuk pemenang dan bagi yang tewas, teruslah memburu trofi AIM untuk tahun akan datang. - MALIAH SURIP

Process time in ms: 16