TERKINI

Dua kes culik: 6 dipercayai terlibat ditahan

Dua kes culik: 6 dipercayai terlibat ditahan

11/11/2011 8:42pm

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan berjaya menahan enam orang suspek termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam dua kes culik berasingan pada 19 dan 29 September lalu, di sini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun itu berjaya ditahan secara berasingan sejak dua minggu lalu.

Katanya, kes pertama yang berlaku berhampiran sebuah pusat beli belah di sini pada 19 September membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun telah didatangi empat lelaki yang mengacukan sebilah parang ke lehernya.

"Suspek menghubungi abang mangsa dan meminta wang tebusan sebanyak RM15,000. Abang mangsa kemudian membayar wang tebusan sebelum mangsa dibebaskan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Labu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kes kedua pula berlaku di Taman Seremban Jaya ketika mangsa, seorang wanita berusia 26 tahun sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal telah dilanggar sebuah kereta.

"Suspek kemudiannya menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan RM150,000, namun keluarga mangsa tidak membuat pembayaran sebab tidak ada duit.

"Mangsa kemudiannya dilepaskan tiga hari selepas itu di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Nilai sebelum dijumpai pegawai peronda lebuh raya itu,” kata Osman. – Bernama

Process time in ms: 1578