RENCANA UTAMA

Lembik kerana sedentari

Lembik kerana sedentari


GAYA hidup bermalas-malasan memberi kesan buruk kepada kesihatan tulang.


BEKERJA sambil duduk di atas kerusi empuk sudah menjadi budaya kebanyakan penduduk dunia. Teknologi mesin dan elektronik yang memudahkan kerja dan perkongsian maklumat membuatkan manusia selesa menggerakkan tubuh secara minimum.

Cara hidup yang tidak aktif itu dikenali sebagai gaya hidup sedentari. Sedentari merupakan sebuah terma kesihatan mengenai gaya hidup bermalas-malasan dengan sedikit aktiviti fizikal.

Gaya hidup sedentari itu diukur menggunakan unit setara metabolik. Penggunaan tenaga di bawah nilai 1.5 dalam sesuatu aktiviti menunjukkan seseorang itu mengamalkan sedentari.

Jisim tulang

Antara gaya hidup sedentari yang popular adalah duduk, menonton televisyen, menggunakan komputer dan tidur.

Menurut kajian, sedentari boleh menimbulkan banyak masalah kesihatan yang serius. Ini termasuk penyakit berkaitan kardiovaskular, obesiti dan diabetes. Ia juga dikenal pasti sebagai faktor risiko keempat dalam kadar kematian global.

Biarpun mereka yang mengamalkan sedentari sering dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit, namun ramai yang tidak sedar bahawa ia turut menyumbang kepada masalah tulang.

“Tulang terdiri daripada tisu hidup. Biarpun nampak keras, ia sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula,” ujar Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe.

Chee Howe menjelaskan bahawa gaya hidup sedentari tidak membantu dalam membentuk tulang yang sihat sebaliknya menjadi punca kepada kemerosotannya.

Justeru, orang ramai seharusnya mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak muda lagi iaitu sebelum jisim tulang mencapai kemuncaknya.

Menurut Chee Howe, kekurangan jisim tulang yang berterusan boleh mengakibatkan penyakit tulang rapuh atau osteoporosis.

Chee Howe menambah, satu-satunya cara untuk melindungi tulang daripada terus kehilangan jisim adalah dengan mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup sihat.

“Kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan jumlah keperluan kalsium harian mencukupi.

“Dengan hanya berjalan kaki selama 30 minit setiap hari dan mengambil makanan kaya kalsium, kita dapat membantu proses penguraian dan pembentukan semula tulang,” katanya pada bengkel Media Bersama Fonterra dan Anlene di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Makanan

Antara makanan terbaik untuk kesihatan tulang adalah susu berkalsium tinggi dan pelbagai produk tenusu.

Sambil menyebut kira-kira 50 peratus masalah keretakan tulang pinggul bakal berlaku di Asia menjelang tahun 2050, Chee Howe menyeru orang ramai agar menyedari hakikat itu.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangun daripada sofa dan mengambil langkah proaktif melindungi tulang mereka,” tutur Chee Howe.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Institut Sosial dan Penyelidikan Ekonomi, Universiti Essex, Britain, Dr. Kimberley Fisher, mendapati ramai golongan muda yang lebih lemah berbanding mereka yang berusia lebih tua disebabkan amalan sedentari.

Dalam kajian ke atas 1,200 orang daripada pelbagai latar belakang umur itu, Fisher mendapati rata-rata warga emas berusia 65 tahun ke atas mampu bertahan melakukan aktiviti fizikal selama hampir dua jam berbanding remaja berusia lapan hingga 19 tahun yang bertahan selama sejam sahaja.

“Mereka menjadi lemah dan lembik kerana sering mementingkan kerja di hadapan skrin komputer, bermain permainan video dan asyik menonton televisyen di sofa.

“Obses kepada hiburan elektronik menyebabkan mereka menjauhi aktiviti hiburan fizikal yang jauh lebih menyihatkan,” jelas Fisher.

Infiniti!»

Terbang, rakam dan analisis imej

PELAJAR UTM (dua dari kiri) menerangkan bagaimana UAV dikawal menggunakan perisian khas dari paparan skrin komputer.

Varia!»

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0