HORIZON

Panjat pokok sukan ekstrem baru

Panjat pokok sukan ekstrem baru



MEMERHATIKAN Nazirah Nari, 25, memanjat pokok setinggi 12 meter di Taman Tasik Shah Alam membuatkan penulis kagum. Wajah gadis kecil molek itu kelihatan serius dan begitu fokus, dahi yang kering tadi mula dibasahi peluh.

Lengkap berpakaian harness atau abah-abah yang berfungsi sebagai sokongan antara tali dan tubuh, kasut serta caribiner (gelung besi), gadis itu seakan-akan sudah bersedia menunjukkan aksinya.

Seperti aksi adiwira Spiderman, jari-jemari lembut gadis itu bingkas mencapai peralatan pencangkuk besi dinamakan jumar dan satu persatu pergerakan tolak ke atas dan tendangan dilakukan bagi mengangkat tubuh kecilnya itu sehingga mencecah dahan pokok paling tinggi yang ditetapkan.

Melihat kemampuan tiga orang gadis dari Kelab Rekreasi Shah Alam (Kresa) melakukan aktiviti lasak tree climbing atau memanjat pokok di Shah Alam baru-baru ini membuatkan penulis turut teruja serta tercabar untuk tidak melepaskan peluang mencubanya.

Dengan berbekalkan peralatan seperti seutas tali, abah-abah, carabiner, prusik cord, jumar, grigri dan decending device mereka mampu memanjat pokok setinggi 12 meter dalam masa lima minit dan turun semula dalam masa dua saat.

“Saya sebelum ini pernah menyertai aktiviti rock climbing tapi aktiviti tree climbing lebih menarik dan mencabar. Sejak diperkenalkan oleh rakan setahun lalu saya mula jatuh cinta dan ketagih dengan aktiviti memanjat pokok ini,” katanya.


AKTIVITI ini nampak mudah tapi belum cuba belum tahu cabaran yang akan dihadapi.


Menurutnya lagi, dia mula meminati aktiviti rekreasi itu sejak menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan sains sukan.

“Pelbagai aktiviti rekreasi telah saya sertai namun, tree climbing membuat dirinya dan rakan-rakan lain ketagih untuk terus melakukan aktiviti itu.

“Setiap bulan pasti ada sahaja cabaran baharu membabitkan tree climbing akan dilakukan saya dan rakan-rakan. Walaupun ia lebih mencabar dari segi stamina dan kecekapan mental namun, aktiviti ini lebih selamat dan sesuai untuk riadah seisi keluarga,” kata Nazirah yang berasal dari Klang, Selangor itu.

Seorang peserta tree climbing lagi, Farah Salwani Adzlan, 26, menjelaskan, aktiviti memanjat pokok ini telah bermula sejak abad ke-19.

Aktiviti itu hanya diaplikasikan oleh arborist atau tree worker iaitu orang yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja berkaitan pokok seperti menebang dan mengambil biji benih di atas pokok.

Aktiviti itu kemudian berkembang dan kini ia dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti rekreasi yang menarik untuk dilakukan.

Keselamatan

“Pada tahun 1983, Peter Treeman Jenkins merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan kerja-kerja di atas pokok menjadi aktiviti, Recreational Tree Climbing.

“Namun, beliau dikecam hebat pada mulanya kerana ahli-ahli arborist risau tentang keselamatan si pemanjat pokok ekoran ia telah dijadikan aktiviti rekreasi,” katanya.

Kata Farah Salwani lagi, setelah Peter menubuhkan Tree Climbers International (TCI) iaitu sekolah latihan tree climbing pertama di Atlanta, Amerika Syarikat, sukan rekreasi itu kian berkembang dan maju.

“Di Malaysia sukan rekreasi tree climbing ini telah lama bertapak tapi ia tidak dipopularkan sebagai aktiviti rekreasi yang menyeronokkan.

“Namun, dengan inisiatif sendiri seorang anak muda yang begitu mencintai aktiviti rekreasi dan tree climbing bernama Saifful Pathil mengambil langkah mempromosi sukan rekreasi ini di Malaysia,” katanya.

Aktiviti itu yang diilhamkan daripada campuran teknik-teknik rock climbing, abseiling dan waterfall abseiling itu semakin diminati ramai pada masa kini.

Sekarang terdapat banyak persatuan yang menggalakkan belia melakukan aktiviti memanjat pokok di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Britain, Kanada, Taiwan, Australia, Indonesia dan China.


SEBAHAGIAN daripada ahli Kelab Rekreasi Shah Alam (Kresa) yang juga antara pelopor aktiviti tree climbing di Malaysia.


Di Malaysia pula, Kresa merupakan antara persatuan pelopor kepada aktiviti tersebut telah menggerakkan aktiviti tree climbing dengan menggunakan garis panduan keselamatan bertulis dan latihan memanjat pokok daripada TCI.

Presidennya, Saifful Pathil berkata, perkara asas untuk seseorang itu menceburi aktiviti tree climbing adalah mereka perlu mempelajari teknik-teknik asas memanjat menggunakan tali terlebih dahulu sebelum teknik lain diajar kepada mereka.

Tambahnya lagi, antara teknik yang digunakan dalam tree climbing ialah teknik ikatan tunggal (single rope) dan dwiikatan (doubled rope) mengikut keselesaan peserta.

“Pada umumnya aktiviti ini nampak mudah tetapi, sebenarnya keseluruhan anggota badan peserta bergerak secara tidak langsung ketika sedang melakukan aktiviti ini.

“Kesukaran dan cabaran yang akan ditempuhi setiap peserta adalah melalui celahan dahan bercabang, kerapuhan kayu mati, keadaan cuaca dan faktor ketinggian,” kata bekas pelajar Universiti Teknologi Mara itu.

Tambahnya lagi, untuk asas aktiviti tree climbing kebiasaannya dia akan menjalankan aktiviti di sekitar Tasik Shah Alam.

“Untuk aktiviti yang lebih lasak atau I Got High kami laksanakan aktiviti tree climbing di Taman Botani Negara dan untuk aktiviti tree climbing yang lebih mencabar, kami lakukan di FRIM Kepong,” ujarnya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Teknik


Setiap peserta perlu memakai kelengkapan keselamatan sebelum memanjat


Menurutnya, halangan pertama setelah bergayut di atas tali tersebut, peserta akan mencabar kemampuan diri untuk menolak seluruh beban badan mereka seolah-olah sedang mendaki tangga di atas seutas tali.

“Teknik dwiikatan atau lebih dikenali sebagai yoyo lebih digemari kerana ia memudahkan peserta memanjat dan turun ke bawah dengan lebih cepat.

“Teknik ini juga membolehkan peserta menyesuaikan diri dengan tali yang dililit di bahagian dahan pokok, kaki dan pinggang pemanjat,” katanya.

Teknik ikatan tunggal pula lebih sukar kerana peserta hanya bergantung kepada kemampuan mengangkat berat badan sendiri tanpa bantuan sebarang peralatan mekanikal seperti jumar, dling dan grigri.

Saifful berkata, ciri-ciri keselamatan perlu diutamakan bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian kemalangan yang tidak diingini.

“Peserta perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sebelum memanjat, mereka perlu terlebih dahulu memastikan dahan tersebut kukuh dan mampu menampung berat badan masing-masing.

“Setiap peserta dinasihatkan untuk meneliti ikatan dan peralatan yang digunakan terlebih dahulu seperti abah-abah dan carabiner,” ujarnya. Ciri-ciri keselamatan yang perlu diutamakan adalah dengan memastikan setiap pemanjat mempunyai kelengkapan keselamatan yang lengkap iaitu tali, memakai harness dan memakai topi keselamatan.

Pokok-pokok yang dipilih untuk ditawan perlu sesuai dengan menepati ciri-ciri seperti pokok tersebut kuat, tidak mudah rapuh, tahan tekanan yang tinggi dan paling penting mempunyai dahan kayu yang besar untuk digunakan sebagai tempat untuk menggantung tali.


AKTIVITI tree climbing mencabar stamina dan kecekapan mental si pemanjat sehingga ke puncak pokok.


Sepanjang terlibat dengan aktiviti memanjat pokok, ahli-ahli Kresa hanya menjadikan pokok-pokok di hutan manakala pokok-pokok di Frim dan Tasik Shah Alam sebagi medan menguji kemahiran tersebut.

Aktiviti tree climbing itu perlu dilakukan secara berperingkat dan setiap peserta diingatkan supaya tidak terburu-buru.

Keghairahan aktiviti tree climbing itu turut dikongsi seorang wanita muda berusia 20 tahun, Nor Hamizah Mohd. Puad yang menjelaskan, aktiviti tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

“Ia berbeza dengan aktiviti abseiling kerana kaedah yang digunakan lebih mudah.

“Aktiviti ini menguji kemampuan peserta untuk mengangkat berat badan sendiri sekali gus menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang dalam ketinggian yang mencabar batasan,” katanya.

Tambahnya lagi, aktiviti itu lebih mencabar jika pemanjat meluangkan masa semalaman di atas pokok dengan menggunakan kaedah treeboats.

“Kaedah treeboats membolehkan peserta berehat atau tidur di atas pokok dengan menggunakan kanopi.

“Bagaimanapun, bagi peserta baharu, mereka perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan ketinggian 12 meter ke atas untuk membiasakan diri dengan ketinggian,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti tersebut, sila layari laman web www.kresaselangor.blogsport.com atau www.treeclimbersmalaysia.blogspot.com.

Process time in ms: 15