HIBURAN

Tidak pernah ada teman lelaki

Tidak pernah ada teman lelaki



SATU perubahan cukup bermakna untuk status kesopanan. Dari perubahan itulah nanti akan terus wujud keunggulan garis kredibiliti dan arca paradigma. Bukan mudah mencari sisi sebenar dari dalam diri.

Namun bagi figura berbakat besar dalam dunia lakonan, Diana Amir, 25, sinar hijrah yang dilaluinya lebih sebulan lalu semakin dirasakan sebati dalam aliran arteri darahnya.

"Saya tidak mahu buat benda separuh jalan, kalau kita tak kuat mungkin boleh tergelincir," tutur itu yang berbuah di mulut anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Nama yang meniti di bibir penonton sejak kemunculan di kaca televisyen melalui Impian 2, Antaranya Impian, Sari Maya, Adam Maya, Laila Asyikin dan Jalan Pinang Sebatang ini memperlihatkan diri asalnya yang berpakaian kasual, rambut beralun gemalai berserta karakter serba moden.

Namun, pilihan tekad dirinya untuk bertudung dilihat oleh pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim ini bukan mengecilkan skop kerjaya lakonannya.

Bagi Diana, kualiti lakonan seseorang pelakon tidak bergantung kepada penampilan.

"Saya tidak menyesal dengan apa yang telah saya pilih, kita perlu terus melihat ke depan.

"Dari segi karakter atau watak dalam sesebuah filem atau drama, saya tidak melihat penampilan terkini penghalang untuk saya memberikan hasil yang terbaik.

"Malah, ia satu cabaran buat saya mengembangkan sesebuah watak yang diberi dan lakonan juga sebahagian daripada dakwah saya kepada penonton," ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran dan doa selamat tiga filem serentak iaitu Assalamulaikum Cinta, Laki-Laki dan Aji Noh Motor di Wisma MIG, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sudah selesa dengan imej terkini yang diraihnya, bagi gadis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu, ada tekad yang disemai dalam jiwa.

"Kita berhijab bukan di kepala saja, tapi di hati. Kalau kita ikhlas, apa-apa dugaan kita boleh tempuhi asalkan kita menjaga hati.

"Menyesal sebelum bertudung itu ada, tapi kita kena teruskan hidup, filem-filem lama (yang ditandatangani kontrak sebelum bertudung) masih sokong (kerjaya lakonan) saya," luahnya.

Memandangkan perubahan yang telah dipilih katanya, pengarah sendiri sudah tahu akan karakter dan kesesuaian watak sebelum memanggilnya berlakon.

"Syukur Alhamdulillah, tawaran berlakon masih lagi sama seperti dulu cuma jenis watak yang ditawarkan lebih bersesuaian dengan siapa diri saya sekarang

"Pengarah akan faham, tak perlu cakap apa-apa sebab mereka tahu perubahan diri saya ini," singkap Diana.

Sokongan

Keputusan Diana bertudung katanya lahir daripada hati kecilnya yang mendambakan untuk lebih dekat dengan Maha Pencipta, selain itu hasratnya sedikit sebanyak dipengaruhi dan disokong oleh insan sekeliling.

"Ayah dan ibu suruh pakai tudung, kawan-kawan dan peminat menerusi Twitter dan Facebook pun banyak bagi maklum balas dan syukur Alhamdulillah mereka sokong apa yang saya lakukan dan saya yakin mereka mahukan yang terbaik," katanya.


DIANA menegaskan tidak pernah menyesal kerana bertudung, tetapi mengakui menyesal ketika dirinya tidak bertudung sebelum ini.


Dalam pada itu, sokongan oleh rakan artis terutamanya Wardina dan Irma Hasmie tetap tidak putus-putus.

"Mereka (Wardina dan Irma) sangat banyak membantu saya mencari diri saya sebenar, kadang-kadang kami ke usrah, kuliah agama dan sejujurnya mereka lebih faham apa yang kami lalui," ceritanya menyelak lapisan kehidupan satu demi satu.

Kriteria teman hidup

Diana bagaimanapun menegaskan dirinya masih solo ketika ditebak persoalan mengenai teman hidupnya.

Tambahnya, dia sebelum bertudung pun dia sememangnya belum mempunyai teman lelaki apatah lagi sekarang ini selepas dia mengambil keputusan untuk lebih memberikan fokus terhadap kerjaya lakonannnya.

"Tak bertudung pun tak ada teman lelaki istimewa, inikan pula sekarang.

"Pastinya itu (teman lelaki) bukan matlamat saya sekarang, tapi saya tengah mencari sasaran saya sendiri dalam hidup dan kerjaya.

"Seelok-eloknya biar saya stabilkan kewangan saya dulu," bicara si cantik manis itu lagi.

Namun, jika dibuka sedikit ruang dalam lubuk hatinya, Diana tidak menolak sekiranya ada cinta yang bertemu di kalbu.

"Kalau boleh, lelaki itu boleh membimbing saya, menjaga saya betul-betul dan menghormati keluarga saya terutama ibu bapa saya.

"Saya harapkan sebuah keluarga yang bahagia atas nama kasih sayang terhadap Allah," pintasnya yang tidak mengharapkan wajah sebaliknya kembali ke fitrah semula jadi penciptaan Adam dan Hawa.

Ditebak juga soalan nakal, apa perancangannya sepuluh tahun lagi ketika berusia 35 tahun, jawab Diana: "Ada keluarga sendiri, sudah ada anak dan waktu itu lebih baik daripada sekarang dari segi rohani, famili, duniawi dan akhirat."


FIGURA jelita ini berusaha keras untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Bisnes fesyen muslimah

Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Biar usia baru menjengah ke angka 25, Diana sudah mempunyai pelan bisnesnya sendiri.

"Saya rancang nak buka perniagaan pakaian sendiri awal tahun depan, tapi cuma melalui online (dalam talian)," getus pelakon drama Aloy dan Lu'Lu ini.

Menamakan bisnesnya 'dam.c', Diana menerangkan lebih lanjut makna di sebalik jenama pakaian muslimahnya itu.

"Diana Amir Collection atau dam.c adalah busana muslimah rekaan Anizam Yusof, signifikan saya memilihnya kerana saya selesa bekerjasama dengannya.

"Malah, saya selalu menggayakan pakaian rekaan Anizam, rekaan dia simple, kemas dan bersesuaian dengan fesyen muslimah yang saya inginkan," katanya yang tidak tergesa-gesa dengan perancangan yang mahu dibikinnya itu.

Itu cerita pencarian sisi sebenar seorang Diana Amir, kisah dia yang melalui evolusi setapak demi setapak. Biar berubah sisi pandangan mata kasar, di sebalik hijabnya hanya jauhari yang mengenal manikam.

Process time in ms: 47