GARAJ

Keunikan cabaran Shell Helix

Keunikan cabaran Shell Helix



SEHARI sebelum tibanya hari Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011, dia sukar untuk melelapkan mata. Dia juga mengaku banyak kali terjaga daripada tidur. Bimbang kalau terlepas atau terlewat untuk menghadirkan diri pada hari pertandingan.

Berkhidmat sebagai seorang cikgu di Sekolah Kebangsaan Beranang, Selangor, Rahizah Mastar, 31, merupakan satu-satunya peserta wanita yang berdepan dengan 14 orang peserta lelaki dalam peraduan anjuran Shell Malaysia. Habuannya lumayan, lawatan VIP ke Ferrari World Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November depan.

“Selepas diberitahu bahawa saya telah memenangi cabaran pertama, barulah saya membuat rujukan dan mencari maklumat lanjut mengenai Abu Dhabi. Bermula di situ, saya mula berangan untuk melawatnya. Saya tidak membuat persediaan rapi kerana tidak tahu apa yang bakal dihadapi pada hari pertandingan.

“Pada mulanya, memang agak terkejut apabila mengetahui sayalah satu-satunya peserta wanita. Kesal juga kerana tidak meletakkan nama suami sewaktu mengisi borang. Ketika itu, suami saya memberi sokongan dengan menyatakan buat yang terbaik. Menang atau kalah belakang kira,” kata Rahizah selepas diumumkan sebagai pemenang cabaran tersebut.

Dia dan tiga orang lagi peserta Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011 berjaya memenangi lawatan VIP yang bernilai RM15,000.

Mereka terpaksa mengharungi lapan cabaran selama enam jam di kawasan Bukit Bintang dan di dalam taman tema Berjaya Times Square di Kuala Lumpur. Tiga pemenang lain ialah Ghazali Ahmad, 31, Kok Chee Seng, 35, dan Seah Sin Jiun, 34.

6,000 penyertaan diterima

Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011 terbuka kepada semua pelanggan yang membeli pek empat liter minyak enjin Shell Helix Ultra atau Shell Helix HX7.


DARI kiri: Rahizah, Chee Seng, Lee Ming, Sin Jiun dan Ghazali pada majlis pengumuman pemenang program anjuran Shell Malaysia.


Cabaran itu melibatkan dua peringkat. Peringkat pertama memerlukan peserta mengira jumlah pek Shell Helix Ultra yang dipaparkan pada borang penyertaan. Mereka juga perlu menyertakan sekali resit pembelian sewaktu menghantar borang tersebut.

Sementara peringkat kedua pula melibatkan seramai 15 finalis yang dipilih melalui komputer. Mereka kemudian harus berdepan dengan pelbagai ujian di taman tema Berjaya Times Square.

Pengurus Pemasaran Kelompok Shell Lubricants Selatan Asia Tenggara, Seow Lee Ming berkata, tahun ini merupakan tahun kedua Shell Malaysia menganjurkan promosi global Shell Helix Ferrari. Tahun lalu, para pemenang dibawa melawat Itali.

Difahamkan bahawa pemenang pada tahun ini berpeluang menyaksikan jentera Ferrari 150 yang dipandu oleh Fernando Alonso dan Felipe Massa dalam Grand Prix Abu Dhabi. Selain mencuba stimulator pacuan F1 dan Gran Turismo, menaiki rollercoaster paling laju di dunia (240km/j), melawat makmal interaktif Shell dan banyak lagi.

Lapan cabaran

Kesemua 15 peserta perlu mengharung lapan cabaran, masing-masing empat cabaran di kawasan sekitar Bukit Bintang dan di dalam Taman Tema Berjaya Times Square. Cabaran pertama ialah melukis semula watak yang dipamerkan.

Kemudian, mereka perlu bersama petugas Shell Malaysia ke Al-Amar Express, sebuah restoran masakan Lebanon berhampiran pusat beli-belah Fahrenheit 88. Di sana mereka diberikan penerangan mengenai lima jenis masakan, sebelum mata ditutup untuk menjalani sesi merasa makanan tersebut.


FERARI world Abu Dhabi bakal dikunjungi empat pemenang Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011.


Setelah selesai menikmati lima jenis masakan itu, mereka perlu memadan nama masakan mengikut turutan dalam tempoh 30 saat sahaja.

Tamat sahaja cabaran itu, bermulalah pula cabaran pencarian harta karun. Harta karun yang dimaksudkan bukannya mencari barang-barang, tetapi mencari jawapan berdasarkan soalan-soalan yang diberikan. Objektifnya adalah untuk menguji minda peserta mengenai persekitaran mereka.

Lima soalan yang diberi meliputi kawasan berhampiran pintu masuk Fahrenheit 88, pintu masuk Lot 10, Plaza Sungai Wang serta kawasan di bawah dan atas jejambat berhampiran Berjaya Times Square serta Plaza Low Yatt.

Sejurus kembali ke pekarangan taman tema Berjaya Times Square, semua peserta harus menaiki roller-coaster dan perlu mencari kain rentang yang memaparkan produk-produk minyak enjin Shell. Mereka harus mengira bilangan pek Shell Helix HX7 yang dipaparkan.

G Force

Tidak semudah yang disangkakan. Trek laluan adalah sepanjang 800 meter dengan kelajuan roller coaster yang berupaya mencecah 80 kilometer/sejam. Melihat wajah-wajah peserta sewaktu roller coaster berhenti, ada yang agak pucat. Malah ada juga yang tidak lagi boleh berjalan dengan lurus. Mujur tiada mana-mana peserta yang termuntah.

Peserta kemudiannya dibawa ke cabaran kelima iaitu Ooorzt's Express. Kali ini, mereka menaiki permainan merry go round, tetapi berpusing dalam satu bulatan yang mendatar sahaja. Di sini para peserta berpeluang merasai tekanan daya G (G Force) pada dada seperti yang dialami oleh pelumba-pelumba Formula 1. Kelajuannya ialah 17 pusingan setiap minit.

Dalam cabaran ini, peserta perlu menghafal berapa jenis dan berapa kali produk minyak enjin Shell dipaparkan sewaktu dalam pusingan. Produk-produk tersebut dipaparkan dalam bentuk kad besar pada satu sudut laluan.


AKTIVITI mencari harta karun yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur.


Kad cuma ditayangkan selama 20 saat sahaja. Mereka perlu mengenal pasti produk dan kemudiannya menjawab dalam bentuk kiraan mata. Sebagai contoh, Shell Helix Ultra dan HX7 diberi tujuh mata. HX5 dan HX3 masing-masing sebanyak lima dan tiga mata.

Selepas tamat cabaran kelima, semua peserta diberi ruang untuk berehat seketika. Shell Malaysia juga ada menyediakan sarapan pagi dan tengah hari untuk semua peserta, ahli keluarga mereka serta para petugas media.

Cabaran disambung dengan Robo Crash iaitu aktiviti kereta bampar, sebelum diikuti dengan menaiki keretapi sambil mencari sepuluh botol produk minyak enjin Shell yang disembunyikan berhampiran rel keretapi dan di celah-celah dinding.

Acara terakhir dinamakan Memory Recall. Para peserta perlu membuka loker dan mencari padanan produk Shell dan dikumpulkan dalam petak khas masing-masing.

Sepanjang saingan berlangsung, ada satu perkara menarik perhatian saya. Semakin mencabar rintangan yang terpaksa dilalui, semakin akrab pula hubungan sesama mereka.

Bukan sekali, malah banyak kali ia ditonjolkan selama enam jam saya mengekori para peserta. Inilah keunikan cabaran Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011. Tahniah!

Rencana Utama!»

Reggae denyut nadi Jamaica

BOB Marley telah meletakkan muzik reggae di peta dunia dengan lagu-lagu menarik nyanyiannya.

Pesona!»

Perjuangan tingkat ekonomi ummah

ZAINAH dan suaminya bergambar bersama lapan pelajar perintis Akademi DR3 - Road To Millionaire serta kakitangan syarikatnya sewaktu pelancaran akademi tersebut baru-baru ini.

Varia!»

Cerai melalui talak taklik

LAFAZ taklik biasanya diucap selepas selesai akad nikah dan isi kandungannya adakalanya berbeza mengikut negeri. - Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32