SUKAN

Selangor harus berhati-hati

Selangor harus berhati-hati


KEZMAN antara pemain bintang yang mendapat perhatian Gergasi Merah.


PADA penghujung musim 1990-an dahulu, Selangor pernah dikecewakan dengan tindakan bekas tonggak England, Tony Cottee yang dilihat langsung tidak profesional apabila 'tergesa-gesa' meninggalkan pasukan itu sebelum kontraknya tamat.

Jika diikutkan, Cottee sebenarnya bukanlah pilihan utama skuad Gergasi Merah ketika itu jika tidak kerana bintang Arsenal, Nial Quinn yang tiba-tiba 'hilang' sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pantas menyambar Cottee berdasarkan reputasinya yang dikhabarkan cukup cemerlang ketika mewakili England di kancah persaingan antarabangsa semasa itu.

'Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari'.

Jodoh Cottee bersama Selangor tidak berpanjangan apabila dikhabarkan tidak begitu gembira sepanjang beraksi di bumi Malaysia.

Selain dilaporkan kecewa kerana terpaksa mencuci butnya sendiri, alasan Cottee yang dikatakan marah kerana tidurnya terganggu dengan bunyi jam loceng rakan sepasukannya, Ismail Ibrahim yang bangun menunaikan sembahyang Subuh ketika itu sememangnya mengundang kemurkaan peminat fanatik Gergasi Merah.

Justeru, jika benar desas-desus mengenai keinginan Selangor yang dikhabarkan mahu memancing bekas pemain Chelsea, Mateja Kezman sebagai seorang daripada dua tenaga import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, ada baiknya ia harus dinilai secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.

Keterujaan mengambil pemain berstatus bintang sememangnya berisiko walaupun sejarah membuktikan beberapa pemain terkemuka seperti David Mitchell, Allistair Edwards, Christopher Kiwomya, Mehmet Durakovic, Karel Stromsik serta dua bintang Indonesia, Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas dilihat cukup cemerlang membantu Selangor sebelum ini.

Tambahan pula sekiranya Kezman, 32, bersetuju menyarung jersi Selangor, sudah tentu ia dilihat mampu menarik lebih ramai penonton ke Stadium Shah Alam.

Ketika ini, Kezman sedang beraksi bersama kelab Belarus, Bate Borisov yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah sehingga penghujung tahun ini selepas kontraknya bersama kelab Hong Kong, South China tamat Mei lalu.

Kezman yang memulakan kariernya selaku pemain bola sepak seawal usia 19 tahun bersama kelab Serbia, FK Partizan pada 1998 turut pernah mewakili beberapa kelab ternama Eropah seperti PSV Eindhoven, Atletico Madrid, Fenerbahce, Paris St. Germain dan Zanit St. Petersburg, selain gemar menyarung jersi bernombor sembilan atau 99.

Tiada sebarang pengesahan rasmi begitupun dikeluarkan FAS setakat ini berhubung keinginan mereka memikat hati pemain kelahiran Serbia itu supaya melebarkan sayapnya beraksi di pentas Asia Tenggara pula selepas ini.

Buat masa ini, teka-teki sama ada Kezman merupakan antara empat pemain yang dikhabarkan bakal hadir ke Shah Alam untuk diuji sepanjang bulan ini masih belum terjawab lantaran FAS ketika ini baru menguji seorang pemain pertahanan berusia 29 tahun dari Korea Selatan, Hwang Moo-Kyu yang telahpun mula diuji sejak pasukan itu tewas 0-1 kepada Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor (PSS) 2011 baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin semasa ditemubual media tempatan sebelum ini juga enggan mengesahkan nama-nama calon yang bakal diuji, namun pada masa sama tidak menolak kemungkinan mereka merupakan antara pemain yang pernah beraksi di kancah Liga Perdana England.

Nama-nama itu katanya, hanya akan diumumkan sebaik saingan Piala Malaysia musim ini berakhir.

Apa pun, jangan sampai 'pisang berbuah dua kali', justeru Selangor sepatutnya lebih berhati-hati tambahan pula Kezman juga dilaporkan turut mempunyai masalah sikap.

Belajarlah daripada kesilapan silam. FAS pastinya lebih tahu natijah yang mungkin mereka hadapi jika benar mahu mendapatkan khidmat pemain bintang.

Process time in ms: 47