SUKAN

Penyokong Perak mahu serbu Stadium Shah Alam

Penyokong Perak mahu serbu Stadium Shah Alam

LEBIH 5,000 penyokong Kejor Yeop Kejor dijangka menyerbu Stadium Shah Alam bagi memberi sokongan padu kepada pasu- kan Perak pada pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia di Shah Alam, 10 Oktober ini, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Skuad bimbingan Norizan Bakar itu akan memulakan cabaran suku akhir pertama dengan menentang Selangor di Shah Alam.

Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman memberitahu, jumlah tersebut merupakan gabungan penyokong dari seluruh negeri, termasuk mereka yang berada di sekitar Lembah Kelang.

"Saya percaya jumlah tersebut akan bertambah mencecah 10,000 orang jika perlawanan suku akhir ini diadakan pada hujung minggu," jelas Abdul Jamil.

"Sebahagian besar penyokong Perak yang berada di Ipoh mungkin tidak dapat ke Shah Alam kerana perlawanan tersebut dilangsungkan pada hari Isnin."

Walaupun jumlahnya agak kecil berbanding penyokong skuad Gergasi Merah itu, Abdul Jamil percaya para penyokong Perak tetap mampu memberi sokongan mantap dalam usaha menyemarakkan semangat para pemain.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru para penyokong Perak supaya menghubungi KPBP dengan segera bagi menyusun jadual pengangkutan ke Shah Alam kelak.

Katanya, ahli KPBP akan dikenakan bayaran sebanyak RM20, manakala bukan ahli seba- nyak RM25 untuk bayaran pengangkutan.

Difahamkan, para penyokong Perak perlu membeli tiket perla- wanan masing-masing kerana kelab itu tidak dibekalkan dengan tiket bagi perlawanan berkenaan.

Abdul Jamil meminta para penyokong yang ingin ke Shah Alam supaya berkumpul di kedai KPBP di Medan Selera Stadium Perak, Ipoh sebelum pukul tiga petang pada 10 Oktober ini.

Beliau meminta para penyokong supaya menghubungi ketua rombongan, Roslan di talian 019- 5131628 untuk membuat tempahan tempat duduk.

Sementara itu, sebuah kelab penyokong Perak yang lain iaitu Kelab Seladang FC turut menyusun jadual perjalanan untuk membawa para penyokongnya ke Shah Alam.

Presiden Kelab Seladang FC, Zulkifli Che Ani memberitahu, bayaran tambang bagi ahli kelab seumur hidup sebanyak RM15, ahli biasa RM25 dan bukan ahli kelab RM35.

Beliau meminta mereka yang berminat untuk ke Shah Alam supaya berkumpul di Stadium Perak pada pukul 1.30 petang 10 Ok- tober ini.

Katanya, orang ramai yang berminat menyaksikan perlawanan itu dapat menghubungi Razlan di talian 019-5754230 untuk tempahan awal.

Process time in ms: 47