SUKAN

Pengajaran buat Gergasi Merah

Pengajaran buat Gergasi Merah


PARA pemain Singapura menjulang trofi Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Selangor 1-0 di Stadium Shah Alam kelmarin.


SELANGOR menerima pengajaran berguna menjelang pertemuan menentang Perak pada aksi suku akhir pertama kempen Piala Malaysia 2011, 10 Oktober ini.

Apa tidaknya, kekalahan 0-1 kepada Singapura pada aksi Piala Sultan Selangor kelmarin telah membuka mata pengendali skuad Gergasi Merah, P. Maniam untuk mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu dibaiki sebelum berdepan dengan skuad Seladang itu.

Maniam berkata, menerusi pertemuan menentang Singapura yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu, dia mendapati tahap kecergasan anak-anak buahnya masih belum memuaskan dan perlu ditingkatkan sebelum aksi suku akhir tersebut.

"Pertemuan menentang Singapura malam ini (kelmarin) merupakan satu perlawanan yang baik buat Selangor sebagai persiapan menentang Perak pada suku akhir Piala Malaysia nanti.

"Daripada perlawanan ini juga, saya merasakan bahawa tahap kecergasan pemain masih belum berada pada tahap terbaik.

"Jadi, tempoh enam atau tujuh hari yang kita ada sebelum berdepan Perak nanti saya akan pastikan tahap kecergasan pemain-pemain kembali berada pada tahap terbaik," kata Maniam ketika ditemui pemberita sejurus tamat aksi menentang Singapura kelmarin.

Pada aksi kelmarin, Selangor yang dilihat menguasai hampir keseluruhan perlawanan buntu dalam usaha mencari gol apabila beberapa peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Sebaliknya, Singapura yang hanya sesekali melakukan percubaan merbahaya berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas tonggak pertahanan Selangor, Mohd. Asraruddin Putra Omar tertanduk bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-65.

Berdasarkan aksi kelmarin, skuad Gergasi Merah sekali lagi dilihat bergelut dengan masalah yang sama seperti yang dihadapi mereka awal kempen Piala Malaysia musim ini iaitu ketumpulan di bahagian jentera serangan.

Bagaimanapun, Maniam yang diminta mengulas mengenai situasi tersebut berkata: "Masalah ketumpulan jentera serangan ini sebenarnya tidak timbul.

"Berdasarkan dua aksi terakhir peringkat kumpulan (menentang Polis Diraja Malaysia dan Kuala Lumpur), kami (Selangor) berjaya memenangi perlawanan dan menjaringkan gol.

"Jadi... bagi saya ia tidak menjadi masalah besar. Cuma malam ini (kelmarin) ini tuah tidak memihak kepada kami kerana beberapa peluang yang dicipta bagi menjaringkan gol gagal disempurnakan dengan baik," ujar Maniam.

Selangor bakal melayan kunjungan Perak pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam 10 Oktober sebelum bertandang ke Stadium Ipoh, Perak empat hari kemudian untuk aksi suku akhir kedua.

Rencana Utama!»

'Obama Indonesia' berjiwa rakyat

JOKOWI(kiri) bersama isterinya, Iriana (kanan) selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia.

Pesona!»

Jalani hidup sebagai penghidap kanser

ujian mamogram perlu dilakukan golongan wanita setahun sekali terutama yang berumur 40 tahun ke atas. Gambar hiasan

Varia!»

Promosi produk Negeri Sembilan

Noorshila (kiri) dan Nurrul Nadia menunjukkan produknya pada Pameran Keusahawan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31