STAILO

1Malaysia di pentas fesyen

1Malaysia di pentas fesyen

Pereka fesyen tempatan, Carven Ong menyokong program Gagasan 1Malaysia menerusi rekaan fesyen moden dan klasik.


CARVEN ONG (paling depan, kanan) menerima jambangan bunga daripada Pengurus Kanan Promosi dan Perhubungan Awam, gedung Sungei Wang, KK Lim, selepas pertunjukan Fesyen 1Malaysia.


NAMPAKNYA Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendapat sambutan dan reaksi positif daripada pelbagai pihak. Program tersebut diperkenalkan antara lain bagi memupuk semangat patriotik dan menyemai kasih sayang sesama masyarakat. Secara tidak langsung membuka mata dunia bahawa Malaysia kekal makmur dalam sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Lebih membanggakan, pada hari ini semangat 1Malaysia yang semakin giat dilaksanakan bukan saja ditonjolkan dalam bentuk kempen, aktiviti mahupun lagu. Kini, ia diterjemahkan menerusi fesyen.

Ternyata ia langkah bijak memandangkan fesyen merupakan salah satu medium terbaik mengajak pencinta fesyen terutamanya golongan muda supaya lebih menghargai warisan dan kesenian negara.

Ini terbukti apabila pereka fesyen tanah air, Carven Ong bersama akademi fesyennya melunaskan tanggungjawab mengadakan pertunjukan fesyen bertemakan Fesyen 1Malaysia.

Tambah menarik, di pentas peraga berkenaan, para penonton bukan sekadar berpeluang melihat enam pasang busana koktel anggun dan berwarna-warni ciptaan Carven Ong. Khalayak juga teruja menyaksikan koleksi pakaian hasil kreativiti 18 orang pelajar dari Carven Academy of Fashion.


CARVEN ONG (empat dari kiri) diapit barisan model yang memperagakan koleksi Fesyen 1Malaysia ciptaannya.


Pada persembahan fesyen berkenaan barisan model profesional mengatur langkah sambil memperagakan busana moden yang menerapkan kesenian setiap etnik di Malaysia.

Misalnya, blaus berpotongan seksi di bahagian belakang yang lazimnya digayakan bersama pario atau seluar telah dipadankan dengan kain batik sarung rona terang. Ini termasuklah kombinasi korset nuansa merah dan kain bermotifkan batik.

Inovasi itu jelas menunjukkan kain batik bukan sekadar pakaian di rumah tetapi ia antara pelengkap gaya menarik untuk menghiasi persada fesyen semasa.

Selain menggunakan fabrik songket, batik, renda Perancis dan sifon, Fesyen 1Malaysia tampil unik dengan penggunaan fabrik sutera Cina serta kain sari.

Bagi menyuntik pembaharuan, salah seorang pelajar cuba menghasilkan gaun malam yang diperbuat daripada kain sari warna firus. Motif yang yang sarat pada kain sari berkenaan sudah memadai sehingga tidak memerlukan pereka menghiasi gaun dengan taburan manik ataupun labuci.


PAKAIAN kasual jejaka yang bersesuaian dengan cuaca di Malaysia.


"Saya berbangga melihat kreativiti dan keberanian para pelajar menghasilkan pakaian 1Malaysia yang cantik dan mempesonakan. Siapa sangka, kesenian mahupun signatur setiap etnik di Malaysia sudah mampu memberi idea terbaik kepada pelajar untuk menghasilkan fesyen yang mengagumkan.

"Di samping itu, saya berharap pentas pertunjukan Fesyen 1Malaysia ini menjadi platform buat mereka untuk bersiap sedia sebelum melangkah ke industri fesyen yang sebenar," jelas Carven Ong, mengenai koleksi Fesyen 1Malaysia yang turut menonjolkan rekaan kaum India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

Dari aspek warna, rata-rata pelajar cenderung menggunakan palet warna bumi dan warna pelangi. Mereka menyifatkan bahawa rona coklat, kuning keemasan, merah, hijau dan jingga begitu ideal membaluti tubuh masyarakat tempatan tidak kira golongan lelaki ataupun wanita.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Rawatan bekam ketika berpuasa

BERBEKAM ketika berpuasa paling sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16