HORIZON

Kembara 4x4 selatan Thailand

Kembara 4x4 selatan Thailand


BEREHAT sebentar di sebuah lokasi mendamaikan sebelum menyambung pemanduan.


PERCUTIAN ke selatan Thailand selama sembilan hari baru-baru ini ternyata memberikan pengalaman manis kepada penulis dan isteri, Zayana Zahira Ahmad Anuar, 29.

Jika orang lain lebih selesa melancong ke Negara Gajah Putih itu dengan menaiki kapal terbang, bas atau kereta api, kami berdua memilih untuk menjelajah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4).

Destinasi yang dituju selepas melepasi sempadan Perlis adalah Krabi dan Phuket sebelum berakhir di Hatyai.

Memilih konsep perjalanan santai, kami memulakan perjalanan dari kediaman di Kerteh, Terengganu. Tidak mahu tergesa-gesa untuk terus memasuki pintu sempadan, kami sempat berhenti di beberapa destinasi menarik dalam negara seperti di Bukit Bunga di Tanah Merah, Kelantan dan Hentian Puncak Titiwangsa serta Tasik Belum di Perak.

Kami juga sempat merakamkan kenangan tatkala melawat di sekitar Gua Kelam dan Tasik Timah Tasoh di Perlis.

Perjalanan ke Thailand hanya dimulakan keesokan harinya melalui laluan di Kaki Bukit dan terus memasuki pintu sempadan di Wang Kelian.

Menariknya, kawasan sekitarnya dalam lingkungan satu kilometer meriah dengan kehadiran peniaga khususnya pada hujung minggu. Terdapat pelbagai barangan yang dijual. Antaranya seperti selimut, kelambu, pakaian dan alatan dapur, di samping deretan gerai makan yang menawarkan hidangan lazat dan menyelerakan.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Pantai Ao Nang yang terletak di wilayah Krabi yang mengambil masa pemanduan kira-kira lapan jam. Sepanjang laluan, kami disajikan pemandangan yang mengasyikkan terutamanya keajaiban landskap bukit-bukit batu.


PATONG terkenal dengan keindahan pantai dan lautnya yang membiru.


Walaupun melalui perjalanan jauh yang meletihkan, namun perasaan itu hilang sebaik sahaja kami melihat pelbagai ragam masyarakat tenpatan.

Keindahan pantai dan pasirnya yang memutih menyebabkan Ao Nang tidak pernah sepi dengan kehadiran pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara sekali gus menjadikannya antara tarikan utama di Krabi.

Deretan kedai cenderamata dan bazar membeli-belah memeriahkan kawasan pantai. Antara yang menarik perhatan penulis ialah, kehadiran galeri-galeri lukisan yang menawarkan pelbagai lukisan kotemporari dan tradisional. Setiap satunya mengetengahkan elemen Buddha iaitu agama rasmi Thailand.

Pastinya, pelancong tidak akan berasa bosan sepanjang berada di sini. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan selain daripada bermandi-manda atau berjemur di pantai. Para pelancong boleh mencuba perkhidmatan bot dan pakej percutian ke beberapa pulau seperti Phi Phi Island yang sememangnya terkenal di serata dunia.

Lawat Phuket

Pada keesokan harinya, kami memulakan perjalanan ke Phuket melalui wilayah Phang Nga. Dihubungkan oleh jambatan sejauh 500 meter dari tanah besar, pulau peranginan itu terkenal dengan keindahan pantai-pantainya seperti Patong, Kamala, Surin dan Cape Panwa selain panorama di tanah tinggi seperti Karon, Prom Thep dan Khao Kad.

Perjalanan sejauh 200 kilometer (km) ke Phuket itu juga membawa kami melihat dengan lebih dekat akan perkampungan nelayan di Thailand. Melihat cara hidup dan survival golongan itu mencari rezeki harian sedikit sebanyak menginsafkan penulis.


PASAR terapung di Khlong Hae adalah antara lokasi pelancongan popular di Hatyai.


Dalam pemerhatian penulis, keadaan jalan raya di bandar itu sentiasa sibuk dengan tuk tuk, pikap dan motosikal yang memecut bersimpang- siur. Namun, jarang sekali penulis mendengar bunyi hon yang memekakkan, malah mereka juga sangat sabar dan bertimbang rasa ketika berada di atas jalan raya.

Di sana, kami memilih untuk menginap di Pantai Patong yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Lokasi yang menjadi tumpuan pastinya, sekitar Bangla Road yang sinonim dengan deretan bar dan kelab malam yang menghuni sepanjang laluan.

Umpama sebuah pesta, situasinya bertambah meriah menjelang tengah malam dengan kehadiran pelancong asing berhibur di samping golongan ladyboy ataupun transeksual yang menari dan menyanyi bersahaja di celah-celah laluan orang ramai.

Kami tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di situ lantaran ramai peniaga Islam yang berniaga di bandar itu. Pastinya, hidangan wajib yang perlu dicuba ialah tom yam asli yang lazat lagi menyelerakan.

Aktiviti kami tidak terhad di kawasan Patong. Kami juga sempat melawat beberapa lokasi menarik di Phuket seperti Karon, Prom Thep, Cape Panwa dan Khao Kad.

Kami juga sempat melawat ke Phuket Aquarium di Cape Panwa. Di situ, kami cukup terpegun melihat pameran pelbagai spesies hidupan laut dan air tawar termasuk yang jarang dijumpai.

Pada hari berikutnya, kami memilih untuk berkanu ke dalam Gua Phung-Chang atau dikenali sebagai Gua Imaginasi yang terkenal dengan keunikan stalagmit dan stalaktit berusia ribuan tahun.

Seterusnya perjalanan diteruskan ke Pulau James Bond yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem James Bond: The Man With The Golden Gun. Berbanding beberapa tahun lalu, pulau yang dikenali dengan nama Ko Tapu dalam bahasa tempatan itu kini sudah mula dikomersialkan dengan kewujudan gerai menjual cenderamata dan kemudahan asas seperti tandas awam.

Perjalanan kami diteruskan ke petempatan penduduk Islam, di Pang Yee. Tarikan utama di pulau itu ialah deretan kedai makanan laut segar dibina di atas air.

Rentas wilayah


BANYAK gerai peniaga jalanan boleh ditemui di sepanjang laluan kembara penulis bersama keluarga.


Selepas semalaman berehat, kami merentasi perjalanan selama lapan jam dan sejauh 600km untuk ke Hatyai iaitu bandar utama di wilayah Songkhla.

Untuk ke destinasi tersebut, perjalanan kami merentasi wilayah Phang Nga, Surat Thani, Nakhon Si Thamarat dan Phattalung. Ternyata terlalu banyak pemandangan menarik dapat kami lihat dan diabadikan juga dengan kamera.

Suasana bandar Hatyai boleh dikatakan hampir sama seperti bandar-bandar lain di Malaysia. Disebabkan itu ia begitu popular di kalangan pelancong negara ini yang gemar membeli-belah.

Pada waktu malam, bandar Hatyai menjadi bertambah meriah dengan kehadiran peniaga-peniaga jalanan. Untuk memudahkan pergerakan, pengunjung boleh memilih untuk berjalan kaki atau menaiki tuk tuk dengan kadar yang berpatutan.

Tatkala leka membeli-belah, jangan terkejut, seandainya ada peniaga yang menyapa anda di dalam bahasa Melayu, malah sebahagian daripada mereka juga juga menerima wang ringgit ketika melakukan transaksi jual beli.


PENULIS sempat membeli makanan halal yang dijual peniaga Muslim di Khlong Hae.


Sama seperti di Phuket, sememangnya tidak sukar mencari hidangan halal di Hatyai kerana terdapat puluhan restoran Muslim yang boleh dikunjungi dan menepati selera anda.

Sepanjang berada dalam wilayah Songkhla, kami sempat ke Pantai Samila yang terkenal dengan mercu tanda ikan duyung. Di sana, kami sempat melawat Memorial Tentera Thailand yang menyimpan pelbagai koleksi senjata lama, artifak dan monumen bersejarah untuk tatapan pengunjung.

Lokasi terakhir yang kami lawati ialah di pasar terapung Khlong Hae yang kini menjadi tarikan popular di Hatyai. Biarpun keadaannya tidak semeriah pasar terapung seperti di Bangkok, namun kehadiran peniaga-peniaga yang menjual pelbagai barangan mereka di atas sampan tetap memberi suasana yang unik.

Tanpa dirasai, perjalanan selama sembilan hari di selatan Thailand itu menuju akhir. Tiba masa untuk kami pulang semula ke tanah air.

Perjalanan yang dilalui sejauh 750km bermula dari Bukit Kayu Hitam, Gerik, Jeli dan akhirnya sampai ke Kuala Terengganu mengambil masa hampir 14 jam.

Walaupun memenatkan, perasaan itu seakan hilang tatkala mengimbas memori indah yang dikutip sepanjang kembara kami. Kebebasan memandu dengan kenderaan sendiri sambil menghayati kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat di selatan Thailand menjadikan perjalanan sejauh 3,000km itu berbaloi.

Jelas sekali, detik percutian dengan memandu kenderaan sendiri lebih memberi kepuasan kerana ia mendekatkan kami dengan kehidupan masyarakat. Ia memberikan kami kebebasan untuk melawat dan melakukan pelbagai aktiviti tanpa desakan waktu.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0