HIBURAN

Kecoh raya Jehan, Kamal & Afiq

Kecoh raya Jehan, Kamal & Afiq



TIGA fasa, tiga personaliti dan tiga kisah hidup meniti populariti dalam versi dan pesona sendiri sama ada dalam dunia lakonan mahupun peragaan.

Siapa yang tidak kenal dengan Jehan Miskin yang mula melakar nama sekitar tahun 2011 menerusi iklan Winston Kickboxer, wajahnya semakin kerap menghiasi papan iklan dan kaca televisyen.

Bukan sekadar membikin penangan dalam industri peragaan malah turut mencetus fenomena dalam industri lakonan sama ada filem mahupun drama.

Menjengah ke era yang lebih terkedepan, aktor kacak Kamal Adli yang dipilih menjadi Hero Remaja 2007/2008 turut memulakan kerjaya seni menerusi pentas peragaan.

Malah seorang lagi aktor remaja yang kini semakin menempah tiket sukses dalam karier peragaan dan lakonan, Afiq Muiz, miliki bisa sendiri untuk menghangatkan arena seni berserta bonus sosok badan yang kekar dan sasa.

Pertemuan di Majlis Peragaan Fesyen Raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini sempat berkongsi kisah raya ketiga-tiga selebriti itu tiap kali menjelma Syawal setiap tahun.


TIGA aktor muda ini mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam dunia seni.


Jehan raya di Singapura

Pada tahun ini, Jehan Miskin atau pemilik nama Mohd. Jehan Miskin, 32, menyambut raya di Singapura.

Bukan untuk mencari keseronokan beraya di rantau orang tapi jelasnya hanya tempoh itu kesempatan bercuti diperolehnya sejak bermulanya tahun 2011 lagi.

“Saya memang perlukan cuti dan kesempatan hari raya tahun ini adalah peluang terbaik untuk saya merehatkan badan dan minda yang selama ini sibuk dengan tugas,” katanya yang memilih Universal Studio Singapura sebagai lokasi percutian.

1 Syawal tahun ini juga, percutian ke rumah rakannya di Singapura bermula dua hari sebelum raya hingga hari raya ketiga.

Pernah menyambut raya di luar negara seperti Amerika Syarikat, luah pemegang Sarjana Muda Sains Komputer dari University of Lincolnshire, Humberside, United Kingdom itu lagi, sambutan raya di Singapura sangat berbeza berbanding di Malaysia.

“Di Singapura, setiap keluarga mengenakan pakaian yang sama warna dan mereka menyewa bas untuk berkunjungan ke rumah saudara-mara.

“Satu masa dulu saya pernah beraya di Amerika Syarikat bersama adik saya, Faiz Nur Miskin, yang ketika itu belajar di Kanada, tiada yang istimewanya kerana orang di sana tidak menyambutnya semeriah di Malaysia,” ujarnya yang turut meluangkan masa melawat zoo negara dan taman burung Singapura.

Kamal letupkan katak

Berbeza pula bagi aktor berzodiak Aries, Ahmad Kamal Ahmad Adli atau lebih serasi dikenali Kamal Adli, 25, setiap kali raya adalah perkara terbaik yang berlaku dalam hidupnya setiap tahun.

“Hari raya merupakan hari yang sangat indah dan terbaik sepanjang tempoh setahun dan sememangnya itu yang ditunggu-tunggu saya memandangkan pada ketika itu saja dapat bertemu keluarga dan berkumpul sanak-saudara,” luah keterujaannya yang tidak pernah tidak beraya di kampungnya sama ada di Jitra, Kedah mahupun Pekan, Pahang berselang-seli.

Mendahulukan persiapan raya empat adiknya berserta dua anak saudaranya sebelum memikirkan empunya diri, Kamal mengakui mood raya lebih terasa apabila beraya di kawasan kampung.

“Apabila beraya di kawasan kampung saya yang ada bendang padi, terasa pula seperti dalam iklan. Sememangnya feel raya itu lagi kuat terkesan,” cerita anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Ketupat palas dan rendang ayam menjadi keutamaan Kamal di pagi lebaran sementara mercun pula menjadi kebanggaannya di kala berakhirnya Ramadan.

“Mercun itu umpama nasi bagi saya, memang perlu ada setiap kali tiba musim perayaan.

“Masih saya ingat sampai sekarang pengalaman saya meletupkan katak menggunakan mercun pada ketika saya berusia 16 tahun.


DARI KIRI: Kamal, Afiq dan Jehan sudi berkongsi kisah raya masing-masing dengan peminat dunia hiburan tanah air.


“Mujur pada ketika itu ayam yang saya sasarkan untuk diletupkan mercun terlepas dan akhirnya katak menjadi mangsa saya,” bicaranya berseloroh bersulam gelak tawa.

Pengalaman bermain mercun bukan terhenti di situ, katanya pernah juga dia membaling mercun ke dalam rumah orang yang dibencinya selepas solat Subuh.

“Rasa puas hati bila dapat balas dendam pada orang tapi itu semua perkara silam, kini perlu lebih matang dan mercun bukan lagi menjadi kewajipan semasa raya,” katanya yang kini memilih mercun bunga api berdasarkan kematangannya.

Rentak Afiq

Mengagumi aktor kacak Hugh Jackman dan mendambakan kualiti serta pesona yang dimiliki bintang Wolverine itu, ujar Afiq Muiz, 19, atau pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, dirinya masih lagi mentah dan memerlukan bimbingan daripada pelakon senior.

Bakat lakonan yang dihidu kesan daripada keaktifannya dalam dunia peragaan membuahkan hasil menerusi drama pertamanya iaitu Darah Pontianak pada tahun lepas.

Selepas terlibat dalam pementasan teater Gelanggang Tuk Wali beberapa bulan lalu, katanya keyakinan untuk menggalas peranan yang lebih berat makin diperoleh.

“Syukur Alhamdulillah kini saya sudah mendapat rentak untuk memulakan perjalanan dalam dunia seni, bagaimanapun saya masih memerlukan bimbingan pelakon-pelakon senior untuk saya bertapak dalam bidang ini,” ujar pelakon baharu yang mendapat pendidikan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.

Sepanjang berkelana selama hampir dua tahun dalam industri seni katanya bajet kali ini antara yang paling banyak dikeluarkannya semata-mata untuk raya.

“Lebih RM1,000 saya sediakan untuk angpau raya saja dan setakat ini jumlah itu yang paling banyak pernah saya keluarkan,” katanya yang menantikan kuih tart buatan ibunya setiap kali tibanya Syawal.

Bajet raya juga tertumpu pada persiapan raya di rumah keluarganya termasuk membeli kuih-muih raya, pakaian dan hiasan baharu sempena Aidilfitri.

Varia!»

Perancangan pewarisan harta

PEWARISAN harta membolehkan kita membantu saudara-mara miskin atau anak angkat yang tidak dikategorikan sebagai waris dalam hukum faraid. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15