SUKAN

Memang gambar saya – Apek

Memang gambar saya – Apek


GAMBAR Khairul Fahmi dan Dalia yang dikatakan diambil di Universal Studio di Singapura.


SEPANG – Kapten skuad bola sepak Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat akhirnya tampil membuat pengakuan bahawa beliau adalah individu yang berpegangan tangan dengan model sambilan, Dalia Teck, 18, dalam sekeping gambar yang tersebar di Internet sejak awal bulan ini.

Pada masa sama, Khairul Fahmi, 22, atau lebih mesra dipanggil Apek turut mengesahkan bahawa beliau kini secara rasmi bukan lagi bergelar tunangan kepada Aimie Harmelia Mohd. Hashumi, 22, atau Elia setelah cincin pertunangan sudah pun dipulangkan.

“Memang itu gambar saya. Saya dengan dia (Dalia) pun mula bertambah rapat selepas saya menghadapi masalah dengan Elia. Jadi apabila isu putus tunang ini timbul, dia dikaitkan sebagai orang ketiga.

“Tapi bagi saya dia bukanlah punca saya dan Elia putus tunang kerana hubungan kami sememangnya telah menghadapi masalah sebelum itu lagi,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam kelmarin.

Khairul Fahmi bersama-sama 26 pemain skuad Olimpik negara yang lain tiba dari Slovakia setelah sebulan berada di sana untuk sesi latihan dan siri perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi aksi sulung pusingan akhir Zon Asia, Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Jepun di Tosu.

Gambar Khairul Fahmi dan Dalia yang dikatakan diambil ketika mereka bersiar-siar di Universal Studio di Singapura telah tersebar di laman sosial dan blog tetapi tiada sebarang komen balas diperoleh ketika itu memandangkan beliau di Slovakia.

Menjelaskan tentang pemulangan cincin pertunangannya kepada keluarga Elia, Khairul Fahmi berkata, urusan tersebut telah diselesaikan oleh keluarga angkatnya sewaktu beliau berada di Slovakia.

“Memang ketika saya berlepas ke Slovakia (pada 3 Ogos lalu), isu putus tunang ini masih belum diselesaikan dengan sepenuhnya.

“Memandangkan keluarga saya berada jauh di Kota Bharu, saya telah menyerahkan cincin itu kepada keluarga angkat saya di Kuala Lumpur dan mereka sudah pun berjumpa dengan keluarga Elia untuk memulangkan semula cincin ketika saya di Slovakia.

“Saya harap segala isu berkaitan putus tunang ini selesai dengan baik dan tidak timbul lagi masalah selepas ini,” ujar penjaga gol skuad Liga Super Kelantan itu.

Tanpa mahu memikirkan hal itu lagi, Khairul Fahmi yang juga penjaga gol utama skuad bola sepak kebangsaan kini mahu mengorak langkah dengan memberi fokus penuh terhadap kariernya.

“Ketika bertugas, saya akan beri seratus peratus. Saya mahu jaga karier saya. Banyak lagi perkara yang saya perlu fokus terutama untuk mengharungi saingan Kelayakan Olimpik 2012.

“Jadi saya tak mahu isu-isu di luar padang seperti ini mengganggu atau menjejaskan tumpuan saya di atas padang,” jelas Khairul Fahmi.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 31