SUKAN

Kami bagai satu keluarga – Khairul Fahmi

Kami bagai satu keluarga – Khairul Fahmi

LIMA minggu berkampung di Slovakia bukan saja memberi peluang kepada skuad Olimpik negara memberi fokus terhadap sesi latihan serta mengharungi tujuh perlawanan persahabatan.

Malah tempoh tersebut juga sebenarnya penting bagi membentuk serta mengeratkan lagi perhubungan di antara 30 pelatih skuad negara bagi memastikan mereka lebih memahami antara satu sama lain.

Ini kerana, daripada 30 pelatih tersebut, hanya 20 pemain yang sudah biasa tinggal bersama kerana mereka beraksi untuk skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Super.

Baki 10 lagi pemain merupakan mereka yang beraksi dengan pasukan lain iaitu Khairul Fahmi Che Mat (gambar) dan Izuan Solahudin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS), Azrul Azmi (Felda United) serta Nazmi Faiz Mansor dan Syazwan Tajuddin (Harimau Muda B).

Hal itu diakui sendiri Khairul Fahmi, 22, atau lebih popular dipanggil Apek yang merupakan kapten skuad Olimpik negara.

“Sepanjang berada di Slovakia, kami dapat belajar banyak perkara dan segalanya tampak semakin baik dari hari ke hari.

“Pemain-pemain yang baru dipanggil pertama kali pada kem latihan kali ini juga telah menunjukkan prestasi yang baik dan kesemua mereka bersaing untuk merebut tempat.

“Apa yang penting ialah persiapan untuk menghadapi Jepun. Jurulatih (Ong Kim Swee) telah banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada semua pemain.

“Malah sepanjang lima minggu di Slovakia ini, kami dah macam satu keluarga dan kini lebih mengenali dengan rapat antara satu sama lain,” kata Khairul Fahmi ketika ditemui Kosmo! sejurus tiba di KLIA, Sepang malam kelmarin.

Ditanya tentang persediaan fizikal dan mental bagi menghadapi Jepun pada 21 September depan, Khairul Fahmi berkata, perlawanan persahabatan bertemu pasukan kuat di Slovakia telah memberi serba sedikit bayangan.

“Setiap kali turun bertemu kelab di Slovakia tempoh hari, kami menganggap ia seperti menentang pasukan Jepun.

“Alhamdulillah kami berjaya mempamerkan prestasi yang baik dengan memenangi lima perlawanan dan hanya tewas dua kali. Harap prestasi baik ini terus dikekalkan sehingga pertemuan dengan Jepun,” jelas penjaga gol Kelantan itu.

Namun komitmen bersama skuad Olimpik memaksa Khairul Fahmi melupakan seketika empat aksi awal peringkat kumpulan Piala Malaysia bersama Kelantan yang bermula 6 September ini.

“Bagi saya yang penting adalah perjuangan negara. Jadi saya perlu beri fokus sepenuhnya terhadap tugas bersama skuad Olimpik ini terlebih dahulu.

“Selepas perlawanan menentang Jepun, barulah saya boleh fikir untuk membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia,” ujarnya.

Sepanjang ketiadaan Khairul Fahmi, gawang skuad Kelantan akan dikawal penjaga gol kedua mereka, Shahrizan Ismail.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47