SUKAN

‘Terima kasih KOAM’

‘Terima kasih KOAM’

NORASEELA akan kembali mendapat bimbingan Henni Kriel apabila menjalani latihan di Afrika Selatan.


KEPUTUSAN Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang mahu menghantar Noraseela Khalid menjalani latihan di Afrika Selatan disambut baik oleh atlet 400 meter lari berpagar wanita negara.

Bukan sahaja dapat menjalani latihan, malah Noraseela juga akan kembali mendapat khidmat bimbingan jurulatihnya sebelum ini, Henni Kriel seperti mana ketika dia berada di Afrika Selatan tahun lalu.

Bagi Noraseela, KOAM telah melakukan satu keputusan yang bijak dengan menghantarnya ke Afrika Selatan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan.

“Memang saya gembira selepas mendapat tahu KOAM akan menghantar saya menjalani latihan di Afrika Selatan dan ia merupakan satu keputusan yang bijak.

“Apa yang lebih penting adalah saya kembali bersama dengan jurulatih saya sebelum ini Kreil.

“Selepas pulang ke Malaysia pada Jun tahun lalu, saya sudah tidak mendapat bimbingan daripada mana-mana jurulatih dan hanya berhubung dengan Kriel menerusi emel sahaja. Ia ternyata yang sukar untuk saya.

“Jadi... peluang menjalani latihan semula di Afrika Selatan kali ini akan saya gunakan sebaik-baiknya dalam usaha mempersiapkan diri sebelum menyerti Sukan SEA nanti,” kata Noraseela.

Sebelum ini, Noraseela meluahkan kekecewaannya selepas terpaksa menjalani latihan secara bersendirian sejak pulang ke Malaysia dari Afrika Selatan pada Jun tahun lalu.

Malah, atlet berusia 32 tahun itu turut mengakui bahawa ia merupakan salah satu faktor utama mengapa dia gagal menyerlah pada Kejohanan Olahraga Trek dan Balapan Asia (ATF) 2011 di Kobe, Jepun pada Julai lalu.

Turut bersama Noraseela ke Afrika Selatan ialah tiga lagi atlet yang turut layak ke Sukan SEA iaitu dua atlet 400 meter lari berpagar lelaki, Mohd. Firdaus Masalan dan Mohd. Baihaqi Razlan serta Rayzam Syah Wan Sofian (110 meter lari berpagar lelaki).

Ditanya mengenai sasarannya pada Sukan SEA nanti, Noraseela menjawab: “Sudah pasti saya mahu mempertahankan pingat emas yang saya menangi di Loas pada 2009.

“Maltamat utama saya adalah memenangi pingat emas. Bagi saya itu adalah lebih penting jika dibandingkan dengan catatan masa yang akan saya rekodkan nanti.

“Sukan SEA bukanlah satu temasya yang besar malah atlet pun tidak ramai yang mengambil dalam acara saya ini.

“Jadi memenangi pingat emas sudah cukup memberi kepuasan dalam diri saya,” ujar Noraseela yang memiliki catatan peribadi terbaik 56.02 saat.

Sebagai rekod, Noraseela berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Vientiane, Loas selepas mencatat masa 56.9 saat.

Process time in ms: 0