RENCANA UTAMA

Bapa seni moden Malaysia

Bapa seni moden Malaysia




TARIKH 30 Julai baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian tokoh terkemuka bidang seni rupa, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal.

Ketika umat Islam sibuk menyambut kedatangan Ramadan, Seniman Negara yang berasal dari Muar, Johor itu meninggal dunia di kediamannya pada pukul 9 malam ketika berusia 82 tahun.

Pemergiannya satu kehilangan besar bagi negara sekaligus memberi kesan kepada institusi seni dan pendokong karya seni di negara ini dan antarabangsa. Ini kerana seni itu telah menjadi darah daging tokoh keramat tersebut sejak 53 tahun lalu.

Beliau satu-satunya tokoh seni terulung sepanjang zaman dalam ruang lingkupnya yang tersendiri.

Allahyarham merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara, malah pernah memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991.


SYED AHMAD JAMAL merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh Seni Negara yang komited dengan dunia seni rupa.


Allahyarham merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya-karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni sehinggalah ke hari ini.

Beliau juga mengadakan pameran solo bagi mempamerkan hasil-hasil karya beliau untuk tatapan umum. Antara termasuklah pameran Antara Langit & Bumi, Ruang dan On & Off King’s Road.

Walaupun susuk tubuhnya mungkin tidak dikenali generasi terkini yang tidak meminati seni rupa berbanding seni hiburan, namun allahyarham secara eksklusif mempunyai pendokong dan pengikutnya yang tersendiri.

Malah, tidak salah dikatakan beliau umpama mahaguru seni yang tiada pencabar dan memiliki aura yang tersendiri.

Beliau dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada tahun 1995 dan pelbagai anugerah lain kerana penglibatannya dalam seni rupa.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan SAJ, sangat terkenal dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia dalam setiap perjalanan karya seninya.

Dalam pada itu, allahyarham turut menerima pelbagai tanggapan berikutan lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, perjuangan Palestin, peristiwa politik tahun 1998 dan tsunami pada tahun 2004.

Bagaimanapun, allahyarham secara peribadi enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tetap lantang menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal yang berlaku di persekitarannya.


Wajah SAJ (kanan) turut menjadi subjek yang dirakamkan di atas kanvas oleh pelukis muda sebaris dengan pelukis tersohor lain.


Menyorot pandangan rakan-rakan yang mengenali beliau, Raja Ahmad Aminullah mengakui sangat mengagumi SAJ yang dianggapnya sebagai satu-satunya seniman negara dalam seni rupa (lukisan dan arca) yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Raja Ahmad, SAJ juga merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh seni negara, selain merupakan seorang pendokong seni yang komited dengan dunia seni tanah air sehingga akhir hayatnya.

“Buktinya semasa saya menganjurkan festival seni antarabangsa, Pekan Seni Ipoh pada 1995 hingga 2000, SAJ banyak membantu menjayakan festival tersebut. Malah, sehingga sekarang apa sahaja aktiviti seni yang dianjurkan dia pasti terlibat.

“Beliau merupakan salah seorang jawatan kuasa pengelola festival tersebut banyak memberi idea selain bertungkus-lumus membanting tulang menggerakkan festival berkenaan,” kata pemilik galeri seni, R A Fine Arts itu.

Jelas Raja Ahmad lagi, SAJ merupakan seorang seniman yang berjiwa besar dalam menggalakkan kegiatan seni orang muda di negara ini sekaligus mengangkat nilai seni tanah air ke persada yang lebih tinggi setanding dengan Barat.

Pelukis yang banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan sejarah negara ini dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Pusu, Gombak, 31 Julai, 2011.

Mentor seni rupa


Foto SAJ (barisan kedua empat dari kiri) yang dirakamkan dari buku mengenai Allahyarham berjudul Syed Ahmad Jamal: Pelukis.


Allahyarham meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd. Noor, 69 dan dua anak lelaki, Syed Nabi, 39 dan Syed Nurlhaq, 35.

Selain itu, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya, Jailani Abu Hassan, 48, berkata, SAJ merupakan seorang yang boleh dianggap sebagai teman dan mentor seni rupa.

Beliau mula mengenali SAJ sejak menuntut di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM pada tahun 1985 melalui buku sejarah seni Malaysia.

“Saya mula mengenali SAJ dan menjadikan dia sebagai ikon diri saya melalui pembacaan buku sejarah seni Malaysia.

“Namun, secara peribadi saya mengenali peribadi sosok tubuh SAJ bermula pada 1996,” katanya.

Pada pandangan Jailani, SAJ merupakan seorang yang berilmu tinggi namun, penuh dengan rasa rendah diri. Allahyarham suka berseloroh dan tidak kering dengan nasihat.

Pengenalan awal dengan SAJ berlaku ketika tokoh seniman negara itu merasmikan pameran seni solo Jailani pada tahun 1996.

“Walaupun saya tidak berapa mengenali SAJ secara peribadi. Namun, beliau sentiasa prihatin dan sering memupuk semangat seni kepada pelukis-pelukis muda seperti saya,” kata anak kedua dari lima adik-beradik itu.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM itu mengakui SAJ umpama seorang bapa yang sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak seni yang masih muda ketika ini.

Rasa hormat Jailani dengan SAJ sangat tinggi. Walaupun SAJ berfahaman tradisional dalam ilmu seni lukis, beliau tidak pernah menolak idea-idea baru golongan generasi muda.

Sehingga ke saat ini, semua lukisan-lukisan SAJ yang bergaya tradisional modenis masih menjadi rujukan terutama dalam perbincangan seni modenisme Malaysia.

“Tidak keterlaluan jika pelukis-pelukis kontemporari Malaysia, terus meletakkan beliau sebagai bapa seni moden Malaysia.

“Acap kali bila bertemu saya di acara-acara pameran beliau akan mengusik dengan spontan mendendang korus lagu Keindahan Pantai, ’Jai..Jai..Jai..Jai..’,” imbas bapa kepada dua anak itu.

Sementara itu, Datuk Mohd. Yusof Ahmad, yang baru memegang jawatan Ketua Pengarah di Balai Seni Lukis Negara juga sangat mengagumi Syed Ahmad Jamal dan mula mengenali peribadi seniman negara itu dari lukisan dan penceritaan orang lain yang mengenali arwah.


SEMUA karya lukisan Syed Ahmad Jamal menggambarkan perjalanannya sebagai pelukis.


Mohd. Yusof sangat berbesar hati dan merakamkan setinggi penghargaan kepada SAJ di atas sumbangan dan sokongan beliau terhadap program Balai Seni Lukis Negara dan institusi seni negara.

Allahyarham katanya, sentiasa hadir ke setiap program yang dianjurkan Balai Seni Lukis Negara sebelum beliau mula sakit sejak enam bulan lalu.

Kontroversi

Menurut Mohd. Yusof, Balai Seni Lukis Negara menyimpan 27 buah karya lukisannya dari tahun 1989 hingga 2009 yang terlalu tinggi nilainya.

“Semua karya lukisannya yang ada di sini menggambarkan perjalanan dan perkembangan SAJ sebagai pelukis. Berikutan itu, bagi menghargai jasa beliau Balai Seni Lukis bercadang akan mengadakan pameran biografi Syed Ahmad Jamal pada 18 Ogos ini,” ujarnya.

Akui beliau, perjuangan dan kecintaan allahyarham dalam bidang itu sangat tinggi.

Buktinya, salah satu karya beliau iaitu sebuah arca awam bertajuk Puncak Purnama (1986) pernah diubah secara fizikal oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan membaikpulih.

Ekoran itu, Syed Ahmad Jamal tidak dapat bersabar lagi lalu bertindak menyaman Datuk Bandar dan DBKL sebanyak RM5 juta sebagai tuntutan bagi teladan dan gantirugi hakcipta. Akhirnya cubaan beliau memartabatkan seni di mata masyarakat dan dunia berjaya.

Beliau berjaya dalam tuntutan tersebut walaupun rayuan kes berkenaan ke mahkamah tinggi sekadar mengurangkan jumlah tuntutan yang dikeluarkan mahkamah rendah.

Horizon!»

Berkelah, jamu selera di air terjun

Sebahagian peserta tidak melepaskan peluang bermandi-manda di air terjun Setinggi.

Varia!»

Cabar keupayaan diri dalam sukan lasak

LEBIH 5,000 orang peserta menyertai Perlumbaan Reebok Spartan di Semenyih Eco Venture, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 32