HIBURAN

Capati M.Nasir, menu Khatijah

Capati M.Nasir, menu Khatijah


M. NASIR dan Khatijah mempunyai cara dan cerita Ramadan dan Aidilfitri masing-masing untuk dikongsi bersama peminat.


MENYAKSIKAN kehadiran figura ini sahaja, gelombang elektromagnetik pada frekuensi tertentu bakal berlegar di segenap tubuh. Belum lagi mendengar suara emas mereka yang mampu menggetarkan jiwa dan rasa. Itulah aura yang dimiliki penyanyi Datuk M. Nasir, 54.

Bagi Datuk Khatijah Ibrahim pula, biarpun kehadirannya dalam industri seni menjangkau hampir usia 40 tahun. Pesona yang dimilikinya masih kuat menjamah hati setiap individu.

Berpeluang bertemu secara empat mata dengan dua figura hebat ini selepas rakaman raya program Sedetik Muzik untuk Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, agenda seni diajukan dahulu kepada mereka sebagai pembuka bicara.

“Setakat ini dua program aku sudah terima untuk hari raya iaitu Sedetik Muzik untuk TV3 dan juga program Ekspresi Kembara bersama Jamal Abdillah untuk TV9.

“Aku ambil ikut rasa dan jika ada kelapangan. Ada lagi tawaran untuk program lain tetapi masih tidak confirm,” kata M. Nasir mengenai program terbaharunya yang selesa membahasakan dirinya sebagai aku.

Menyentuh mengenai projek nyanyiannya pula, pemilik nama Mohd. Nasir Mohamed itu bakal menghasilkan lagu buat bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH), Nor Azlan Rosle.

Untung Azlan yang kini dikenali sebagai Azlan & The Typewriter apabila mendapat sentuhan komposer M. Nasir.

Sebelum ini, kesemua lagu yang dicipta komposer yang menerima jolokan sifu itu popular sehingga menjadi siulan orang ramai yang termasuklah Fantasia Bulan Madu (Search), Sejati (Wings), Mahligai Syahdu (Hattan), Senja Nan Merah (Awie dan Ziana Zain), Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir dan Jamal Abdillah), Takdir Penentu Segala (Jamal Abdillah), Nafas Cahaya (Misha Omar, Angan dan Sedar (Mawi), Cinta Dewa Dewi (Spider), Ada Masa Mata (Datuk Siti Nurhaliza) dan banyak lagi.

Cipta 50 lagu

“Projek lagu untuk Azlan itu masih lagi dalam perancangan,” ujarnya yang kini sudah menghasilkan lebih 50 buah lagu.

Masih tidak tahu lagu-lagunya itu sama ada akan dinyanyikan sendiri olehnya atau diberi kepada penyanyi lain, pemilik syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. itu sememangnya sangat selektif memberikan lagunya untuk dinyanyikan oleh orang lain.

Baginya, kena ada kombinasi yang bagus antara lagu dengan penyanyi.

“Aku buat lagu ikut rasa. Kadang-kadang bila sesebuah lagu itu siap aku tidak nampak orang lain boleh sampaikan lagu tersebut. Mungkin terlalu sukar untuk orang lain nyanyikan,” katanya yang turut memberitahu banyak sebab sesebuah lagu itu boleh diterima orang ramai sama ada disebabkan penyanyi, pasaran lagu, lirik atau melodi sesebuah lagu tersebut.

Selepas album Sang Pencinta pada tahun 2006, sehingga kini tiada sebarang album yang dikeluarkan M. Nasir biarpun lagu yang dicipta mencecah angka 50. Ditanyakan mengenai perkara itu, katanya yang serasi bekerjasama dengan arwah Loloq itu, semuanya masih dalam perancangan lagi.

Jika dulu M. Nasir begitu serasi bersama arwah Loloq, katanya, kini dia serasi pula bekerjasama dengan AD Samad dalam menghasilkan lagu.

Menganggap lagu dulu lebih mudah didengar, penyanyi, pengubah lagu, pelakon, pengarah dan penerbit filem serta pelukis itu turut menganggap lagu raya malar segar (evergreen) lebih sedap berbanding lagu raya masa kini.

Katanya, lagu raya masa kini lebih ke arah alunan muzik berbanding lirik.

“Bukan mahu prejudis pada lagu baharu, tetapi kita sering mahukan lagu yang ada unsur nostalgia. Sebagai contoh, lagu Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan kesan psikologikal. Lagu baharu juga ada yang sedap didengar,” katanya yang mengaku masih minat berlakon tetapi tetapi tidak berminat dengan jalan cerita skrip-skrip yang diterimanya.

Kali terakhir kelibat M. Nasir di layar perak apabila muncul untuk watak cameo sebagai Naga Tasik Chini menerusi filem Magika.

Lontong hari raya

Beralih pula kepada persiapan puasa dan raya, dia yang terkenal dengan watak Hang Tuah dalam iklan Kit Kat itu memberitahu, tidak suka berlebihan semasa bersahur mahupun berbuka puasa. M. Nasir turut mengajar anak-anaknya untuk bersederhana setiap kali berpuasa.

“Setiap kali bersahur atau berbuka aku lebih selesa makan secara minimal, sebab sedar mengenai ekonomi,” katanya yang menggemari menu capati setiap kali berbuka.

Ditanya kepada isterinya, Datin Marlia Musa pula, dia berkata: “Dia (M. Nasir) sangat simple tetapi cerewet. Setiap kali bulan puasa dia akan cakap pada anak-anak apa tujuannya kita berpuasa.

“Setiap kali berbuka selama sebulan dia dan anak-anak akan makan capati. Anak-anakpun sudah biasa dan tidak merungut. Cuma pada hujung minggu baru kami berbuka dengan nasi”.

Bercerita tentang hari raya pula, M. Nasir mahupun Marlia sepakat beraya di sebelah keluarga Marlia dahulu sebelum pulang ke negara kelahiran M. Nasir, Singapura.

“Kebanyakan keluarga Marlia ada di Kuala Lumpur, jadi pagi raya kami akan beraya di Kuala Lumpur. Pada sebelah petangnya barulah kami balik Singapura,” ujar M. Nasir yang menggemari menu lontong setiap kali sambutan hari raya.

Sibuk memasak

Sementara itu bagi pelantun lagu Doa Buat Kekasih, Datuk Khatijah Ibrahim atau nama pentasnya Khaty, kebiasaannya pada setiap kali bulan puasa dia akan sibuk memasak di restoran miliknya, Khatijah’s Kitchen yang terletak di Jalan Bukit, Petaling Jaya, Selangor.

Tahun ini katanya, sebanyak 40 menu termasuk rendang tok, kambing tomato, ikan panggang kuali, terung goreng telur dan sambal serta kuih kasui bakal menghiasi menu restorannya.

“Tahun ini macam tahun-tahun sebelumnya, Khatijah’s Kitchen ada menyediakan bufet Ramadan. Antara menu yang akan disediakan untuk bulan puasa tahun ini ialah rendang tok dan daging dinding,” katanya.

Adik kepada Latiff dan Sophia Ibrahim itu juga membuat tiga jenis biskut raya iaitu Almond London, tat nanas dan cornflake untuk dijual kepada rakan-rakannya sahaja.

Walaupun sibuk dengan restorannya, ibu kepada sepasang anak itu akan tetap menyediakan juadah berbuka untuk anak-anaknya. Namun, bila menyentuh mengenai bersahur pula, kata Khaty, jika bersahur dia tidak boleh makan terlalu banyak.

“Biasanya kalau bersahur saya tidak boleh makan terlalu banyak. Sekadar air masak dan kurma sahaja. Anak-anak pula biasanya akan makan sebelum tidur,” ungkapnya yang setiap tahun akan beraya di rumah abangnya di Hulu Klang.

Kesibukannya pada tahun ini kian bertambah apabila Khaty turut melancarkan album baharunya pada 28 Julai lalu.

Diminta mengulas mengenai album baharunya, kata Khaty terdapat dua buah lagu yang dihasilkan oleh arwah adiknya, Tahir Ibrahim. Salah satu daripadanya ialah Kamar Sepi.

Process time in ms: 32