URBAN

Ikan masin dari Tawau

Ikan masin dari Tawau


PASAR Ikan Masin di ibu negeri Sabah ini menjadi tumpuan orang ramai sejak dibuka pada awal pagi.


SEAWAL pukul 7.30 pagi, sebuah deretan kedai di pinggir laut bandar raya Kota Kinabalu sudah dikerumuni ramai orang. Bagi mereka yang tidak biasa dengan senario itu, pasti tertanya-tanya akan kehebatan barangan jualan di sebalik premis yang berkunci rapi itu. Tepat pukul 8 pagi, satu persatu pintu papan kedai dibuka. Melihatkan susunan dan gantungan produk jualannya, para peminat ikan kering atau ikan masin tentunya tersenyum lebar.

Pasar Ikan Masin terdiri daripada lebih 20 buah pintu kedai itu terletak bersebelahan dengan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau lebih dikenali dengan nama Pasar Filipina. “Sudah lama saya berniaga di sini dan sememangnya pasar ini menjadi tumpuan ramai terutama mereka yang datang dari luar Sabah,” kata salah seorang peniaga, Jennifer Muamin, 35, yang sibuk melayan pelanggan. Jennifer memberitahu, pasar itu dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 8 malam. Namun, pada hujung minggu kadangkala dia terpaksa melanjutkan waktu operasinya.


JANGAN terus membeli kerana anda boleh menikmati harga lebih murah jika bijak menawar harga.


Seperti di lot-lot kedai yang lain, kedai wanita itu menjual lebih daripada 20 jenis ikan masin dan makanan kering. Antaranya adalah kerapu, kurau, talang, gelama, tenggiri dan pari yang kesemuanya dijual pada harga bermula RM8 sehingga RM50 sekilogram. Bukan hanya ikan, udang dan sotong yang dikeringkan, malah tumbuhan laut serta gamat kering juga ada di jual di pasar itu.

Keropok amplang

“Cuba beli rumpai laut ini, rendam dengan air panas dan kemudian buat sup, ia bagus untuk kesihatan sendi,” pelawa Jennifer. Katanya, terdapat beberapa produk yang dijual terutama hasil daripada tumbuhan laut sesuai dijadikan ubat untuk penjagaan kesihatan tubuh badan. Rakan wanita itu, Najar Jamdan, 30, pula kemudiannya mempelawa penulis dan rakan-rakan merasai signatur makanan ringan Sabah iaitu keropok amplang yang cuma berharga RM5 sepaket. Keropok tersebut merupakan antara makanan yang sangat terkenal di negeri itu terutamanya di daerah Tawau. Ia diperbuat daripada ikan tenggiri dan ketam.

Bijak tawar harga


SELAIN variasi jenis ikan masin, pasar ini turut menawarkan udang dan sotong kering pada harga murah.


Sebenarnya, kata penduduk tempatan yang dikenali sebagai Ahmad Mujahid Hamzah, 31, harga yang dipamerkan itu sebenarnya dijual pada pelancong asing. “Kalau orang Malaysia, mereka akan beri harga jauh lebih rendah, tapi kita kena pandai tawar, jika kena pada gayanya, boleh dapat harga yang sangat murah dan berpatutan sangat,” katanya. Memang benar. Harga sekilogram ikan talang (pada tanda harga) ialah RM20 namun setelah dipujuk, penulis diberikan separuh daripada harga asal.

Begitu juga dengan keropok amplang. Walaupun label harganya RM5 sebungkus, Najar menawarkan RM20 untuk lima bungkus keropok rangup itu. Seperkara yang menarik perhatian dalam kalangan peniaga ikan masin itu adalah kemahiran membungkus produk yang dibeli. Seorang peniaga yang lebih senang disapa Dodo, 18, dengan mudah membungkus kesemua barangan yang dibeli pengunjung dalam beberapa kotak terpakai yang dibungkus semula. Setiap lidah kotak ditampal dengan pita pelekat lalu menjadikannya kedap dan seterusnya diikat kemas dengan tali. “Jadi ia mudah untuk dijinjing dan dibawa masuk terus ke dalam kapal terbang,” kata Dodo.

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16