NEGARA

Berlakon pengsan elak diberkas

Berlakon pengsan elak diberkas


ORANG RAMAI menangkap suspek yang berpura-pura pengsan selepas meragut dompet seorang wanita dekat LRT Pudu Jumaat lalu.


KUALA LUMPUR – Taktik seorang lelaki yang berlakon pengsan untuk mengelak daripada diberkas selepas meragut seorang wanita tidak berhasil apabila dia cedera akibat dibelasah orang ramai sebelum diserahkan kepada polis Jumaat lalu. Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu diberkas pada pukul 4.30 petang selepas dia meragut dompet Siti Noraini Mat Noh, 24, berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Pudu di sini. Siti Noraini merupakan kerani di sebuah kedai menjual motosikal di Jalan Pasar di sini.

Mengimbau semula kejadian itu, Siti Noraini memberitahu, sebelum kejadian, dia sedang berjalan kaki bersama seorang rakan untuk ke tempat kerja selepas makan di sebuah restoran makanan segera berdekatan. “Saya terkejut apabila lelaki memakai baju belang itu datang dari belakang dan terus merampas dompet yang saya pegang. “Kejadian itu berlaku sepantas kilat dan saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menjerit,” ceritanya kepada Kosmo! di sini semalam. Tambahnya, dia dan rakannya kemudian mengejar peragut yang berjalan kaki itu tetapi tidak berhasil kerana suspek berlari pantas.

Process time in ms: 47