SUKAN

Nasha Edziera tekad ubah nasib

Nasha Edziera tekad ubah nasib


GAYA tunggangan Nasha ketika bersaing dalam kategori Wira pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim ini.


KECEWA dengan pencapaian sepanjang lima pusingan lalu, Nasha Edziera Mohd. Bahauddin berharap nasibnya akan berubah pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Alor Setar, Kedah hujung minggu ini.

Pelumba persendirian kategori Wira itu masih gagal memungut sebarang mata dan sekadar menghuni tangga ke-36 keseluruhan.

Dia gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir pada tiga pusingan awal iaitu di Kangar, Perlis (Pusingan 1), Batu Kawan, Pulau Pinang (Pusingan 2) dan Kuala Terengganu, Terengganu (Pusingan 3).

Pada Pusingan 4 di Putrajaya, Nasha berjaya melayakkan diri ke perlumbaan akhir, namun terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama ekoran masalah teknikal.

Nasib malang terus menghantuinya pada Pusingan 5 di Teluk Intan, Perak apabila dia mengalami kemalangan selepas dua pusingan.

Pelumba berusia 16 tahun itu menjelaskan bukan tugas yang mudah bagi pelumba wanita sepertinya untuk bersaing dalam sukan yang dimonopoli oleh kaum lelaki ini.

"Untuk berada pada tahap yang sama dengan pelumba lelaki dalam kelas ini cukup sukar. Ini kerana secara semula jadi mereka lebih kuat dan lasak.

"Tambahan pula, dalam setiap pusingan terdapat kira-kira 50 pelumba beraksi dalam kelas ini, namun hanya 20 yang layak ke perlumbaan akhir," kata pelumba berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Nasha turut berkongsi beberapa kelemahan serta masalah yang dialaminya sehingga sukar mendapat keputusan yang dihajati.

"Musim lepas saya beraksi bersama sebuah pasukan, musim ini saya beraksi secara persendirian di mana bapa dan rakan-rakannya bertindak sebagai mekanik saya.

"Mereka masih baharu dalam melakukan kerja-kerja pelarasan dan kami seringkali mengalami masalah teknikal. Ini satu senario yang normal bagi pasukan baharu.

"Bagaimanapun, pada dua pusingan sebelum ini, kami berjaya menunjukkan sedikit peningkatan. Ini satu permulaan yang positif buat kami," katanya.

Walaupun pelbagai cabaran yang datang, semangat Nasha untuk berjaya tidak pernah malap. malah dia nekad untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada saingan akan datang.

"Memang tidak ada apa yang boleh dibanggakan tentang keputusan lima pusingan lepas, namun saya tidak akan berputus asa.

"Saya akan bekerja lebih keras di Alor Setar untuk layak serta dapat menghabiskan perlumbaan akhir.

"Saya percaya ia mampu dilakukan. Bapa saya dan mekanik lain begitu bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik.

"Saya berharap nasib baik menyebelahi saya pada separuh musim kedua ini," katanya.

Process time in ms: 32