INFINITI

Tidak hadir sekolah, ibu bapa terima SMS

Tidak hadir sekolah, ibu bapa terima SMS




IBU bapa sentiasa ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Mereka merupakan insan yang memerlukan bimbingan agar menjadi orang berguna kepada negara dan bangsa pada masa hadapan.

Melalui pendidikan awal, keperibadian anak-anak ini dapat dibentuk untuk memastikan mereka menjadi seorang insan yang dapat membanggakan kedua ibu bapa sekaligus menyumbang kepada negara.

Bagaimanapun, di sebalik tugasan harian yang dibebani ibu bapa, kadang kala menyukarkan pemantauan terhadap gerak geri anak-anak terutamanya apabila melangkah ke alam persekolahan sehingga mereka terdedah kepada gejala ponteng sekolah yang seterusnya menyumbang kepada masalah sosial.

Menyedari kepentingan pendidikan dapat membantu pembentukan keperibadian anak-anak, syarikat bumiputera Mobile Biz Network Sdn. Bhd. telah membangunkan aplikasi kehadiran m-Attendance yang dapat memudahkan ibu bapa memantau dan berkomunikasi bersama guru mereka.

Pengarah Urusan Mobile Biz Network Sdn. Bhd., Latif Kachong, berkata, sistem aplikasi kehadiran m-Attendance dibangunkan atas dasar kesedaran tentang pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya sistem aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) serta e-mel dalam trasformasi pendidikan.

"Aplikasi yang mesra pengguna dan menggunakan platform komputer tablet Apple iPad ini dapat mengurus kehadiran pelajar dengan cepat, cekap dan sistematik.

"Ia juga tidak membebankan guru-guru malah memudahkan dan mengurangkan tugasan guru dalam mengurus kehadiran pelajar-pelajar mereka dengan lebih efisien," katanya ketika ditemui Kosmo!.


LATIF turut turun padang untuk memberi pendedahan mengenai aplikasi m-Attendance kepada guru-guru SMK Kijal, Kemaman, Terengganu.


Selain daripada itu, Latif memberitahu, penggunaan sistem aplikasi berkenaan juga dapat memupuk hubungan dua hala antara guru dan ibu bapa dengan lebih mudah serta berkesan.

Katanya, sistem aplikasi tersebut bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu bapa memaklumkan status kehadiran anak mereka ke sekolah sebaik sahaja guru menanda kedatangan pelajar-pelajar.

"Dengan cara ini, ibu bapa akan mengetahui sama ada anak mereka berada di sekolah atau sebaliknya. Ia sekali gus dapat membantu ibu bapa dalam memantau anak dengan lebih cepat terutamanya apabila mereka bertindak ponteng sekolah dan sebagainya.

"Sistem ini juga dapat membantu memantau keselamatan anak-anak kerana terdapat ibu bapa yang terpaksa memulakan tugasan mereka pada awal pagi.

"Apabila menerima SMS daripada guru, ibu bapa ini boleh mengetahui sama ada anak mereka selamat sampai di sekolah dan memulakan pembelajaran," terangnya.

Konsep m-Attendance

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Produknya, Hazwan Abu Hassan, memberitahu, ibu bapa akan menerima SMS setiap hari sekitar 7.35 pagi bagi memaklumkan jika anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah.

"Penggunaan aplikasi ini sangat mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja. Sebaik memasuki kelas, guru hanya perlu membuka aplikasi tersebut di iPad dan menandakan kehadiran pelajarnya, secara automatik senarai pelajar yang tidak hadir ke sekolah akan dihantar menerusi SMS dan e-mel kepada ibu bapa.

"Bagi memudahkan lagi ibu bapa, mereka juga boleh membalas SMS berkenaan untuk memaklumkan sebab ketidakhadiran anak mereka jika pelajar sakit atau ada sebab lain. Malah, ia boleh dibaca pengetua melalui e-mel untuk tindakan selanjutnya. Melalui teknologi push e-mail, mesej tersebut juga boleh dibaca di telefon pintar," jelas Hazwan.

Tambahnya, rekod kehadiran pelajar dalam kelas berkenaan turut akan dikemas kini dan disalurkan ke pejabat sekolah untuk melancarkan lagi tugasan harian guru-guru dalam memberi pembelajaran kepada pelajar.

Lebih terperinci, aplikasi mesra pengguna itu turut dilengkapi maklumat pelajar seperti profil pelajar, rekod akademi, laporan disiplin, rekod ujian termasuklah berat dan tinggi pelajar.

Kelebihan aplikasi

"Dengan aplikasi ini, ibu bapa akan merasa selamat kerana mengetahui bahawa anak-anak mereka telah pergi ke sekolah dan bukannya berada di luar kawasan sekolah.

"Ia sekali gus dapat mengawal gejala ponteng sekolah malah dapat mengeratkan hubungan antara guru, pelajar dan ibu bapa.


GURU-GURU SMK Kijal asyik menggunakan iPad untuk membiasakan diri dengan aplikasi m-Attendance.


"Kelebihan lain yang dapat diperoleh melalui sistem aplikasi ini adalah ibu bapa dapat mengetahui markah dan keputusan ujian anak-anak mereka menerusi SMS dan e-mel yang dihantar selepas ujian," katanya.

Aplikasi m-Attendance yang mengambil masa kira-kira satu tahun untuk dibangunkan itu turut menyalurkan maklumat mengenai aktiviti dan program sekolah kepada ibu bapa atau penjaga dengan cepat, mudah dan kos efektif.

Ia juga dapat memberikan kemudahan kepada guru ketika hari menandatangani kad laporan pelajar kerana guru kelas tidak perlu lagi membawa buku rekod pelajaran dan ko-kurikulum.

Ini kerana semua butiran pelajar sudah terdapat di dalam iPad apabila membuka aplikasi tersebut.

"Dalam pada itu, aplikasi ini turut didatangkan dengan sistem HomeWorkAlert. Guru akan menghantar SMS kepada ibu bapa untuk memaklumkan tentang kerja sekolah yang telah diberikan kepada pelajar agar dapat dipantau dengan mudah.

"Selain sistem kehadiran m-Attendance, pihak sekolah juga dibekalkan dengan sistem SMS Aduan m-Center yang membolehkan ibu bapa dan orang ramai membuat sebarang aduan atau memberi cadangan dan pandangan kepada pihak sekolah dengan menghantar SMS," katanya.

Hazwan menambah, pihak sekolah juga mempunyai sistem SMS hebahan sendiri bagi memaklumkan aktiviti dan program sekolah seperti hari sukan, peringatan tarikh peperiksaan, makluman tunggakan yuran, mesyuarat dan sebagainya.

Itu adalah salah satu langkah pengintegrasian ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran selaras dengan tuntutan transformasi pendidikan dalam memartabatkan pendidikan negara.

Projek perintis

"Sebagai permulaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Kemaman, Terengganu telah menjadi perintis dalam penggunaan aplikasi ini.

"Kita telah membekalkan sebanyak 41 iPad untuk guru-guru kelas di sekolah berkenaan," katanya.

Selain daripada Apple, dia memberitahu, pihaknya juga mendapat sokongan kerajaan negeri Terengganu yang sememangnya memberi penekanan terhadap pendidikan.

"Selepas tiga bulan tempoh percubaan, jika mendapat maklum balas baik daripada guru dan ibu bapa, kami akan meneruskan usaha ke sekolah seterusnya iaitu SMK Kompleks Seberang Takir, Terengganu dengan menggunakan iPad2," katanya.

Process time in ms: 31