HIBURAN

Terlupa jadi wanita feminin

Terlupa jadi wanita feminin




JIKA sebelum ini, kelibat pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim kelihatan ayu berambut panjang dan feminin, namun demi ingin menjayakan watak yang diberi, Diana sanggup memejam mata dan menahan perasaan apabila dia harus bertukar wajah.

Tiada lagi rambut panjang kesayangannya, atau pakaian feminin yang selalu melekat di badannya. Kali ini, Diana harus berubah secara total demi sebuah karier.

Sam, watak tomboi yang dilakonkan oleh Diana di dalam filem terbaru 321 Cinta, memerlukan dia memotong rambut yang sebelum ini panjang dari paras pinggang ke potongan pendek seperti lelaki.

“Memang sayang mahu potong rambut panjang saya itu terus pendek begitu. Memang terasa perbezaan setelah berambut pendek.

“Pernah suatu hari, adik saya berasa takut mahu tidur bersama saya kerana saya kelihatan seperti seorang lelaki,” ujar Diana sambil ketawa dan memberitahu dia sering tidur bersama adiknya.

Tambahnya: “Saya tidak pernah memotong rambut saya begitu pendek seumur hidup.

Pelbagai fesyen rambut lelaki digayakan termasuk gaya spike dan itu juga kali pertama rambut saya digayakan seperti itu.

Diana berkata lagi, pada mulanya, dia tidak mengetahui yang dirinya perlu memotong rambut sebegitu kerana pada asalnya dia hanya mahu memakai rambut palsu yang telah disediakan.

Namun, kerana mahukan impak yang lebih mendalam, pengarah Azhari Zain mahu pelakon utamanya itu berambut pendek seperti lelaki dan kelihatan seperti tomboi.

Apa yang pasti, setelah berambut pendek, Diana sendiri berasa watak Sam lebih dekat dengan dirinya. Selain itu, selama sebulan Diana dilayan seperti lelaki di set penggambaran oleh semua krew, pelakon dan penggarapnya sendiri.


SEPANJANG tiga tahun menjadi pelakon, Diana Amir pertama kali melakonkan watak tomboi menerusi filem 321 Cinta.


Bagaimanapun, dia tidak mengambil kisah tentang perkara tersebut kerana itu merupakan salah satu perencah untuk dirinya larut di dalam watak yang diberi.

Tambahnya, sepanjang penggambaran filem tersebut juga, Diana akan berpakaian dan berkelakuan seperti tomboi bukan sahaja dalam lokasi penggambaran tapi juga di alam realiti.

“Saya tidak kisah kerana saya mahu watak tersebut memberi kesan dengan sebaik mungkin. Jadi, saya ikut sahaja apa yang dimahukan. Saya juga suka watak tersebut kerana Sam merupakan seorang yang sangat bersahaja.

“Dan sebenarnya, saya suka dengan pengorbanan yang telah lakukan kerana ia dapat memenuhi permintaan watak itu sendiri. Mungkin jika saya memakai rambut palsu, saya kurang menjiwai watak Sam,” bicaranya yang pertama kali melakonkan watak seperti ini sepanjang kariernya sebagai pelakon selama tiga tahun.

Cerita Diana, sebelum ini sememangnya dia tidak pernah berperwatakan seperti tomboi.

Justeru, apabila menerima tawaran menjadi Sam di dalam filem tersebut, dia berusaha mencari watak-watak di dalam filem tempatan mahupun luar untuk dijadikan rujukan.

Tetapi secara jujur kata Diana, dia dapat menjiwai watak tersebut melalui pergaulan dengan seorang temannya yang merupakan seorang tomboi. Melalui temannya itulah dia belajar dan cuba melepaskan semua pengetahuannya tentang dunia dan perwatakan tomboi ke dalam watak Sam.

“Saya berterus-terang dengannya dengan mengatakan ingin meminta pertolongan daripada dia supaya dapat mengajar saya cara-cara untuk menjadi seperti dirinya. Jadi, saya pernah keluar bersama rakan saya tersebut dengan berpakaian seperti tomboi dan mengikut caranya.

“Selain itu, saya juga ada mengikuti kelas lakonan untuk belajar perwatakan termasuklah dari segi pertuturan, kelakuan, gaya, cara berjalan dan banyak lagi yang dipelajari,” katanya yang mengaku segala yang dilakukannya itu merupakan sesuatu yang bertentangan dengan perwatakan sebenar dirinya.

Lucunya, tambah Diana lagi, oleh kerana terlalu menjiwai watak tersebut, dia hampir terlupa karakter lemah lembut sebagai perempuan walaupun selepas habis waktu penggambaran.


SELAMA sebulan, Diana dilayan seperti lelaki di set penggambaran filem 321 Cinta.


Seronok

Setiap apa yang dilakukan pasti punya cabaran yang mendatang. Sebagai pelakon, Diana tidak terlepas dari bersemuka dengan cabaran-cabaran yang berlainan setiap kali membawa watak yang berbeza.

Namun, kali ini, Diana mengganggap cabaran yang dilaluinya ini sebagai pengalaman yang mengujakan. Ujarnya, banyak pengalaman baru yang membuatkan dirinya tidak sabar untuk melakonkan watak Sam setelah tawaran diterima.

“Di dalam filem itu, banyak perkara yang menarik sehingga saya tidak anggap yang susah itu cabaran tapi sebagai suatu perkara yang menyeronokkan. Lagi susah, lagi teruja untuk saya lakukan,” bicara Diana yang turut memberitahu keluarganya juga banyak memberi sokongan untuk membantunya menjayakan watak tersebut.

Terbaharu Diana juga teruja untuk menantikan respons terhadap filem terkininya, 7 Petala Cinta. Jika dalam filem Aku Masih Dara, watak yang dipegang Diana berpakaian seksi, 321 Cinta pula memerlukan dia menjadi tomboi.

Namun, menerusi 7 Petala Cinta yang merupakan sebuah filem cinta berbentuk Islamik yang juga digarap oleh Azahari Zain memerlukan dirinya berubah menjadi gadis naif.

Memegang watak sebagai Hilma Aqila yang juga watak sulung Diana sebagai gadis bertudung adalah watak yang sangat berbeza dari Sam di dalam 321 Cinta.

“Selain memakai tudung, saya perlu sopan dari segi pertuturan, kelakuan serta perlu mengaji dan sebagainya.

“Saya sangat seronok dan memang menantikan tawaran sebegini kerana sebelum ini saya pernah melakonkan watak gadis liar dan biarlah ia menjadi satu-satunya watak liar yang pernah saya lakonkan,” ujarnya yang turut bergandingan bersama Fizo Omar, Aeril Zafrel dan pelakon baharu Shima Anuar.

Process time in ms: 46