SUKAN

UiTM kuasai gelanggang tenis

UiTM kuasai gelanggang tenis


TANGKAS... Aksi pemain UPM, Ahmad Najib pada Karnival Sukan Masum 2011 di Kompleks Tenis UPM, Serdang semalam.


PASUKAN pilihan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lebih menyerlah dalam acara tenis pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Masum) 2011.

Pasukan lelaki dan wanita dari kedua-dua universiti tersebut mula menunjukkan penguasaan mereka dalam acara tenis yang mula berlangsung Ahad lalu di Kompleks Tenis Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagi kategori lelaki, UiTM menunjukkan aksi cemerlang apabila mudah menundukkan UniMAP 5-0 dalam Kumpulan A semalam.

Pada aksi pembukaan kelmarin, UiTM juga mudah membenam UPM dengan kemenangan 5-0.

“Saya yakin, bagi kategori lelaki, kami sudah 80 peratus untuk membolot emas,” kata pengurus pasukan tenis UiTM, Abdul Nasir Janaro ketika ditemui Kosmo! semalam.

Abdul Nasir optimis UiTM berpeluang cerah muncul juara bersandarkan kelebihan mereka menurunkan beberapa pemain yang pernah beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-14.

“Bagaimanapun, kami harus berwaspada dengan kemampuan UPM dan juga UIAM dalam usaha memburu emas,” katanya.

Sementara itu, skuad lelaki UIAM turut meraih dua kemenangan selepas membelasah UPNM 5-0 dan menang 4-1 ke atas UPSI.

Bagi kategori wanita, UiTM mudah menundukkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 3-0 dalam Kumpulan A pada aksi kelmarin.

UIAM pula mengetepikan cabaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kemenangan 2-1 pada saingan Kumpulan B semalam.

Kelmarin, dalam Kumpulan B, Universiti Sains Malaysia (USM) menewaskan UKM 2-1.

Pasukan tuan rumah, UPM turut tidak menghampakan penyokong mereka apabila menewaskan UniMAP 3-0 bagi saingan Kumpulan A semalam.

Dalam saingan Kumpulan C, Universiti Utara Malaysia (UUM) meraih dua kemenangan berturut-turut selepas membenam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kemenangan 2-1.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47