RENCANA UTAMA

Bebas sakit lutut selepas surgeri

Bebas sakit lutut selepas surgeri




NADARAJAH ARUMUGAM, 60, tidak pernah mengetahui apakah penyakit artritis walaupun dia sendiri menderita penyakit itu selama lima tahun. Dia menahan sakit yang dianggap biasa dan mengambil banyak ubat dan vitamin untuk mengurangkan kesakitan.

Namun, usahanya tidak mendatangkan hasil, malah sakit lutut yang dialaminya semakin teruk. Apabila bertemu doktor, barulah dia mengetahui penyakitnya itu, tetapi sudah terlambat kerana doktor memberitahu pertahanan badannya tidak lagi memberi tindak balas kepada ubat-ubatan yang diambil.

“Sebelum menjalani pembedahan, semua sendi saya berasa sakit dan paling teruk adalah lutut saya. Tetapi, saya takut untuk menjalani pembedahan kerana saya pernah mendengar mereka yang pernah melakukannya ada yang boleh berjalan dan ada yang lumpuh,” katanya.

Selepas dipertemukan dengan Dr. Amir Azlan Zain dari Pusat Perubatan Sunway, Nadarajah berasa lega kerana dia diberitahu wujudnya Yayasan Artritis Malaysia (AFM) yang menyediakan dana untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan menjalani pembedahan penggantian sendi.

“Saya sedia maklum bahawa kerajaan boleh membantu, tetapi saya perlu mengeluarkan duit sendiri terlebih dahulu dan saya tidak mempunyai wang yang banyak untuk menjalani pembedahan.

“Akhirnya, saya menjalani pembedahan penggantian sendi untuk kedua-dua belah lutut saya dan kos pembedahan ditanggung sepenuhnya oleh AFM. Jika tidak, saya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM18,000 untuk pembedahan di hospital kerajaan dan dua kali ganda jika di hospital swasta,” katanya.

Nadarajah memberitahu, selepas melakukan pembedahan, dia banyak berkongsi pengalamannya dengan rakan-rakan dan keluarganya dan menggalakkan mereka yang mempunyai sakit sendi untuk menyertai AFM.

“Bagi mereka yang berkemampuan, pasti tidak mempunyai masalah. Tetapi mereka yang tidak berkemampuan, masih ada harapan untuk kembali pulih dan menjalani hidup yang lebih baik,” katanya.

Kembali berjalan normal


NADARAJAH semakin pulih dan berjalan tanpa rasa sakit selepas menjalani pembedahan dan mengamalkan pengambilan makanan tambahan.


Nadarajah juga memberitahu, ketika menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), barulah dia tahu bukan sahaja orang tua, malah kanak-kanak turut menderita penyakit artritis.

“Saya tidak mempunyai sejarah penyakit artritis dalam keluarga saya, tetapi pak cik saya ada yang menderita artritis. Saya mendapat penyakit ini mungkin disebabkan saya aktif dalam sukan semasa muda dan pernah terlibat dalam kemalangan.

“Kemalangan itu berlaku ketika saya bekerja di trek lumba kuda di Batu Tiga, Shah Alam. Saya memandu kereta dan berlanggar dengan sebuah van menyebabkan lutut saya cedera tetapi, saya tidak membuat pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya.

Nadarajah telah menjalani pembedahan lutut Oktober tahun lalu. Katanya, selepas menjalani pembedahan dia tidak lagi mengalami kesakitan malah, dapat membuat kerja rumah dan berjalan dengan normal. Dia juga mengawal dietnya.

“Sebelum ini saya banyak bergantung kepada ubat penahan sakit, tetapi ia hanya mengurangkan rasa sakit dan bukannya mengubati penyakit. Saya juga tidak dapat makan banyak makanan seperti makanan laut, ayam, bayam dan kekacang.

“Kini, saya mengambil makanan tambahan khas untuk pesakit artritis sejak enam bulan lalu dan kesakitan yang dialami beransur hilang,” katanya.

Tambahnya, sebelum mengambil makanan tambahan itu, sendinya sering berasa kebas apabila tidur atau duduk terlalu lama sehingga tidak dapat menggerakkan sendinya.

“Kini saya rasa sihat kembali. Saya dapat menggerakkan dan meregangkan sendi saya bila-bila masa sahaja,” katanya.

Seorang lagi pesakit yang telah menjalani pembedahan penggantian sendi lutut, Shantabai Moses, 65, memberitahu, dia mengalami sakit-sakit lutut selama lebih 10 tahun tetapi tidak menjalani pemeriksaan sewajarnya.

“Selepas bertemu doktor, barulah saya tahu penyakit artritis yang saya alami dan sekiranya dibiarkan akan menyebabkan kerosakan serius sehingga sukar diubati.

“Walaupun telah menjalani pembedahan dan menggunakan sendi palsu, cara berjalan tidak akan sama lagi jika dibandingkan dengan mereka yang mendapat rawatan awal,” katanya yang menjalani pembedahan di Hospital PPUM.


Artritis reumatoid menyebabkan tangan membengkak dan menjadi kemerah-merahan.


Justeru katanya, dia menasihati mereka yang mempunyai rasa tidak selesa dan sakit pada sendi-sendi serta otot yang berpanjangan untuk segera menjalani pemeriksaan.

“Saya akan memberitahu sesiapa sahaja yang saya temui untuk menjaga kesihatan dan menyuruh mereka menjalani rawatan sekiranya terdapat simptom-simptom artritis.

“Lebih baik sekiranya dirawat lebih awal kerana jika tidak pesakit itu sendiri yang akan menderita,” katanya.

Shantabai berkata, selepas tiga tahun menjalani rawatan, dia kini dapat berjalan semula tanpa rasa sakit.

“Saya bernasib baik kerana dapat menjalani hidup dengan selesa sekarang,” katanya.

AFM bantu pesakit miskin

Dalam pada itu, Pengerusi AFM, Dr. Amir Azlan Zain memberitahu, statistik terkini menunjukkan penyakit artritis menyerang sebanyak 0.5 peratus populasi rakyat Malaysia.

“Artritis paling mudah menyerang golongan yang terlalu aktif bersukan terutama mereka yang pernah mengalami kecederaan sendi dan otot seperti pemain bola sepak.

“Ia merupakan penyakit yang menjadi salah satu penyerang utama ke atas rakyat Malaysia. Mereka yang berlebihan berat badan, genetik dan berusia juga paling mudah mendapat penyakit ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Sunway baru-baru ini.

Katanya, sejak AFM ditubuhkan, sebanyak 60 pesakit artritis telah berjaya menjalani pembedahan dengan kos sebanyak 90 peratus ditanggung oleh yayasan berkenaan.

“Bagi sesetengah kes, pesakit artritis memerlukan pembedahan penggantian sendi untuk memulihkan fungsi sendi supaya dapat berfungsi dengan normal.

“Pada umumnya, anggota palsu yang digunakan dalam pembedahan berharga RM5,000 dan oleh kerana ramai pesakit tidak mampu membiayai pembedahan ini, keadaan mereka menjadi semakin teruk,” katanya.

Justeru kata Amir Azlan, AFM menyedari keperluan itu dan telah menubuhkan tabung untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam pembedahan gantian sendi.

“Mereka yang ingin memohon boleh berhubung dengan jabatan kebajikan masyarakat atau melayari laman web AFM iaitu www.afm.org.my di bawah tabung artritis,” katanya.

Tambahnya, mereka yang layak adalah warganegara dan penduduk tetap Malaysia yang mempunyai pendapatan bulanan RM3,500 ke bawah.

“Pembedahan penggantian sendi akan dijalankan oleh pakar ortopedik yang berpengalaman di hospital kerajaan.

“Tabung artritis juga akan membuat pembayaran kepada syarikat pembekal anggota palsu secara langsung dan wang tidak akan sampai ke tangan pesakit,” katanya sambil memberitahu, AFM tidak memberi peruntukan untuk kos-kos pembedahan selainnya termasuk ubat-ubatan dan penginapan.

Memelihara tulang rawan


Perbezaan sendi lutut yang sihat (kiri) dan sendi yang sudah haus (kanan).


Sementara itu, pakar nutrisi Kordel, Neoh Guat Khim memberitahu, makanan tambahan yang mengandungi Glucosamine dan Chondroitin dapat membantu memperbaiki dan membina tulang rawan yang terjejas dengan bertindak seperti kusyen di hujung tulang.

“Makanan tambahan Glucosamine dan Chondroitin dapat meningkatkan fungsi sendi dan pergerakan, menyediakan sokongan nutrisi kepada sendi, ligamen dan pemeliharaan tulang rawan serta mengurangkan kesakitan sendi.

“Ini kerana, seiring pertambahan umur dan diet yang tidak sihat, proses pembaikan tulang rawan di dalam sendi menjadi perlahan sekali gus mendorong osteoartritis untuk menyerang apabila kita tua,” katanya.

Guat Khim memberitahu, artritis bukanlah satu keadaan penyakit sahaja kerana ia merangkumi lebih daripada 100 penyakit yang menyerang sendi. Ia hadir sama ada dalam bentuk artritis degeneratif (menyusut) atau rasa terbakar.

“Artritis degeneratif merupakan artritis yang disebabkan oleh koyakan pada sendi seperti osteoartritis, yang merupakan artritis yang paling banyak menyerang di seluruh dunia,” katanya.

Guat Khim memberitahu, Glucosamine dan Chondroitin juga boleh ditemui dalam makanan seharian kita, tetapi sukar menentukan jumlah kandungannya yang sesuai dan optimum untuk kesihatan sendi.

“Glucosamine boleh didapati di bahagian luar cengkerang seperti udang, udang kara, ketam dan udang krai tetapi ia hanya membekalkan glucosamine dalam jumlah yang kecil, manakala chondroitin pula boleh didapati terutama daripada sumber haiwan seperti tulang rawan lembu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, diet yang seimbang dapat membantu mereka yang aktif bersukan untuk memiliki sendi dan otot yang sihat.

Banyakkan makan makanan yang mengandungi antioksida dan buah-buahan seperti beri serta sayur-sayuran untuk mengurangkan kerosakan radikal bebas pada sendi.

“Makanan yang kaya sulfur juga dapat membantu membina sendi yang sihat seperti kubis, asparagus, bawang putih dan bawang. Sulfur bagus untuk tulang, pembaikan tulang rawan dan tisu.

“Makanan yang mesti dikurangkan dan dihadkan ialah minuman ringan, alkohol dan kopi,” katanya.

Varia!»

Baju baharu pada 1 Syawal

JASLEEN dan Kirpal (berdiri belakang dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julaina dan Bob Komando serta anak-anak mereka di Gulati's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0