NEGARA

120 bakal sertai Cabaran Daisy

120 bakal sertai Cabaran Daisy




KUALA LUMPUR – Seramai 120 peserta dari seluruh negara dijangka menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang akan membuka tirainya di Terengganu pada 18 Jun ini.

Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharuddin berkata, kesemua peserta itu akan dibahagi kepada empat zon yang setiap satu membabitkan 30 peserta.

“Daripada 30 peserta ini, 15 akan bertanding dalam kategori kek dan 15 lagi kategori biskut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, peringkat Zon Timur di Giant, Kuala Terengganu adalah pada 18 Jun ini manakala Zon Tengah di AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 26 Jun.

Zon Utara pula katanya, di Star Parade Alor Setar pada 2 Julai diikuti Giant, Tampoi, Johor Bahru pada 10 Julai.

Katanya, cabaran peringkat akhir yang menghimpunkan dua peserta terbaik dari setiap zon pula akan berlangsung di Plaza Shah Alam pada 17 Julai.

“Bagaimanapun, orang ramai yang berada di sekitar kawasan negeri-negeri terbabit dialu-alukan menyertai pertandingan ini.

“Mereka boleh datang daftar bagi menyahut cabaran membuat kek dan biskut dengan resipi unik masing-masing,” katanya.

Tambah Nizam, pertandingan tersebut akan diserikan dengan persembahan artis tempatan seperti Mila Akademi Fantasia (AF5), Ahmad Nubhan Ahamad (AF6), Adam (AF2), Adira Suhaimi (AF8), Black dan ramai lagi.

“Oleh itu, orang ramai jangan lepaskan peluang berhibur bersama artis di samping menyaksikan gelagat peserta pertandingan.

“Apa yang lebih menarik, hadiah misteri dan istimewa menanti para peserta yang berjaya menyahut cabaran sengit ini,” jelasnya lagi.

Juara akan meraih RM5,000 dan barangan Tupperware bernilai RM5,000 manakala tempat kedua menerima wang dan barangan Tupperware bernilai RM3,000. Pemenang tempat ketiga pula akan memenangi barangan Tupperware bernilai RM2,000 dan wang tunai RM2,000.

Dalam pada itu, Nizam mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk menyertai pertandingan itu kerana tarikh tutup pertandingan berbeza mengikut zon.

Katanya, tarikh tutup bagi zon Terengganu adalah pada 16 Jun, Kuala Lumpur 23 Jun, Kedah 30 Jun dan Johor pada 7 Julai.

Syarifah mahu tebus kekecewaan tahun lalu




DUNGUN – Seorang suri rumah, Syarifah Mariam Syed Shafie, 55, (gambar) yang pernah muncul naib juara pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2010 sekali lagi tampil untuk membuktikan kehebatannya pada cabaran tahun ini.

Berbeza tahun lalu yang menyaksikan dia mempertaruhkan resipi biskut, kali ini dia mahu mencuba nasib dalam pembuatan kek.

“Tahun lalu, saya hanya naib juara pada cabaran di Kuala Lumpur tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk beraksi lagi tahun ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Syarifah Mariam, bagi saingan tahun ini, dia belum bersedia untuk mendedahkan bentuk dan resipi yang bakal dipertaruhkan sebaliknya mahu membuat kejutan pada hari pertandingan dan berharap pihak juri akan berpuas hati dengan resipi ciptaannya.

“Memasak adalah hobi saya dan sudah banyak kali saya menyertai pertandingan seperti ini dan telah beberapa kali memenanginya,” ujarnya.

Jelas ibu kepada empat anak itu, dia mempunyai kelapangan untuk mengikuti pertandingan anjuran Daisy memandangkan anak-anaknya sudah dewasa.

“Dahulu memang susah kerana saya perlu uruskan anak-anak tetapi sekarang saya mempunyai masa untuk mempersiapkan diri dan mencipta resipi baru untuk ke pertandingan,” tambahnya.

Bagaimanapun katanya, pada pertandingan kali ini, dia tidak meletakkan apa-apa harapan besar kerana tujuan utamanya adalah atas dasar minat dan ingin bertukar-tukar pandangan dengan peserta lain.

Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang diadakan di empat buah lokasi akan membuka tirai pada 18 Jun ini di Giant, Kuala Terengganu.

Bekas tentera cuba nasib


MARIAMAZIAH menunjukkan kek yang dibuatnya bagi menghadapi Cabaran Daisy Sehebat Chef tahun ini.


KUALA LUMPUR – Seorang pesara tentera, Mariamaziah Mahmood mahu memanfaatkan pengalaman dalam pelbagai pertandingan memasak sebelum ini untuk bersaing pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.

Menurut wanita berusia 52 tahun dari Ampang itu, dia memilih untuk menghasilkan kek coklat istimewa ciptaan sendiri dan belum pernah dihasilkannya sebelum ini.

Mariamaziah yang pernah mendapat tempat ketiga pada pertandingan memasak anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat menyifatkan pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef itu sebagai peluang untuk menguji kemahirannya membuat kek.

“Saya akan menghasilkan kek coklat yang dicampur bahan-bahan penting termasuk menggunakan minyak jagung Daisy. Untuk tujuan dekorasi kek, saya akan fikirkan idea yang kreatif dan menarik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, dengan pengalaman yang ada, dia berharap dapat menghasilkan kek yang paling menyelerakan.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 141