RENCANA UTAMA

Bagai memandu sebuah hotel

Bagai memandu sebuah hotel


SUSUN atur standard motorhome yang biasa digunakan oleh pengembara Eropah yang kini bakal menjadi trend pelancong dari Malaysia.


TEPAT pukul 3 petang waktu Munich, empat buah kenderaan rekreasi (RV) bergerak perlahan meninggalkan ibu negeri Bavaria, Jerman itu menuju ke Alpen-Camping Mark, lokasi pelancongan kaki gunung terkenal di Tyrol, Austria.

Perjalanan sejauh 230 kilometer (km) itu bersaksikan keindahan panorama dan kedinginan Banjaran Alps.

Austria menjadi negara kedua yang menyambut rombongan 19 orang rakyat Malaysia yang menyertai EuroVac 2011 yang berlangsung pada 25 April hingga 5 Mei lalu.

Trip jelajah Eropah dengan menaiki kenderaan seperti van yang digelar motorhome itu dibawakan oleh Narsqo Holidays Sdn. Bhd. Pakej pelancongan seumpama itu adalah yang pertama ditawarkan di Malaysia.

Menerusi pakej itu, peserta dibawa menjelajah lapan buah negara Eropah iaitu Jerman, Austria, Liechtenstein, Switzerland, Itali, Perancis, Belgium dan Belanda. Perjalanan pergi balik sejauh 2,000km itu mengambil masa selama 11 hari.

Khemah


RUANG rehat dan tidur di dalam motorhome yang ringkas tetap memberi keselesaan kepada peserta.


Pengalaman memandu sendiri motorhome dengan bantuan navigasi sistem kedudukan global (GPS) dan walkie-talkie begitu mengujakan.

Tatkala melepasi kawasan pergunungan dan hamparan padang rumput yang sejauh mata memandang serta perkampungan unik Eropah, detik itu pasti akan diingati sampai bila-bila.

Tiba di tapak perkhemahan berhampiran pekan Nenzing, Austria, lain pula cerita yang menanti. Hentian untuk beratus-ratus motorhome itu dikelilingi pokok pain, selain menyajikan pemandangan Banjaran Alps yang dilitupi salji.

Dengan deretan motorhome yang memakir di sekeliling tapak perkhemahan, hentian tersebut bak tapak pesta para pengembara.

Di Malaysia, menaiki motorhome untuk melancong bukanlah satu budaya di negara ini. Bagaimanapun, di benua Eropah dan Amerika, kenderaan yang menyediakan kemudahan dapur dan tempat tidur itu sudah bermula sejak tahun 1820-an.

Ruang dalamannya tidak ubah seperti sebuah bilik hotel. Ia turut dilengkapi peti sejuk dan bilik mandi. Penumpang boleh memasak makanan sendiri selain tidak perlu bersusah-payah menempah bilik hotel.

Apa yang perlu dilakukan ialah isikan saja peti sejuk kecil di dalam motorhome itu dengan segala makanan yang diperlukan untuk perjalanan berikutnya.

“Peserta diberi peluang untuk menjelajah sendiri mengikut pecahan keluarga masing-masing. Inilah yang kami tekankan.

“Bukan percutian yang berlandaskan atur cara yang ditetapkan oleh pemandu pelancong,” kata rakan kongsi Narsqo Holidays, Fairus Mohd. Tabiee.

Terowong


BERSANTAI di hadapan motorhome di Alpen Camping, Austria begitu mengujakan.


Tambah beliau, pakej bernilai RM15,000 seorang itu sebenarnya banyak menjimatkan kos penginapan dan pengangkutan.

Jelas Fairus lagi, setiap motorhome dilengkapi dengan bilik tidur, bilik mandi, dapur, tempat penyimpanan barang dan ruang rehat. Malah, kemudahan elektrik dan air juga dibekalkan sepanjang perjalanan.

Bagi menjamin keselesaan, sebuah motorhome hanya akan dimuatkan seramai empat hingga lima peserta.

Namun, bagi mereka yang melancong secara berkumpulan dan mahu menginap bersama di dalam sebuah motorhome, mereka boleh berbuat demikian,” ujar Fairus.

Bukan itu saja, peserta boleh memilih lokasi yang hendak dilawati di sesebuah negara asalkan mereka tahu lokasi pertemuan semula seperti yang dijanjikan.

Menurut Fairus, idea untuk memperkenalkan pakej pengembaraan unik itu turut diilhamkan rakan kongsinya, Muhammad Ikmal Norizan.

Ikmal pernah bekerja dengan sebuah syarikat berkaitan automotif di Sepanyol selama enam tahun selain tinggal di dalam RV selama tiga tahun kerana tuntutan kerja.

“Apa yang kami tawarkan bukan sekadar melalui pembacaan buku atau Internet tetapi menerusi pengalaman sendiri termasuk daripada mereka yang pernah menetap di dalam motorhome selama beberapa tahun,” kata Fairus yang berpendapat melancong melalui darat lebih memberi kepuasan.

Ini, katanya, dibuktikan dengan merasai pengalaman memandu melalui Terowong Mont Blanc yang menembusi Banjaran Alps sejauh 11.6 km dengan kelajuan antara 50 hingga 70km sejam.


PESERTA Eurovac 2011 merentasi hamparan padang rumput berhampiran Banjaran Alps.


“Terowong itu akan menguji kemahiran memandu anda. Kalau memandu melebihi had laju, kita akan disaman. Malah, jarak di antara motorhome juga harus dalam radius yang ditetapkan.

“Lebih menarik, terowong tersebut diawasi polis oleh dua buah negara iaitu Itali dan Perancis,” cerita Fairus yang turut menambah, denda sebanyak RM160 (39 euro) kerana kesalahan memandu laju mesti dibayar di situ juga.

Bagi peserta seperti Abdul Naser Abdul Rahman dari Kajang, Selangor, mengembara ke Eropah dengan ditemani isteri dan dua orang anak memberi pengalaman yang cukup bernilai pada dirinya.

“Motorhome seolah-olah memandu hotel sambil mengembara. Bukan saja selesa malah ia mendidik anak-anak menjadi lebih berdikari,” katanya yang percaya gaya percutian motorhome boleh menjadi satu trend baru di Malaysia.

Varia!»

Logo kuih baulu Politeknik Metro

PARA pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur menggunakan sistem giliran bertugas bagi menyiapkan kuih baulu.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15