HIBURAN

Cuba beri yang terbaik

Cuba beri yang terbaik




MEREKA masih terlalu hijau dalam industri seni tempatan. Baik Miera Leyana atau mesra disapa Miera, mahupun Hairul Azreem yang dipanggil Hairul, mereka berdua baru memulakan rentas desa dunia hiburan. Jauh lagi liku yang perlu diterokai untuk rasmi duduk dengan selesa sebagai anak seni.

Tetapi kedua-duanya mempunyai azam yang kuat. Kedua-duanya mahu mencuba sebaik mungkin untuk meloloskan diri dan duduk selesa di dalam ‘perkampungan seni’ bersama-sama karyawan yang sudah lama berumah tangga di sini. Masing-masing mahu mencuba yang terbaik dengan jalan cerita kerjaya yang berbeza.

Hairul perlu popular

Siapa Hairul Azeem? Itu adalah pertanyaan klise tentang empunya diri. Baru setahun bertatih sebagai pelakon, namun Hairul bukan calang-calang pelakon. Dia tidak masuk dengan tangan kosong, walau dia tidak mempunyai sebarang sijil dunia lakonan.

Sudah banyak penerbit yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon. Walaupun masih baru, dia telah terbabit dengan dua buah filem iaitu Keramat dan Senario Ops Pocot yang masih menanti tayangan. Dalam masa yang sama, dia terlibat dengan drama Ahmad Albab, Jangan Pandang Belakang Congkak The Series dan Asmara 2.

Tetapi sebelum muncul di depan layar, terlebih dahulu dia mengutip pengetahuan di belakang tabir. Kerja utamanya sebelum menjadi pelakon adalah melakonkan lagak ngeri. Sudah banyak karya yang menggunakan khidmatnya termasuk Bio-Nik dan Niang Rapik. Namun selepas dua tahun menjadi pelakon lagak ngeri, peluang terbuka dan bermula fasa baru kariernya sebagai seorang pelakon.

Mengajak si bujang berusia 23 tahun, Hairul, berbicara tentang kariernya, ada api yang berkobar-kobar di dadanya untuk dipandang orang. Dalam erti kata lain, pelakon yang mula mencuri tumpuan menerusi lakonannya dalam drama bersiri Marhabah Delaila itu tidak malu mengaku bahawa dia dahagakan populariti. Bagi anak keempat daripada tiga beradik itu populariti amat penting bagi orang baru seperti dirinya.

Ini kerana dia sedar, dirinya agak ketinggalan di belakang pelakon-pelakon lelaki muda yang ada seperti Shahz Jazle, Fizo Omar atau Kamal Adli. Bukan mahu meletak dirinya setanding dengan nama-nama tersebut, namun kata Hairul, dia juga mahu khalayak sedar akan bakat yang ada pada dirinya dan ada peluang untuk dia mengorak langkah lebih cantik sebagai pelakon pelapis baru.

“Secara jujur saya mengaku populariti amat penting buat saya sebagai pendatang baru. Apabila orang mula mengenal kita, maka orang akan mula menilai kerja yang kita buat dan dalam industri ini. Populariti amat penting untuk seseorang anak seni,” katanya tanpa berselindung.


TIDAK pernah berganding sama dalam mana-mana karya, Miera dan Hairul berharap mereka boleh bekerjasama satu hari nanti.


Justeru, langkah pertama yang diusahakan Hairul agar dirinya meraih sedikit perhatian khalayak adalah keluar daripada kepompong selesa. Dia kini lari daripada watak baik yang menjadi salam pengenalannya ke dalam dunia lakonan lebih setahun lalu.

“Saya tahu lakonan saya dengan watak baik kurang diberi perhatian. Malah saya akui, dalam drama Marhabah Delaila saya memang kelihatan amat kayu (tak tahu berlakon).

“Namun semakin lama memahami seni lakonan, saya mahu keluar daripada kepompong selesa. Saya mahu membawa watak yang lebih meninggalkan kesan seperti watak-watak antagonis. Kini, saya kira, saya sedang bergerak keluar daripada kepompong itu apabila banyak penerbit mula memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak antagonis seperti dalam drama Asmara 2,” katanya yang membawa watak Fikri, adik kepada Asmara dalam drama popular tersebut.

Malah tanpa segan, dia memberitahu mempunyai misi yang lebih besar pada masa akan datang. Hairul menyifatkan misinya itu sebagai sambil menyelam minum air. Dia mahu menjadi pelakon lagak aksi sejati seperti Tony Jaa dan menghasilkan karya seperti filem aksi dari Thailand, Ong-Bak.

Hal itu terdorong kerana dia mempunyai latar belakang seorang ahli taekwondo dan terlibat dalam banyak pertandingan sukan yang diadakan di Malaysia. Namun kerana mengalami kecederaan, dia akhirnya meninggalkan lapangan tersebut dan menjadi pelakon lagak ngeri.

Ahli taekwondo

“Dulu saya merupakan seorang ahli taekwondo dan berhenti bersukan pada tahun 2006 kerana tercedera. Kemudian apabila saya jadi pelakon lagak ngeri, saya tanam impian untuk melihat Malaysia. Saya faham banyak yang mengatakan kos membuat filem aksi tinggi, tetapi saya tetap mahu mencuba, sekurang-kurangnya menghasilkan karya seperti filem Ong-Bak satu hari nanti,” katanya penuh semangat.

Miera Leyana pula tahu namanya mendadak jadi sebutan selepas insiden memakai pakaian seksi dalam satu majlis tidak lama dulu. Dia tahu macam-macam label diberikan kepada dirinya dan dituduh seperti mahu mencari publisiti murahan untuk jadi popular.

Ironi, kata gadis yang baru berusia 18 tahun itu, sedikit pun tidak terlintas di hatinya untuk mencari publisiti murahan dengan cara mengaibkan diri sendiri.


PELAPIS baru. Miera Leyana dan Hairul Azeem bersedia menempuh kesukaran untuk menjadi pelakon sejati.


“Saya tak cari publisiti murahan. Kalau saya nak cari, saya rasa saya perlu cari tiga tahun lalu, sewaktu saya mula-mula masuk ke dalam industri dulu. Ia juga bukan satu strategi untuk jadi popular dengan jalan mengaibkan diri sendiri,” katanya dengan petah.

Walau tahu ada impak negatif, namun dia tetap bersyukur kerana di sebalik itu, banyak peluang mula terbuka buatnya. Orang industri, kata Miera lagi, tidak menggunakan isu tersebut untuk mengambilnya berlakon, tetap menilai berdasarkan tahap kemampuan dia membawa watak dengan berkesan.

Dia sendiri begitu teruja menjadi seorang pelakon kerana menganggap dunia lakonan membuat dia boleh menjiwai pelbagai karakter yang bukan dirinya. “Dalam dunia realiti, misalnya, saya bukan orang gila, tetapi di dalam lakonan, saya boleh menjadi orang gila. Atau saya bukan pembunuh, tapi saya boleh jadi pembunuh,” katanya yang bercita-cita membuka sebuah rumah produksi satu hari nanti.

Malah dalam tempoh tiga tahun lalu, sudah banyak penerbit yang menggunakan khidmatnya. Di kaca televisyen, dia cukup popular dengan drama Kamelia Katrina, Apa Itu Cinta dan Ceria-Ceria Cikgu Rubina. Dalam waktu yang sama, Miera telah terbabit dalam filem seperti Apokalips dan terbaru bakal muncul dengan filem Kasih Yang Suci dan Jangan Pandang-Pandang.

“Saya fikir, semua peluang yang diberi bukan kerana kontroversi itu sebab filem-filem tersebut menggunakan khidmat saya sebelum ia terjadi. Jadi ia adalah bersandarkan bakat, bukan kontroversi,” katanya yang mengaku amat suka mencuba pelbagai jenis fesyen.

Namun saat ditanya adakah populariti penting baginya sekarang, gadis manis yang juga aktif sebagai seorang model itu mengangguk dan memberitahu menjadi popular amat penting bagi dirinya.

Dia menyatakan dengan ringkas: “Kalau saya tak popular, orang susah nak beri saya peluang bekerja kerana tak kenal saya. Jadi popular memang penting buat saya.”

Stailo!»

Mengangkat warisan Scotland

STOKING dipakai hingga mencecah paras lutut dalam gaya pemakaian kain tartan.

Varia!»

Nilai moral rakyat Malaysia mula terhakis

PERISTIWA model memakai pakaian dalam dan menjalani sesi fotografi di tempat awam di Ipoh telah mengejutkan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15