SUKAN

Shabery luah rasa terkilan

Shabery luah rasa terkilan


GIMIK... Shabery (dua dari kanan) merasmikan PraPelancaran Larian Ekiden Antarabangsa Malaysia Putrajaya 2011 di Putrajaya semalam.


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui, beliau amat terkilan dengan perpecahan yang berlaku dalam sesetengah persatuan sukan di Malaysia ketika ini.

Ini kerana menurut Shabery, perpecahan tersebut bukan sahaja merugikan persatuan itu sendiri, malah ia turut menjejaskan pembangunan sukan negara pada masa hadapan.

"Sudah pasti saya amat terkilan kerana masih wujud perpecahan yang dalam (persatuan) sukan kita.

"Ini adalah sesuatu yang bukan sahaja merugikan mereka sendiri (persatuan), malah ia juga sebenarnya tidak bagus bagi (pembangunan) sukan negara," jelas beliau ketika merasmikan PraPelancaran Larian Ekiden Antarabangsa Malaysia Putrajaya 2011 edisi keenam di kementeriannya di Putrajaya semalam.

Shabery mengulas demikian ketika menjawab isu pergolakan di antara Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berlanjutan sejak awal Januari lalu.

Bekas jurulatih kepada pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei itu telah menolak tawaran BAM yang mahu melantiknya sebagai jurulatih skuad pelapis negara minggu lepas.

Menurut Shabery, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) enggan campur tangan dalam pergolakan badan induk badminton negara itu, sebaliknya menyifatkan bahawa isu tersebut telah selesai.

Malah tambah Shabery lagi, sudah tiba masanya bagi BAM dan Misbun memberi tumpuan kepada misi masing-masing dalam melahirkan pelapis sebagai pengganti kepada Chong Wei selepas ini.

"Kami (KBS) boleh paksa Misbun untuk kekal bersama BAM tetapi apa gunanya kalau hatinya sendiri sudah tidak bersama persatuan itu.

"Seperti kata perumpamaan, "kita boleh membawa seekor kuda ke sungai tetapi kita tidak boleh memaksa kuda itu minum airnya".

"Jadi, sama dengan isu ini. Buat apa nak paksa (pujuk) dia lagi kalau dia sudah tidak mahu. Lebih baik kita beri tumpuan kepada usaha mencari pengganti kepada Lee Chong Wei.

"Tentang Misbun, saya tidak mahu komen lagi. Mungkin dia akan kembali semula ke BAM suatu hari nanti, siapa tahu? Biarlah masa sahaja yang boleh mengubati semua kelukaan ini," jelas Shabery.

Misbun mula menyertai BAM selaku jurulatih pada 2002 dan sepanjang tempoh lapan tahun bersama badan induk itu, beliau telah berjaya melahirkan 'permata' yang cukup berharga buat arena sukan badminton tanah air dengan kemunculan Chong Wei.

Process time in ms: 31