RENCANA UTAMA

Kiropraktik rawat sakit belakang

Kiropraktik rawat sakit belakang


TEKNIK tekanan fleksi dilakukan dengan cara yang betul dan selamat.


SERINGKALI kita mengadu sakit belakang apabila memandu dalam perjalanan yang jauh. Pekerja korporat pula kerap berasa sakit pada bahagian pinggang disebabkan duduk terlalu lama di pejabat.

Sebenarnya, semua masalah itu tidak serius tetapi memberi kesan besar pada kemudian hari.

Sebagai contoh, amalan meletakkan dompet di poket belakang seluar akan menyebabkan tulang pinggul tinggi sebelah semasa duduk dan keadaan ini boleh menjadi punca sakit belakang.

Selain itu, penggunaan beg sandang yang hanya memberi beban di sebelah bahu boleh menyebabkan sakit leher. Sebab itulah beg galas lebih digalakkan penggunaannya kerana ia lebih seimbang.

Kesakitan pada leher akan bertambah teruk jika pesakit kerap memusingkan leher hingga mengeluarkan bunyi ‘pop’.

Amalan itu mungkin memberi keselesaan kepada pelaku berikutan tindak balas neurologi yang merembeskan hormon endofin iaitu sejenis hormon yang memberi ketenangan.

Kiropraktik

Namun, pakar kiropraktik di Green Total Health Centre, Kuala Lumpur, Lim Jia Jen berkata, perlakuan sebegitu menyebabkan ligamen menjadi tegang manakala otot mengeras.

“Koyakan cakera tulang boleh berlaku. Apabila cecair dalam tulang keluar, terjadilah pembengkakan saraf dan menimbulkan rasa sakit di bahagian belakang.

“Jika dibiarkan, pesakit akan berasa sakit di bahagian kaki pula,” ujar Jia Jen.

Di Green Total Health Centre, terdapat cara untuk mengurangkan malah menghilangkan rasa sakit itu iaitu menggunakan kaedah kiropraktik.

Kiropraktik sudah lama diamalkan di dunia Barat. Ia terbukti sangat efektif dari segi kos berbanding menjalani pembedahan. Ia sama sekali tidak menggunakan ubat-ubatan.

“Sama seperti sebuah kereta yang digunakan setiap hari, ia perlu diselenggara secara berkala, begitu juga tubuh kita,” kata Jia Jen.

Kiropraktik melibatkan dua cara terapi untuk mengurangkan sakit belakang iaitu teknik tekanan fleksi dan terapi titik pemicu.

Menurut seorang lagi pakar kiropraktik di pusat tersebut, Dr. Chen Le Leng, teknik tekanan fleksi bertujuan membetulkan kedudukan rawan dan sendi.

Skoliosis

“Bunyi ‘pop’ akan terhasil tetapi ia dilakukan dengan cara yang betul serta pada tekanan yang sesuai, bergantung pada keadaan pesakit,” kata Le Leng yang berpengalaman dalam bidang kiropraktik selama tujuh tahun.

Sebelum sendi dibetulkan, Jia Jen akan mengesan titik-titik di badan pesakit untuk melepaskan ketegangan otot badan yang disebabkan kedudukan tulang yang tidak seimbang itulah yang menjadi punca sakit belakang.

“Ketika otot-otot ditekan, rasa sakit seperti sengal dan pedih akan terasa dan kesakitan tersebut akan tersebar ke semua otot yang terlibat.

“Tetapi kesakitan tersebut hanya sebentar. Selepas itu badan akan terasa segar, letih atau gembira,” katanya.

Satu lagi masalah yang sering dialami orang ramai ialah skoliosis. Skoliosis merupakan kedudukan tulang belakang yang bengkok ke sisi dan ia adalah punca sakit di bahagian pinggang.

Tulang belakang bengkok secara perlahan-lahan berpunca daripada aktiviti harian individu yang tidak mengutamakan postur badan yang betul.

Kata Jia Jen, postur duduk yang tidak betul serta duduk dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan skoliosis pada tulang belakang.

“Seseorang dinasihatkan tidak duduk terlalu lama. Mereka perlu bangun dan berjalan-jalan setiap 45 minit.

“Selain itu, seimbangkan tekanan di kedua-dua bahagian tulang punggung,” kata Jia Jen lagi.

Terdapat juga mitos mengatakan pengambilan kalsium yang berlebihan akan menyebabkan tulang menjadi sangat keras dan mudah patah.

Namun, kata Jia Jen, itu tidak mungkin berlaku kerana apabila kalsium sudah mencukupi, tulang akan berhenti menyerap.

Process time in ms: 16