PESONA

Pembelajaran anak Kiwanis di TUDM

Pembelajaran anak Kiwanis di TUDM


AHMAD AFANDI (dua dari kiri) bersama Muhammad Naim Zaina Salleh memotong kek hari sempena sambutan Hari Sindrom Down Sedunia di Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi baru-baru ini.


DERETAN model pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tersusun di Galeri 1 Muzium TUDM menimbulkan rasa teruja buat sekumpulan pengunjung istimewa yang hadir.

Tanpa berlengah, masing-masing mula mengeluarkan kamera dan memainkan peranan sebagai jurugambar amatur dan memilih sudut terbaik dalam menghasilkan gambar yang diingini.

Di satu sudut kelihatan seorang bapa tekun menyuruh si anak bergaya di hadapan model pesawat yang dipilih. Walaupun zuriatnya itu merupakan anak sindrom Down, namun dia mampu memberi gaya menarik.

Sesekali, bibir mereka menguntum senyuman tanda malu apabila ada orang lain memerhatikan gelagat mereka. Demikian antara situasi yang dapat dilihat sewaktu berlangsungnya sesi lawatan sambil belajar oleh Yayasan Kiwanis Sindrom Down Nasional (YKSD) ke Muzium TUDM baru-baru ini.

Menurut Presiden YKSD, Tee Han Cheong, program tersebut diadakan sempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.

“Apa yang penting, matlamat sambutan Hari Sindrom Down Sedunia ini adalah untuk menyerlahkan bakat dan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat bahawa individu yang dilahirkan dengan kecacatan sindrom Down juga mampu berdikari dan menjadi insan yang berguna jika mereka diberi peluang dan bimbingan secukupnya.

“Kehadiran mereka akan diberi perhatian oleh khalayak dan secara tidak langsung menepis segala stigma yang sering ditimbulkan mengenai masalah pembelajaran golongan sindrom Down,” jelas Han Cheong ketika ditemui Kosmo!.

Sementara itu, Pengarah Urusan YKSD, Angie Heng berkata, program tersebut dianjurkan untuk memberi peluang kepada pelajar sindrom Down merasai pengalaman menyertai lawatan sambil belajar dan mengenali bagaimana TUDM bermula.

Kesedaran masyarakat

“Di samping itu, mereka turut diberi maklumat tentang peranan yang dimainkan oleh TUDM sebagai entiti utama yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan ruang udara negara,” ujar Angie. Pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti lain dalam menyebarkan maklumat dan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai sindrom Down dari semasa ke semasa.


LIM ZI REN gembira berada di dalam pesawat pada satu lawatan ke Muzium TUDM baru-baru ini.


Seramai 144 peserta termasuk 50 pelajar sindrom Down, ibu bapa, guru dan kakitangan YKSD menyertai program lawatan tersebut.

Bagi Komander Pangkalan TUDM, Leftenan Kolonel Ahmad Afandi Shuib, beliau mengakui teruja apabila melihat keseronokan yang terpamer pada wajah anak-anak istimewa tersebut.

“Walaupun mereka mungkin tidak mengerti sepenuhnya tentang apa yang dilihat atau didengar melalui lawatan ini, tetapi saya percaya sedikit sebanyak ia membantu proses pembelajaran anak-anak ini.

“Malah, kami di TUDM rasa gembira dan bangga kerana berpeluang memberi pendedahan seumpama ini kepada pihak YKSD dan juga ibu bapa yang mempunyai anak-anak sindrom Down,” kata Ahmad Afandi.

Tambah beliau, pihaknya juga pernah mengadakan satu program terapi khas bagi kanak-kanak kurang upaya seperti menaiki kuda dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam pada itu, ibu kepada Ahmad Abdul Rahman, kanak-kanak sindrom down yang baru berusia tiga tahun setengah, Dr. Farrah Nini Dusuki, 42, tidak ketinggalan berkongsi pengalaman sepanjang lawatan berlangsung.

“Melalui program sebegini, ia mampu memberi pendedahan kepada si kecil tentang dunia luar sekali gus merasai pengalaman mengikuti rombongan seperti menaiki bas, berkumpul beramai-ramai dan sebagainya,” tutur Farrah Nini yang mula menghantar anaknya ke Kiwanis sejak berusia empat bulan.

Lawatan itu dikelolakan oleh YKSD yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menyediakan Program Pendidikan Khas bagi kanak-kanak sindrom Down.

Sehingga kini terdapat tujuh pusat YKSD beroperasi di seluruh negara dengan jumlah pelajar keseluruhannya melebihi 200 orang.

Process time in ms: 0