VARIA

Avokado buah kaya nutrisi

Avokado buah kaya nutrisi


BUAH avokado kini dipromosi menjadi sebahagian diet sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.


BUAH avokado jarang sekali dimakan sebagai menu pencuci mulut oleh masyarakat setempat. Sedangkan hakikatnya, avokado merupakan antara buah terbaik yang tersenarai antara beberapa jenis buah-buahan yang lemaknya terdiri daripada jenis lemak tidak tepu seperti buah zaitun dan kacang tanah.

Tetapi kini, banyak pendedahan mengenai nutrisi dan khasiat yang terkandung di dalamnya menyebabkan buah avokado menerima populariti yang semakin tinggi.

Menurut Pakar Hortikultur dari Queensland, Jodie Campbell selain daripada produk kecantikan, buah avokado juga sangat sesuai dimasukkan dalam pelbagai jenis hidangan masakan Barat mahupun Asia.

“Hanya dengan sedikit tambahan, ia mampu memberi kita manfaat kesihatan harian yang sangat diperlukan oleh badan. Buah avokado juga mengandungi lemak tidak tepu yang membantu mengekalkan berat badan seimbang selain mempunyai kandungan gula dan garam yang rendah.

“Ia juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B termasuk B6, niasin dan riboflavin, C dan E. Malah, ia juga mengandungi mineral seperti zat besi, magnesium dan kalium selain diperkaya dengan fiber dan folat. Namun, ia bebas sodium dan kolesterol,” katanya yang hadir untuk mempromosikan buah tersebut di Berjaya University College of Hospitality (BUCH) untuk sebuah program latihan A Taste of Australian Avocados baru-baru ini.

Program interaktif itu dianjurkan oleh Euro-Atlantic Sdn. Bhd. yang merupakan pengimport buah-buahan, sayuran dan beberapa jenis makanan laut yang segar dan beku. Program itu dihadiri lebih 100 peserta daripada pelbagai sektor perniagaan termasuk dari hipermarket, supermarket dan peruncit.

Selain menceritakan khasiat buah tersebut, Campbell yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang nutrisi buah avokado, turut berkongsi pelbagai topik berkaitan buah avokado termasuk cara yang betul untuk memegang buah tersebut, proses penghantaran dan bekalan. Tidak ketinggalan beliau memberi tip mengenai cara pemasaran buah berkenaan.

“Selalunya apabila kita membeli buah kita akan picit di bahagian tengah-tengah, tetapi disebabkan buah avokado mempunyai tekstur yang lembut, cara yang betul ialah dengan hanya menggenggam sedikit sahaja,” kata Campbell yang turut memberitahu tekstur avokado masak yang lembik sesuai dijadikan makanan pertama bayi.

Katanya, kandungan lemak mono tidak tepu dalam avokado penting untuk tumbesaran bayi. Hanya dengan melecek isinya, tersedia satu jenis hidangan bayi yang berkhasiat.

Dalam pada itu, seorang chef, Malcolm Goh turut mendemontrasi cara mudah menyediakan menu sihat iaitu Avocado Zimbabwe.

Tambah Campbell, pihaknya kini banyak mempromosikan kebaikan buah avokado kepada orang ramai kerana ramai yang kurang faham mengenai buah tersebut.

“Buah avokado juga boleh membantu mengurangkan kadar kolesterol dan baik untuk hati manakala kandungan vitamin E nya bagus untuk kulit,” katanya.

Sementara itu Penolong Pembekal Luar Negara Euro-Atlantic, Su’aidah Ahmad berkata, pihaknya memilih untuk mempromosikan buah avokado dari Australia atas permintaan tinggi pelanggan.

“Kami dapati pelanggan lebih gemar memilih avokado Australia berbanding Mexico dan Sepanyol kerana kualiti dan rasa.

Process time in ms: 47