HIBURAN

Pengganti Estranged

Pengganti Estranged


DARI kiri: Hanafi, Andy, Rich dan Din mengaku kagum terhadap keupayaan pengarah Cheong Heng Ho dan Asia-Pasific Videolab (APV) yang bertungkus-lumus menerbitkan klip video Pengganti.


DIAM-diam ubi berisi. Itulah perumpamaan kepada empat jejaka, Rich, Din, Andy dan Hanafi yang menggelarkan diri mereka Estranged.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 yang terkenal dengan lagu Itu Kamu dan Aurora ini bertapa selama enam bulan untuk menyiapkan sesuatu buat peminat mereka.

Membawakan Pengganti, single terbaru itu bukan sahaja untuk menjadi santapan telinga bahkan penggerak minda pendengar.

“Saya gemarkan perkara saintifik. Idea menulis lirik lagu Pengganti datang ketika menonton program Parallel Universe.

“Saya teruja dengan konflik di sebalik kejadian di dua alam berbeza tetapi melibatkan individu yang sama,” ujar Rich, vokalis yang mengambil subjek profesor sains ke alam lain untuk penceritaan lagu Pengganti.

“Lirik kali ini lebih rumit dan mendalam. Saya fikir kami tidak boleh syok sendiri.

“Namun, pada masa yang sama kami mahu pendengar berfikir semasa mendengar single ini yang menyampaikan mesej, kalaulah boleh diganti diri kita ini,” ujar Rich yang mengagumi lirik-lirik grup Padi.

Hasilnya, klip video Pengganti ditayangkan secara perdana pada 12 April lalu di laman web www.estranged.info dan www.facebook.com/estrangedband.

Klip video menarik tersebut merupakan kerjasama pertama Estranged dengan Playhouse-Pictures dan Asia-Pasific Videolab (APV).

Ia membuahkan pengalaman baru buat Estranged yang menyatakan bahawa mereka adalah jenis kumpulan yang suka bercerita.

“Ini kali pertama kami bekerja dengan skrin hijau dan banyak pascaproduksi.

“APV dan Playhouse-Pictures mengambil masa selama dua bulan untuk menguruskan pascaproduksi klip video ini,” ujar Andy, pemain dram yang menganggap APV bijak memikat perhatian remaja.


BUAT kumpulan Estranged, ini adalah pengalaman pertama mereka berdepan dengan teknologi skrin hijau.


Sebelum ini, pihak APV lebih banyak terlibat dalam industri pengiklanan selain penghasilan efek visual untuk muzik video tempatan.

“Ini merupakan salah satu usaha APV untuk menyokong pemuzik tempatan.

“Sebenarnya kami membuat senarai pendek artis yang kami ingin bekerjasama namun akhirnya kami memilih Estranged.

“Kami yakin mereka bersikap profesional dan Estranged pula mempercayai kebolehan APV dalam menghasilkan klip video berkualiti,” ujar pihak APV.

Bagi Estranged, mereka ingin muncul dengan material baru yang lebih menunjukkan kematangan.

“Untuk single terbaru, kami banyak mengambil pengaruh 1990-an. Kami merindui album pertama kami dan mahu mengembalikan pendengar kepada bunyi-bunyian sebegitu,” ujar Din, pemain bass yang sentiasa hadir dengan gaya rambut baru.

“Cara rakaman untuk material terbaru juga agak berlainan. Rakaman dijalankan di dua buah studio berbeza.

“Ini kali pertama kami melakukan kaedah ini dan kami puas hati,” ujar Hanafi, gitaris Estranged tentang rakaman lagu Pengganti dan dua buah lagu baru mereka.

Ditanya tentang pertemuan dengan para peminat kerana sudah agak lama Estranged tidak hadir di atas pentas, mereka sama-sama mengharapkan sebuah showcase.

“Kami harap dapat muncul dengan sebuah showcase yang lebih bersifat intimasi, lebih dekat dengan para peminat,” bicara Andy tentang grup yang pernah membuat persembahan di Taiwan, Singapura dan Indonesia ini.

Process time in ms: 47