HIBURAN

Darah haid jamu makhluk halus

Darah haid jamu makhluk halus


FILEM Penunggu Istana mencipta sejarah sebagai filem paranormal pertama pernah dihasilkan dalam sinema Malaysia.


KETIKA dan saat ini, peminat filem tempatan sudah pun mula berasa berderau menantikan detik bersejarah pada 21 April, 2011 (hari ini).

Ini kerana buat julung-julung kalinya berlaku dalam industri perfileman Malaysia, satu fenomena yang bakal mengheret mereka ke satu alam yang sememangnya sukar diterima akal fikiran manusia biasa.

Lupakan sahaja cerita-cerita hantu yang pernah didengar selama ini. Jangan hiraukan juga kisah-kisah seram yang pernah dipaparkan menerusi drama mahupun filem.

Itu semua adalah sekadar cerita dan lakonan semula. Mulai hari ini, peluang untuk menyaksikan sendiri dengan mata dan mendengar dengan telinga penemuan-penemuan misteri yang mungkin menyebabkan lidah kelu seribu bahasa, mata terbeliak tidak terbendung, malah mungkin kaki tidak terasa berpijak di atas lantai.

Ia sememangnya satu kenyataan. Pengalaman menonton sebuah filem realiti seram genre paranormal pertama di Malaysia itu tidak akan sama dengan pengalaman menonton filem-filem seram sebelum ini.

Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Primeworks Studios membawakan naskhah terbaru, Penunggu Istana. Ia membawa keseraman realiti hasil cantuman video yang dirakamkan oleh lima pelajar universiti (terdiri daripada Sara Ali, Nadzirah Ahmad Nadzri, Nor Zafirah Abd. Rahim, Mustaqim Mohamed Zaki dan Amar Asyraf) sewaktu berada di sebuah lokasi misteri di daerah Papan, Perak, dikenali sebagai Istana Billah.

Pengalaman sepanjang 15 hari mereka di sana dengan bantuan kumpulan pengkaji aktiviti paranormal yang tidak asing lagi di Malaysia iaitu Kumpulan Seekers (diketuai oleh Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas atau Uncle Seekers), disampaikan secara langsung buat penonton untuk sama-sama berkongsi menyaksikan beberapa penemuan aneh yang mampu meremangkan bulu roma!

Persoalannya kini, beranikah anda untuk mengetahui kebenaran itu?

Istana Billah merupakan sebuah kediaman dua tingkat yang telah ditinggalkan beratus tahun dahulu. Dipercayai telah dibina oleh seorang bangsawan dari suku Maidailing, Sumatera, rumah tersebut pernah menjadi lambang senibina yang gah pada tahun 1890-an.

Namun, tidak pernah diketahui apa puncanya ia ditinggalkan begitu sahaja. Hanya buah mulut penduduk setempat yang mengatakan rumah itu berpenunggu membuatkan ramai yang ingin mengetahui kesahihannya.

Bukti Istana Billah suatu tempat yang menyeramkan adalah apabila krew produksi drama Warkah Terakhir yang menjalani penggambaran di situ telah 'diusik' oleh sesuatu.

Kes itu lalu telah mengheret lima pelajar tadi untuk memburu entiti paranormal tersebut. Mereka telah dibekalkan dengan peralatan canggih Kumpulan Seekers bagi merakam bukti menunjukkan Istana Billah benar-benar mempunyai penunggu!


KISAH benar Penunggu Istana bermula daripada keberanian lima orang pelajar yang nekad memburu entiti misteri di Istana Billah.


Mengulas lanjut mengenai penemuan kelima-lima pelajar itu menerusi rakaman yang difilemkan sebagai Penunggu Istana, Pengurus Besar Filem dan Drama, Primeworks Studios selaku Penerbit Eksekutif, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata: "Perkara yang melibatkan aktiviti paranormal seperti ini adalah subjektif. Ada yang mempercayainya, tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai karut.

"Namun, kita semua akui yang benda halus memang wujud cuma kita tidak dapat melihatnya dengan pandangan mata kasar. Mungkin ada orang yang bercerita mereka pernah melihat lembaga atau entiti halus tetapi sukar untuk menunjukkan buktinya.

"Apa yang pasti, sedar atau tidak kita dapat merasai 'kehadiran' mereka melalui pelbagai perasaan dan situasi. Tujuan kami membongkar kembali rakaman pelajar-pelajar berkenaan semasa mereka melakukan aktiviti paranoramal setahun yang lepas di Istana Billah melalui filem adalah untuk masyarakat menilai sendiri kesahihan penemuan aneh dan misteri yang berjaya dirakamkan itu.

"Tiada sebarang tokok tambah, hanya rakaman sebenar yang dipamerkan. Sama ada mempercayainya atau tidak, terpulang kepada anda kerana inilah sebenarnya berlaku sewaktu mereka di sana."

Menurutnya lagi, keberanian kelima-lima pelajar itu harus diberi pujian kerana jarang ada remaja yang berminat untuk melakukan aktiviti sebegitu.

Namun, mungkinkah ada sesuatu yang memanggil mereka untuk ke sana? Difahamkan pada awalnya mereka bercadang untuk membuat kajian paranormal itu sebagai satu projek universiti mereka.

Setelah mereka berjaya mengesan sesuatu yang aneh semasa berada di Istana Billah, perasaan ingin tahu mereka semakin membuak-buak untuk meneroka lebih jauh. Seperti ada perasaan ketidakpuasan mula menular dalam diri mereka.

Mereka akhirnya bertindak melampaui batas dan mula melanggar pantang larang yang telah dipesan oleh Uncle Seekers.

Mereka mula membakar kemenyan untuk upacara memuja 'penunggu' di situ agar memunculkan diri. Tidak cukup dengan itu, mereka juga telah menggunakan darah haid salah seorang pelajar perempuan di kalangan mereka, dipercayai untuk menjamu makhluk halus tersebut.

Untuk mengetahui seterusnya apakah yang terjadi kepada kelima-lima pelajar tersebut, segalanya bakal dirungkaikan melalui Penunggu Istana.

Setahun perkara yang menakutkan itu telah berlalu. Hanya mereka yang terlibat sahaja mengerti mengenainya.

Namun, tahun ini giliran anda pula untuk mengalami sendiri rakaman misteri tersebut.

Process time in ms: 672