VARIA

Pencarian ibu jelita

Pencarian ibu jelita


SUDHIR bersama Pengurus Produk Mega Lifesciences, Karen See (dua dari kanan) dengan selebriti Noniswara Baharuddin (kanan sekali) dan Nancy Foo semasa pelancaran Peraduan Glowing Youthful Mother The Fullhouse Kota Damansara baru-baru ini.


ADAKAH anda antara ibu yang sedang sibuk mengejar masa antara kerjaya, keluarga, anak-anak dan tanggungjawab suri rumah tetapi, pada masa yang sama tidak mengabaikan penampilan anggun serta jelita?

Jika anda seorang ibu dalam lingkungan usia lebih 30-an dengan anak-anak lebih daripada usia lima tahun dan selalu disalah tafsir sebagai anak dara, maka anda adalah orang yang dicari untuk pertandingan Ratu Cantik Glowing Youthful Mother yang dianjurkan oleh suplemen kecantikan, Glow dan Pynocare.

Sebagai salah satu produk yang prihatin dengan kecantikan wanita, Glow dan Pynocare mahu meraikan ibu-ibu melalui Pertandingan Ratu Cantik Glowing Youthful Mother. Pertandingan itu dianjurkan oleh Mega Lifesciences Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang komited dalam meningkatkan kesihatan umum dan peneraju dalam bidang kesihatan kulit.

Memandangkan setiap wanita perlu sedar tentang kecantikan kulit muka yang menjadi pencetus keyakinan, pertandingan itu dijangka sesuatu yang tepat pada masanya.

“Lebih-lebih lagi apabila kita kurang ruang untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik yang melibatkan wanita-wanita yang sudah bergelar ibu. Ini adalah platform untuk menunjukkan kecantikan anda,” kata Pengarah Serantau Mega Lifesciences, Sudhir Gandhi.

Ia juga sebagai pencetus kesedaran awam mengenai konsep antipenuaan, terutama berkaitan kesihatan dalaman kulit.

Dalam pertandingan itu peserta juga akan didedahkan tentang kepentingan nutrien mikro yang betul adalah penting untuk melambatkan proses penuaan di samping gaya hidup sihat yang lain.

Gaya hidup sihat

Peraduan Glowing Youthful Mother diadakan dengan tujuan mendekati ibu-ibu di Malaysia berusia 30 tahun ke atas, latar belakang dan kerjaya berbeza tetapi mempunyai kulit yang berseri dan bersinar melalui gaya hidup sihat.

Mereka juga mengamalkan pengambilan makanan tambahan yang betul, sekali gus memberikan mereka kulit yang sihat.

“Peraduan ini adalah yang pertama seumpamanya, ditambah dengan pelbagai aktiviti yang bakal dianjurkan sehinggalah ke peringkat akhir yang dijadual pada bulan Jun di Kuala Lumpur.

“Selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, ia adalah peluang buat wanita untuk menjadi duta kecantikan dan kesihatan, selain menyebarkan mesej kepada wanita Malaysia yang lain mengenai rahsia kelihatan lebih muda,” tambah Sudhir yang turut menjelaskan tentang kepentingan nutrisi sihat kepada ibu-ibu.

Dalam pada itu, kata Sudhir, untuk kekal cantik, muda dan berseri, selain pengambilan suplemen, seseorang itu juga harus peka terhadap pengambilan air, senaman dan tidur yang mencukupi sebagai rejim penjagaan kecantikan serta kesihatan.

“Makanan sememangnya boleh menyumbangkan nutrisi yang baik, tetapi dalam kehidupan urban yang serba moden ini, kita mungkin tidak mengambil mineral dan vitamin yang secukupnya. Di sini suplemen mengambil tempat sebagai pelengkap,” kata beliau yang percaya, walau apa pun jadual harian, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sesuatu yang tidak boleh di kompromi.

Berbalik kepada pertandingan yang diadakan, katanya, ia bukan sekadar mengukur kecantikan luaran seseorang wanita tetapi menguji personaliti, pandangan dan fikirannya melalui pelbagai pusingan menarik termasuklah gaun malam, pertunjukan bakat dan soal jawab.

“Pemenang semestinya seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat dan menjadikan makanan tambahan sebagai sebahagian daripada hidupnya. Sudah tentu kami mencari seorang yang akan memukau kami dengan personalitinya dan berkongsi saat-saat indah sebagai seorang ibu dan wanita,” jelas Sudhir mengenai kelayakan yang dilihat pada pemenang peraduan ini.

Peraduan ini terbuka kepada semua ibu di Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas. Calon-calon yang berminat perlu menghantar sekeping foto individu dan foto bersama anak-anak mereka bersaiz 4R. Maklumat lanjut mengenai peraduan dan borang permohonan boleh diperoleh daripada laman Facebook Glow, www.facebook.com/Glowforever dan farmasi-farmasi yang mengambil bahagian.

Penyertaan sudah boleh dihantar hingga 15 Mei ini. Finalis-finalis terpilih akan bersaing untuk merebut gelaran Peraduan Glowing Youthful Mother dalam satu pertandingan akhir yang dijadual pada Jun 2011.

Pemenang tempat pertama Peraduan Glowing Youthful Mother berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM2,000.

Process time in ms: 78