RUANG

Rumah pusaka Batu Pahat

Rumah pusaka Batu Pahat


SUDUT wajib tandang sebelum tetamu pulang.


PERKENALAN dengan jejaka berusia 31 tahun ini membuka ruang kepada Jurnal untuk menyaksikan hasil kreativitinya yang bersifat neoklasik.

Cerminan cita rasa yang lahir daripada keghairahan terhadap barangan lama bukan sahaja membangkitkan nostalgia penghuni bahkan mengekalkan identiti rumah warisan berusia 100 tahun itu yang terletak di Kampung Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

“Rumah ini adalah warisan daripada datuk kepada bapa saya, Suleiman Bakri, 73.

“Nilai sentimental rumah ini bukan sahaja terletak pada binaannya, tetapi juga pada jasanya yang menjadi saksi kehidupan empat generasi,” ujar Shahril Suleiman.

Ditunjangi rekaan rumah gaya limas, teratak kayu ini pernah diubahsuai pada tahun 2009 menjelang perkahwinan kakak sulung Shahril namun binaan asal dikekalkan.

Antara elemen rumah kampung yang dapat dilihat di rumah ini ialah anjung dan sutuh yang terletak di bahagian hadapan kediaman.

Biarpun tidak sarat dengan seni ukiran kayu mahupun hiasan kerawang, nilai klasik yang diterapkan di balik anjung ini masih dapat diterjemahkan menerusi jalinan kayu dan cucur atap bercorak bulan separuh yang melekap di sekeliling bumbungnya.

Dibina memanjang ke belakang, rumah dengan ketinggian sembilan meter ini masih mengekalkan jendela kayu sebagai pengalir udara utama buat seisi rumah.

“Kalau hendak tahu, baru lima tahun kebelakangan ini kami memiliki kipas angin.

Kesederhanaan

“Sebelum ini, kami hanya bergantung pada fungsi pintu dan tingkap,” ujar anak ketiga daripada enam beradik ini.

Kata-kata Shahril itu ada benarnya. Elemen pencahayaan semula jadi dari luar bebas dialirkan masuk menerusi binaan jendela yang besar turut membolehkan penghuni menikmati pemandangan luar yang segar dan redup.


KAMAR tidur yang menerima suntikan idea hiasan kontemporari.


Memiliki tiga ruang utama yang dibina pada ketinggian berbeza, kunjungan ke kediaman yang kaya dengan hiasan bunga ini tidak sah jika tidak meneroka isi dalamnya, dari muka anjung hingga ke dapur basah yang terletak di bahagian bawah.

Tidak begitu padat dengan hiasan, Shahril yang gemarkan penataan visual berorentasikan kesederhanaan lebih senang menggunakan barangan lama sebagai aksesori hiasan.

“Saya bekerja di Kuala Lumpur dan hanya pulang sekali dua dalam sebulan.

“Kesempatan pulang ke kampung itulah digunakan sepenuhnya untuk mengemas dan menghias rumah.

“Lantaran itu, ketelitian dalam penyusunan perabot atau aksesori hiasan perlu diutamakan supaya hasilnya kelak tidak membataskan aktiviti ibu dan bapa yang tinggal di sini,” ujarnya yang mengakui perlu patuh pada peraturan menghias yang ditetapkan bapanya.

Dilarang memaku

Menurut pengurus pusat beli-belah Jusco AEON AU2 di Setiawangsa, Kuala Lumpur ini, bapanya pernah melarang dia memaku dinding dan sehingga kini perabot yang mahu dibeli perlu mendapat pandangan bapanya terlebih dahulu.

“Perabot yang berat mungkin dapat menjejaskan struktur binaan lantai. Bapa sangat sayangkan kepingan lantai dan dinding asal rumah ini,” jelasnya.


LEKAPAN ukiran bunga berdiameter lebar menjadi tarikan di ruang utama.


Memasuki ruang tamu yang berbentuk L, tetamu pastinya tertarik dengan susun atur perabot yang ringkas tetapi cukup kemas.

Jumlah perabot yang minimum daripada potongan ringkas menyuntik rasa bebas dan santai.

Ruang tamu yang bersambung dengan ruang makan formal dihubungkan oleh bahagian tengah rumah yang menjadi ruang keluarga melalui tangga.

“Jika keluarga berkumpul, kami lebih suka habiskan masa di sini, selain di dapur.

“Di sini, kami akan menonton televisyen bersama-sama. Malah, adakalanya kami lebih suka hamparkan saprah dan makan bersila di ruang ini,” ujar Shahril.

Di ruang sama, pandangan tidak lepas daripada memerhatikan meja makan yang klasik dan unik.

“Kayu pengalas meja makan ini asalnya adalah pintu dapur yang sudah tidak digunakan lagi.

“Daripada disimpan di dalam stor, saya ambil, bersihkan dan jadikannya meja,” katanya yang mahu mengekalkan elemen klasik dalam setiap perincian kemasan serta pemilihan perabot di rumahnya.

Process time in ms: 47