URBAN

Kanak-kanak 'pengemis' terbaik

Kanak-kanak 'pengemis' terbaik




“ABANG boleh bagi sedikit sedekah wang untuk sumbangan sekolah anak-anak yatim dan tahfiz. Abang, abang...bagilah sikit derma untuk kami. Kami memerlukan sumbangan untuk memajukan sekolah kami.”

Demikian kata-kata rayuan salah seorang pengemis kanak-kanak yang memperkenalkan dirinya sebagai Fatimah sambil menghulurkan sekeping nota berwarna kuning kepada setiap individu yang didekatinya.

Bila diperhatikan kandungan nota itu tercatat doa dan alamat sebuah sekolah tahfiz yang tidak jelas kelihatan seperti difotostat tercatat dalam nota berkenaan.

Gelagat Fatimah, penulis perhatikan sehingga dia keluar dari kedai makan pusat membeli-belah Ampang Point, Kuala Lumpur.

Bersamanya di satu sudut hujung jalan sekitar sepuluh kanak-kanak lain yang pasti juga senasibnya dengannya memikul gelaran pengemis pada usia muda.

Apa yang pasti, penulis percaya situasi didekati peminta sedekah cilik seperti itu pernah dialami oleh kebanyakan penghuni di kawasan bandar kota metropolitan negara ini.

Apabila merenung wajah anak kecil itu pasti setiap individu yang didekati kanak-kanak tersebut akan merasa simpati sekali gus akan mengeluarkan sekurang-kurangnya sekeping wang kertas bernilai RM1 untuk dihulurkan.


KOSMO! turun ke lokasi tumpuan peminta sedekah kanak-kanak di Ampang untuk menjalankan siasatan baru-baru ini.


Sikap pemurah masyarakat kita itu juga kadangkala menjadi ‘lubuk dan lombong’ kepada pihak-pihak tertentu untuk mengeksploitasi sifat mudah kasihan penduduk di negara ini.

Apa yang pasti, bijak mengeksploitasi kanak-kanak kerana dari sudut psikologi, orang akan lebih kasihan melihat si kecil menadah tangan dengan muka kasihan dan rupa comot, percaya atau tidak jika penulis katakan dalam sehari seorang kanak-kanak mampu mengumpul di antara RM50 hingga RM70 seorang.

Jika dihitung dengan teliti sekiranya kanak-kanak tersebut bergerak di bawah sindiket, dengan sepuluh orang pengemis kanak-kanak kumpulan sindiket berkenaan boleh mengutip di antara RM12,000 hingga RM18,000 sebulan.

Kiraan itu mungkin sekadar anggaran kasar berdasarkan siasatan yang pernah dijalan oleh wartawan Kosmo! sebelum ini serta pendedahan media, namun penulis tidak menolak kemungkinan kumpulan kanak-kanak tersebut mampu menjana pendapatan lebih daripada itu dalam satu-satu masa mengikut musim dan lokasi.

Seorang ahli perniagaan, Azizi Wahab, 36, berkata, sindiket peminta sedekah itu mengeksploitasi sikap pemurah orang ramai dengan menggunakan hujah dan helah meruntun jiwa bagi meraih simpati.

Bagi Azizi yang tidak mudah terpedaya dengan helah golongan itu, sebaliknya mengambil sikap berhati-hati untuk memberi sumbangan. Dia lebih gemar untuk meneliti peribadi si peminta sedekah pada pandangan kasar sebelum menghulurkan wang.


KEBANYAKAN orang yang merasa kasihan dengan nasib pengemis kanak-kanak ini biasanya akan menghulurkan RM1.


“Saya akan tanya si peminta sedekah sama ada mereka sudah makan atau belum. Kalau belum makan, saya akan belanja mereka makan sebanyak mana yang mereka mahu tapi, saya tidak akan bagi duit kepada mereka.

“Tapi itu bergantung kepada keadaan. Pada pengalaman saya si peminta sedekah yang menipu ini mereka tidak akan menerima pelawaan saya untuk belanja makan sebaliknya, mereka lebih berminat dengan wang. Jika anda tidak percaya cuba anda uji sendiri,” katanya.

Tegas Azizi lagi, pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membanteras kegiatan meminta sedekah yang semakin berleluasa ketika ini terutama sekali kumpulan yang menggunakan kanak-kanak sebagai ejen operasi sindiket tidak bermoral mereka.

“Hasil pemerhatian, saya dapati kumpulan kanak-kanak yang berlegar-legar di sekitar kawasan Ampang Point ini biasanya memulakan operasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Mereka semua ada dalam sepuluh orang yang berumur dari 7 tahun hingga 14 tahun. Mereka juga didapati diawasi oleh dua orang wanita yang berlagak seperti ibu mereka,” katanya kepada penulis ketika ditemubual di Ampang, baru-baru ini.

Seorang jururawat, Noraida Sazali, 29, berkata, sejak bekerja empat tahun lalu di sebuah klinik swasta dekat Ampang Point, kanak-kanak tersebut telah dilihat menjalankan kegiatan meminta sedekah di sekitar kawasan itu hampir setiap hari.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut difahamkan akan datang daripada Ampang Campuran dengan menaiki bas ke kawasan tersebut setiap hari dari awal pagi hingga petang.

Seorang pekerja buruh, Hashim Hamid, 29, berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada orang Myanmar yang beragama Islam.


SELAIN kedai makan, kumpulan peminta sedekah kanak-kanak juga akan menjadikan masjid-masjid sebagai lokasi tumpuan terutama pada hari Jumaat.


“Kanak-kanak ini semuanya tidak bersekolah dan menjalankan aktiviti meminta sedekah sepenuh masa di kawasan sekitar Ampang Point.

“Mereka bergerak secara berdua-duaan bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah dan kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas pula bergerak secara individu,” dedahnya yang juga pernah bersembang dengan kumpulan kanak-kanak terbabit.

Pelayan gerai, Irwan Syah Fadli, 30, berkata, kumpulan kanak-kanak yang meminta sedekah itu pandai mencari mangsa mereka untuk menagih simpati.

“Setiap kali mereka memperoleh sejumlah wang derma mereka pasti akan ke satu sudut kawasan blok kedai berdekatan untuk menyerahkan wang mereka kepada penjaga mereka yang sedang menunggu.

“Jumlah wang itu akan dikumpul dari pagi hingga malam. Kalau dalam sehari dapat 100 orang penderma bagi RM1, jika dijumlahkan mereka akan mendapat RM100. Tapi jika mereka ada 10 orang berapa yang mereka akan dapat?” soal Irwan kepada penulis.

Process time in ms: 46