VARIA

Noraini kongsi tip menjahit

Noraini kongsi tip menjahit


NORAINI menunjukkan koleksi buku menjahit langsir dan masakan tradisi Johor yang ditulisnya.


BARISAN kedai tiga tingkat di Jalan Sri Perkasa 2/1, Taman Tampoi Utama, Johor Bahru, Johor tidak jauh bezanya dengan deretan rumah kedai di kawasan-kawasan lain.

Namun, bagi mereka yang pernah mendalami ilmu jahitan terutama langsir, pasti ia memberi satu kenangan abadi seumur hidup.

Salah satu unit kedai di tingkat dua di situ menempatkan sebuah kedai yang juga akademi jahitan kepunyaan Noraini Margono.

Meskipun usia menginjak 55 tahun, anak kelahiran Pontian itu merupakan seorang wanita yang cekal serta gigih dalam memajukan kerjayanya sebagai tukang jahit langsir selain menjadi guru kepada mereka yang berminat mendalami ilmu jahitan.

Lebih menarik, anak ketiga daripada lapan adik-beradik itu tidak lokek untuk berkongsi ilmu bahkan, bersedia memberikan tip-tip yang telah terbukti berjaya melahirkan ramai usahawan hasil tunjuk ajar tersebut.

Malah, bagi membolehkan lebih ramai wanita atau lelaki di luar sana mendalami bidang jahitan beliau menghasilkan empat jilid buku iaitu Cara Mudah Menjahit Langsir bermula sejak 2006.

"Ilham untuk menghasilkan buku ini tercetus apabila saya pergi mengajar jahitan di kawasan pedalaman atau kampung-kampung. Para peserta mengesyorkan kepada saya agar ilmu dan kemahiran saya dibukukan agar lebih ramai orang mendapat manfaatnya.

"Bertitik tolak daripada itu, saya telah menghasilkan buku berkenaan dan saya tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai hingga jilid pertama dan kedua telah dicetak sehingga lapan kali," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Noraini berkata, buku jahitan memang banyak di pasaran negara, namun bagi buku menjahit langsir ia sukar diperoleh.

Justeru katanya, setelah dipasarkan beliau mendapat maklum balas yang baik daripada para pembeli selain, ramai yang mengucapkan terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu hinggakan mereka boleh menjahit langsir sendiri.

Minat

Katanya, kemahiran menjahit langsir yang dimilikinya adalah hasil minat mendalam terhadap bidang tersebut yang digilap ketika berusia 21 tahun lagi.

Pada ketika itu, dia seorang suri rumah sepenuh masa dan menjahit dijadikan aktiviti untuk mengisi masa lapang. Hasilnya, jiran-jiran yang bertandang di rumahnya telah mengupah Noraini untuk menjahit langsir rumah mereka.

Sejak itu, katanya, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mendapat pelbagai tempahan, selain dipanggil untuk memberi kelas jahitan terutama kain langsir sekali gus menghasilkan buku.

Pada peringkat awal penghasilan buku tersebut adalah untuk golongan pertengahan, namun Noraini kini mampu tersenyum dan bersyukur kerana ia menjadi pilihan banyak pihak dan peringkat umur.

"Sejak menghasilkan buku dan menyertai pelbagai pesta buku, makin ramai orang berminat untuk membeli buku-buku berkenaan selain datang belajar bersama saya.

"Bukan itu sahaja, saya bersyukur apabila syarikat swasta dan kerajaan telah menjadikan buku-buku jahitan saya sebagai bahan rujukan," katanya yang memberitahu antara yang mengunakan bukunya sebagai rujukan ialah Kolej Komuniti.

Menurutnya lagi, keistimewaan buku-buku tersebut adalah kerana ia disertai gambar-gambar yang memudahkan orang ramai memahaminya selain disertakan tip-tip tertentu.

Katanya, dia tidak menyembunyikan rahsia menjahit langsir kerana niatnya adalah untuk mendidik dan berkongsi ilmu dengan orang ramai.

Selain buku berkaitan langsir, beliau juga menghasilkan buku masakan iaitu Masakan Tradisi Melayu Johor yang diadun berdasarkan pengalaman sendiri.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan atau maklumat lanjut berkaitan buku-buku tersebut boleh menghubungi Noraini di talian 019-726 8992 atau melayari laman sosial Facebook Noraini Margono.

Varia!»

Bertakbir dari rumah ke rumah

SETIAP kumpulan takbir mengunjungi hampir 20 buah rumah pada satu malam. Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31