RENCANA UTAMA

Merajuk jika tidak dihiraukan

Merajuk jika tidak dihiraukan




RENUNGAN mamalia berwarna putih kemerahan dengan tompokan bulat kebiruan dan ekornya yang panjang tirus dari jauh sudah membuatkan perasaan membuak-buak untuk mendekati dan menyentuh haiwan itu.

Aneh. Itu perkataan pertama yang terpacul dari mulut melihat kucing bernama Tutankhamun Naked dan Qabilah Osmond Naked kerana tubuh kedua-dua mamalia itu tiada bulu, matanya pula bulat bak buah badam manakala telinganya agak besar jika dibandingkan dengan kucing yang biasa dilihat di negara ini.

Namun, spesies kucing yang memiliki kepala yang kecil dengan leher panjang itu membuatkan perasaan teruja seketika. Apabila disentuh, rasanya umpama kain baldu dan kadangkala seperti memegang lapisan getah.

Itu antara ciri-ciri nyata baka kucing Sphynx yang turut mempunyai kaki yang panjang, kulit kepala dan leher yang berkedut serta tapak kaki yang unik.

Asal usul Sphynx

Mengimbau kembali kemunculan kucing tanpa bulu, ia ditemui di Ontario, Kanada pada tahun 1966 apabila kucing tempatan berbulu pendek yang mempunyai warna hitam dan putih bernama Elizabeth kepunyaan Micalwaith melahirkan seekor kucing jantan tanpa bulu bernama Prune.

Apabila Prune telah dewasa, ia dikacukkan pula dengan ibunya lalu terhasil kucing tanpa bulu malah, setengahnya diimport ke Eropah.

Baka Sphynx pertama yang diimport adalah dari Kanada ke Belanda oleh seorang pembiak kucing, Hugo Herenandez yang memiliki kucing bernama Punkie dan Paloma.


KIRI: Tutankhamun Naked (depan) dan Qabilah Osmond Naked bijak beraksi di depan kamera semasa sesi fotografi.


Dari masa ke semasa, pembiakan kucing itu semakin berkembang melalui proses mutasi dengan beberapa spesies kucing lain agar baka kucing tanpa bulu tidak pupus.

Bagi yang pertama kali melihat mamalia itu, mereka mungkin menganggap kucing berkenaan dijangkiti penyakit. Mungkin juga, ada pihak yang mengandaikan pemiliknya mencukur bulu haiwan terbabit.

Bagaimanapun, seorang pembiak baka Sphynx dari Kajang, Selangor, Norhayati Zakaria, 51, mahu orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai haiwan yang dikatakan agak sukar ditemui di Malaysia itu.

Menjelaskan lebih lanjut, Norhayati memberitahu, antara cabaran memelihara kucing Sphynx adalah usaha mendapatkan baka tulen yang berkualiti dari segi standard daripada pembiak yang sudah berjaya.

"Selain sukar mendapatkan pembiak yang telah berjaya, kos juga memainkan peranan penting kerana ia agak mahal dan baka tersebut perlu diimport dari luar negara memandangkan ia terlalu terhad dan hampir tiada di negara ini.

"Kos tersebut termasuklah harga kucing dan kos pengangkutan di samping pertukaran nilai mata wang yang tinggi," katanya yang memiliki kira-kira tujuh ekor kucing baka Sphynx.

Karakter Sphynx


FADZILAH menjelaskan kewujudan kucing Sphynx disebabkan oleh faktor genetik.


Norhayati yang juga pembiak kucing berdaftar dengan sebuah pertubuhan dunia, Federation International Feline (FIFe), faktor utama dia tertarik kepada kucing berkenaan disebabkan sifatnya yang lincah, sangat manja, aktif dan paling penting spesies ini mempunyai sifat tersendiri.

"Kucing ini suka dibelai dan akan merajuk jika tidak dihiraukan.

"Jika terasa sejuk, haiwan ini bijak mencari tempat yang boleh menghilangkan kesejukan seperti di bawah kain selimut atau tidur di sebelah pemiliknya," ujarnya yang turut memelihara kira-kira 50 ekor kucing pelbagai spesies di rumahnya.

Bagaimanapun terangnya, sebelum memelihara sebarang baka kucing, individu yang berminat memelihara kucing itu perlu memahami serta mempelajari serba sedikit mengenai kucing berkenaan sebagai panduan.

Malah, untuk memiliki baka Sphynx, Norhayati memberitahu, peminat dinasihatkan mendapatkannya daripada pembiak berdaftar sama ada dalam negeri atau luar negara agar ketulenan baka dapat ditentukan dengan baik.

Akuinya yang memelihara baka dari jenis Canadian Sphynx, ada juga kucing yang dibiakkan di dalam negara malah, dia sendiri salah seorang pembiak itu. Namun, bukan mudah melakukannya kerana ada etika tertentu yang mesti dipatuhi.

"Saya membiak Sphynx secara terhad kerana saya tidak mempunyai banyak baka kucing itu selain tidak membiaknya secara komersial," jelasnya.

Melalui pengalaman Norhayati sebelum ini, tidak ada negara tertentu yang dianggap paling baik dalam pembiakan Sphynx kerana hampir seluruh dunia mempunyai pembiak baka Sphynx tulen.

"Kebanyakan pembiak di luar negara tidak mudah menjual baka Sphynx kepada peminat dari negara lain kerana mereka mengutamakan kriteria tertentu.

"Nilai kucing ini sebenarnya ditentukan melalui standard atau profil baka itu sendiri. Jika ia jenis kualiti pertunjukan maka nilainya juga bersesuaian dengan statusnya itu," tuturnya yang juga Setiausaha Kelab Kucing Malaysia.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Aneka Haiwan, Bahagian Pembangunan Komuniti Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Fadzilah A'ini Abdul Kadir memberitahu, kewujudan baka kucing tanpa bulu terbabit disebabkan oleh faktor genetik.

Terang beliau, apabila berlaku kacukan antara ibu dan anak kucing berkenaan melalui proses silang balik (backcrossing), maka akan ada satu hasil anak daripada gen resesif.

Namun, tidak semua kucing Sphynx memiliki gen resesif kerana terdapat juga antara baka itu memiliki gen dominan.

"Gen resesif merujuk kepada gen yang mempunyai ciri-ciri tidak menarik. Sebagai contoh, ia juga juga boleh menyebabkan albino.

"Lain pula bagi situasi kucing ini. Setelah dihasilkan melalui proses silang, ramai pula yang sukakannya dan lama-kelamaan ia disebarkan ke merata tempat," katanya.


SPHYNX bijak mencari tempat untuk memanaskan badan jika kesejukan.


Menurut Fadzilah, kucing Sphynx sebenarnya mempunyai bulu tetapi, ia tidak begitu ketara kerana bulunya sangat halus, pendek serta memiliki warna yang cerah seperti bulu roma (vellus hair) yang terdapat pada bayi atau muka wanita.

"Kucing ini mempunyai bulu terutama di bahagian hidung dan belakang telinga jika diteliti. Oleh kerana kekurangan bulu, kucing ini mudah sejuk," katanya.

Ada sesetengah pihak berpendapat kucing ini sesuai dipelihara individu yang mengalami alergik terutama pesakit asma memandangkan kucing berkenaan tiada bulu.

Bagaimanapun dedah Fadzilah, alergik terhadap kucing itu tetap berlaku akibat penghasilan protein yang dikenali sebagai Fel d1 oleh kucing itu dan selalunya berada dalam air liur dan peluh yang mungkin boleh menyebabkan alahan.

"Bagaimanapun, ia masih selamat dipelihara oleh pesakit asma berbanding kucing yang mempunyai banyak bulu," jelasnya.

Process time in ms: 47