STAILO

FV hab jenama fesyen Asia

FV hab jenama fesyen Asia




SEGALA-GALANYA bermula ketika Vivy Sofinas Yusof, 25, mengikuti pengajian undang-undang di London School of Economic di United Kingdom (UK), tujuh tahun lalu. Dia yang begitu teruja melihat perkembangan fesyen di UK enggan ketinggalan merapikan penampilannya tetapi masih kekal sederhana dan feminin.

Apatah lagi, penduduk UK begitu menghargai hasil kerja pereka tempatan. Proses beli-belah secara talian juga bukan sesuatu yang baru di negara itu berbanding di Malaysia pada masa itu.

“Semasa di UK, saya amat menggemari jenama Topshop dan Zara. Saya sanggup berhabis menggunakan duit belanja yang dikirimkan bapa untuk perbelanjaan harian untuk membeli-belah dan sanggup makan mi segera,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mesra disapa Vivy.

Menurut Vivy, yang berdarah campuran Cina dan Melayu, kedua-dua jenama berkenaan masih menjadi pilihannya. Bagaimanapun, selepas pulang ke Malaysia dua tahun lalu, dia mula menghargai hasil rekaan tempatan yang tidak kurang hebatnya.

“Selepas menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia, saya membantu bapa yang menjalankan perniagaan hartanah. Tetapi, saya tidak menemui kepuasan sebenar kerana minat yang mendalam terhadap fesyen.

“Tiga bulan lalu, saya mewujudkan FashionValet.net (FV) yang menjadi hab rekaan fesyen tempatan. Saya mewujudkan perniagaan ini bersama rakan pengasas yang juga rakan saya di UK, Fadzarudin Anuar dan Asma’ Nasaruddin,” katanya kepada Stailo ketika ditemui baru-baru ini.

Memburu pereka


VIVY SOFINAS menjalankan perniagaan fesyen dalam talian yang memartabatkan koleksi rekaan pereka tempatan.


Mengaku sibuk menjalankan perniagaan pada usia yang muda dan masih lagi membantu menjalankan bisnes keluarga, Vivy mahu terus memburu pereka-pereka tempatan untuk menyertai laman web FV.

“Ketika mula-mula mewujudkan bisnes ini, saya bergerak bersama kumpulan bagi menemui pereka-pereka fesyen tempatan. Pada bulan pertama kami berjaya mengumpulkan seramai 15 pereka tempatan tetapi, waktu itu belum ada pejabat untuk beroperasi.

“Dalam masa dua bulan menjalankan bisnes ini, saya mengupah empat orang pekerja tetap termasuk seorang pengurus iaitu Azwa Elena Azmi, 24, atau Wawa dan Anis Faezah Faid, 21, eksekutif operasi yang bersama-sama bertanggungjawab melancarkan perjalanan bisnes ini kerana saya terlalu sibuk,” kata Vivy yang berperanan sebagai Pengarah Urusan FashionValet.net.

Dengan memiliki FV, Vivy mempunyai peluang berfesyen tanpa had. Dia mengakui berhabis ribuan ringgit setiap bulan bagi memenuhi obsesinya terhadap fesyen.

“Saya memastikan saya memiliki sehelai baju bagi setiap jenama yang saya jual di FV. Bagi saya, rekaan tempatan juga berkualiti dan cantik digayakan tetapi kebanyakannya tidak mempunyai medium untuk memperkenalkan jenama mereka.

“Tetapi, saya masih bersikap selektif dalam memilih rekaan yang menyertai FV. Saya memilih rekaan yang relevan untuk dipakai, sederhana dan tidak keterlaluan. Wawa menjadi orang penting dalam tugas ini kerana kami sering bertukar pendapat,” katanya.

Keseronokan Vivy berganda apabila dapat berkongsi minatnya dengan ramai pengikut blognya. Vivy menggunakan platform tersebut bagi menggayakan jenama kegemarannya. Antaranya termasuklah Jas.C, Mimpikita, Sister Margaritta dan PU3.


HIMPUNAN rantai dijual pada harga yang berpatutan.


Koleksi PU3 antara jenama tempatan yang pantas memikat pencinta fesyen di Malaysia. Ia diasaskan sejak lima tahun oleh pasangan kembar Putri Azalea Ashram Ramli, 29 dan Putri Yasmin. Butik PU3 yang beroperasi di gedung The Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor, bukan sahaja menawarkan koleksi aksesori yang ideal buat golongan muda malah turut menyediakan seleksi busana kasual, dres dan pakaian tradisional baju kurung dan kurung moden.

Sementara itu, butik MimpiKita pula digerakkan oleh tiga adik-beradik yang bercita-cita besar dalam bidang fesyen iaitu Nurul Zulkifli, 27, Amirah, 24, dan Syahira, 29. Bermula dengan perniagaan menerusi laman blog pada bulan Mei tiga tahun lalu, ketiga-tiga anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mampu tersenyum puas apabila berjaya membuka butik MimpiKita di Bangsar, Kuala Lumpur.

Menariknya koleksi beg tangan, pakaian dan aksesori yang ditawarkan di butik MimpiKita begitu eksklusif kerana rekaannya merupakan ilham mereka bertiga. Atas faktor tersebut, label MimpiKita sering menjadi pilihan selebriti tempatan.

Tampil sederhana

Pada masa yang sama, kesemua itu menarik minat Vivy untuk menawarkan produk jenama berkenaan dalam laman webnya, FashionValet.net.

“Walaupun menggemari fesyen dan suka berfesyen, saya masih mengekalkan penampilan sederhana dan feminin. Saya juga mempunyai peraturan dalam berpakaian iaitu tidak memakai baju tanpa lengan atau skirt pendek.

“Imej sopan sudah sebati dengan diri saya,” katanya yang menggemari kaftan.

Dalam pada itu katanya, melalui FV dia mahu memperkenalkan pereka tempatan ke mata dunia dan mahu pengguna Malaysia membuka mata kepada hasil rekaan tempatan.

“Ketika ini, hasil rekaan tempatan di FV telah menembusi Brunei, Singapura, UK, Jerman, Indonesia dan Bangladesh selain Malaysia.


WANITA tempatan kini berpeluang tampil santai, funky, moden dan ranggi dengan koleksi pakaian yang ditawarkan dalam FashionValet.net.


“Ini membuktikan masyarakat luar juga menghargai rekaan fesyen tempatan. Dengan sambutan yang baik, tidak mustahil suatu hari nanti FV juga akan menjadi hab fesyen Asia yang mengetengahkan jenama-jenama Asia,” katanya.

Bagaimanapun, kesibukan Vivy tidak menghalangnya memberikan tumpuan kepada kedua-dua perniagaan yang dijalankan ketika ini.

“Pejabat bapa saya terletak berhampiran pejabat FV di Plaza Damansara. Oleh itu, saya dapat memberikan perhatian kepada kedua-duanya tanpa masalah.

“Saya juga bertuah kerana keluarga menyokong sepenuhnya perniagaan fesyen yang saya jalankan ini,” katanya.

Mengakui terlalu sibuk mengembangkan kerjaya dan fesyen, Vivy tidak akan melupakan maskaranya setiap kali keluar rumah walaupun terpaksa berkejar ke sana ke mari.

“Alat solek yang paling penting bagi saya ialah maskara. Tetapi, saya tidak boros membeli alat solek, cukuplah satu maskara berjenama Dior yang menjadi kegemaran saya sejak dulu.

“Saya juga jarang memakai gincu dan solekan nipis tetapi minum banyak air untuk wajah kekal segar walaupun tidak cukup tidur,” ujar gadis berbibir merah jambu ini.

Tambah Vivy, dia bersyukur kerana kulit wajahnya mudah dijaga dan tidak mempunyai masalah. Dia menggunakan pembersih wajah jenama Simple dan pelembap wajah berjenama Olay.

“Kedua-dua produk ini saya gunakan selepas mengiklankannya di blog. Saya diberi sebulan tempoh percubaan menggunakan produk ini dan ia serasi dengan kulit saya,” ujar Vivy menutup bicara.

Rencana Utama!»

Ketibaan jenazah noktah penantian

ANGGOTA tentera melakukan upacara raptai di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai persediaan menerima jenazah mangsa nahas pesawat MH17.

Pesona!»

Suasana rumah lebih nyaman

BELKA menawarkan sebanyak 60 pilihan warna lapisan kapas dinding.

Varia!»

Pencarian bintang Dugrostar

PROGRAM Dugrostar memberi peluang kepada kanak-kanak menjadi bintang menerusi rakaman seni persembahan.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15