URBAN

Bantu wanita pertahan hak

Bantu wanita pertahan hak




BAYANGKAN senario ini. Anda terlihat jiran anda seorang wanita dengan keadaan wajahnya yang ada kesan luka atau bengkak menjemur pakaian di halaman rumah. Apabila ditanya tentang keadaannya itu, dia cuba mengelak untuk menjawab lalu segera masuk ke dalam rumah.

Dalam kes lain, sepasang ibu bapa melihat perilaku anak gadis anda yang murung, berubah sikap agresif dan tidak mahu didekati. Kali terakhir dia kelihatan riang adalah pada hari sebelum dia keluar bersama teman-teman lelakinya. Adakah anda mengesyaki sesuatu?

Mungkin juga atas pemerhatian sebegitu, Projek Stop Motion: When Does The Violence Begin (Bilakah Keganasan Bermula?) menemui rentaknya.

Dengan logo rona merah menunjukkan wanita yang menunjukkan tapak tangannya, projek itu adalah sebuahhasil seni video yang akan memperjuangkan isu-isu wanita ke dalam ruang kesedaran khalayak ramai.

Ia menjunjung visi untuk memperkasa dan menyokong organisasi dan individu melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam menyebarkan mesej menghentikan keganasan terhadap wanita.

Pelancaran video itu bertujuan memaparkan secara khusus tentang realiti kehidupan wanita di Malaysia dan sikap yang lazim berlaku dalam masyarakat di negara ini.

Pengelola Persatuan Komunikasi Progresif (APC), Lalaine P. Viado menyifatkan, ruang pertembungan budaya keganasan terhadap wanita dengan ICT sebagai kawasan kritikal memandangkan hanya sebahagian kecil aktivis hak asasi wanita terlibat secara aktif.

“Wanita dan perempuan muda menghadapi cabaran yang semakin meningkat dari segi hak mereka terutamanya dalam isu keselamatan. Mereka ‘bersendirian’ apabila memasuki ruang maya,” katanya sempena pelancaran Projek Stop Motion di Tempinis Gallery, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.


IDEA kreatif menjadi mesej berguna kepada masyarakat. (Dari kiri) Ong Jo-Lene, Lim KarMern, Michelle Tam dan Temme Lee.


Tambahnya, keupayaan mereka menerusi kemahiran, pengetahuan dan pembangunan masyarakat adalah penyelesaian yang paling realistik.

“Statistik tepat tentang keganasan terhadap wanita sukar diperolehi, tetapi berdasarkan anggaran, hanya 93 peratus keganasan domestik dilaporkan selepas bertahun-tahun didiamkan,” ujarnya kesal.

Video kesedaran

Justeru, masalah yang serius itu telah diungkapkan secara ringkas dan kreatif melalui tayangan video yang menggunakan teknik animasi stop motion di ruang siber.

Teknik itu merujuk kepada rakaman pergerakan objek yang dimanipulasi hingga menjadikannya satu siri pergerakan dan penceritaan.

Sebenarnya, konsep itu terhasil daripada buah fikiran Temme Lee, Lim Kar Mern dan Ong Jo-Lene yang pada awalnya langsung tidak menyedari perbincangan antara mereka tentang topik itu menjadi pemangkin pelaksanaan projek tersebut.

Dalam tempoh pra-produksi video berkenaan, mereka mengumpulkan seberapa banyak sumber. Itu termasuklah meminta sentuhan seorang teman pembikin filem bebas, Khairil M. Bahar, dan seorang sukarelawan, Michelle Tam.

Selepas enam bulan menyiapkan papan cerita, rekaan set, pengumpulan material dan menggunting kira-kira 1,000 lakaran, cita-cita mereka membuahkan hasil.

Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah berkata, walaupun ringkas dari segi mesej, sokongan dalam talian adalah penting bagi memastikan sasaran pengaruhnya sampai dalam kehidupan masyarakat.

Empower bertindak sebagai pengatur koordinasi dan pengelola projek itu di negara ini.

“Projek itu akan menambahkan lagi inisiatif pertubuhan lain dalam menumpukan usaha ke atas kempen menentang keganasan terhadap wanita.

“Ia sekali gus membuka ruang menterjemah semula maksud keganasan terhadap wanita dan mewujudkan ruang perbincangan dalam suasana yang lebih interaktif,” jelas Maria.

Sokongan dalam talian


SESI pembentangan oleh pereka-pereka video dalam pelancaran Projek Stop Motion: When Does The Violence Begin? di Bangsar.


Video tiga bahagian tersebut akan ditayang secara berperingkat dalam masa enam minggu. Selain mempunyai laman Facebook sendiri, kempen video tersebut turut mendapat kerjasama laman saluran video dalam talian PopTeeVee (popteevee.net), blog komuniti perundangan LoyarBurok (loyarburok.com) dan jenama fesyen pakaian jalanan ChicYamada (chicyamada.com).

Menurut Jo-Lene yang bertindak sebagai salah seorang pengarah projek, video itu adalah medium bagi meningkatkan kesedaran tentang isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita berlandaskan realiti.

“Kami berharap menerusi kempen ini, masyarakat dapat mengenal pasti bentuk keganasan terhadap wanita. Sebelum mereka berhadapan dengan situasi tersebut, mereka perlu mengenal pasti perilaku dan isu-isu yang boleh menyebabkan berlakunya kekerasan,” terang Jo-Lene.

Dia menambah, frasa Bilakah Keganasan Bermula? dipilih kerana mahu para wanita lebih peka. Mereka perlu memahami sesuatu situasi agar dapat bertindak cepat dari peringkat awal seterusnya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Temme pula berpendapat, isu keganasan domestik sering berlaku namun bagaikan satu kelaziman, komuniti tidak mengambil berat tentang masalah orang lain serta menganggap sesuatu yang terjadi itu bukan hal mereka.

Tambahnya, sifat prihatin perlu wujud dalam diri setiap individu demi memastikan persekitaran yang selamat dan tenteram.


SEDUTAN visual daripada salah sebuah video yang dihasilkan mendedahkan penonton mengenai 'ancaman' yang dihadapi wanita dalam kehidupan harian.


“Sekarang ini, wanita disediakan koc merah jambu ketika menaiki tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Pegawai KTM juga akan menghalang lelaki yang ingin masuk ke dalam koc tersebut.

“Semua wanita akan berasa tenang dan selamat. Namun, itu hanya seketika sahaja kerana sebaik sahaja para wanita melangkah keluar daripada koc itu, mereka akan kembali bersendirian dan bercampur semula dengan lelaki,” ujar Temme meminta penilaian ramai.

Sementara itu, tetamu kehormat pelancaran, Datin Paduka Marina Mahathir pula menyeru agar semua pihak bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan setiap anggota komuniti mestilah bertanggungjawab dalam menjayakan kempen tersebut.

“Saya berharap masyarakat dapat membuka mata, tahu hak-hak mereka, cepat bertindak dan sentiasa mengetahui perkembangan semasa dengan membaca surat khabar dan berhubung dengan rakan-rakan,” katanya kepada Kosmo!.

Maka, usaha itu antara lain boleh dicapai apabila pengguna Internet menyaksikan video-video kempen tersebut daripada mana-mana saluran tayangannya.

Dari situ akan terungkai mesej dan terjawab banyak persoalan tentang situasi, waktu dan punca keganasan terhadap wanita.

Orang ramai yang ingin maklumat lanjut tentang tayangan video dan aktiviti terkini yang berkaitan dengan kempen projek boleh mendapatkannya menerusi laman Facebook dengan mencari Stop Motion Project.

Process time in ms: 47