DUNIA

Budak 13 tahun cipta laman mirip Facebook

Budak 13 tahun cipta laman mirip Facebook


MUKA surat Muhamad Yahya Harlan dalam laman salingsapa.com.


BANDUNG - Walaupun baru berusia 13 tahun, seorang budak lelaki di Indonesia, Muhamad Yahya Harlan ternyata hebat apabila dia mencipta laman jaringan sosial mirip Facebook, lapor akhbar dalam talian, Tribunnews.com semalam.

Laman itu yang dinamakan salingsapa.com dapat disiapkan Muhamad yang belajar di Sekolah Alam Bandung, di sini, dalam masa sebulan.

Konsep salingaapa.com hampir menyerupai Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg dari Amerika Syarikat tetapi Muhamad berkata, laman webnya menampilkan beberapa ciri tambahan.

"Pada awalnya, saya menonton berita tentang ada orang Indonesia yang mencipta laman web seperti Facebook dalam bahasa Indonesia.

"Saya terus terfikir, saya juga boleh mencipta laman web serupa, tetapi lebih baik lagi," kata Muhamad ketika ditemui di sekolahnya kelmarin.

Seterusnya, anak sulung pasangan Yan Harlan, 45, dan isterinya, Fidriana, 37, itu mulai 'mengklik' komputernya untuk merancang ciri-ciri laman sosial yang akan dihasilkan nanti.

Dia turut mendapat bantuan daripada ayahnya yang menyumbang idea tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk menghasilkan salingsapa.com.

Kini, kejayaan pelajar cilik itu mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.

Menurut ibunya, Muhammad membentangkan hasil kerjanya itu di hadapan 12 mahasiswa Institut Teknologi Bandung semalam.

"Harapan kami ialah laman sosial ciptaan anak saya ini akan digunakan untuk tujuan kebaikan," kata ibunya. - Agensi

Process time in ms: 31