RENCANA UTAMA

Bida biri-biri melalui Internet

Bida biri-biri melalui Internet

Teknologi komunikasi dan konsep perkongsian maklumat membolehkan perdagangan elektronik berlangsung dalam dunia penternakan.


PARA penggembala tidak lagi perlu mengembara ke lokasi jauh bagi menjual haiwan ternakan mereka. - Gambar hiasan


MEMBELI biri-biri dan anak lembu di Australia dahulunya satu perniagaan sukar. Penggembala terpaksa membawa ternakan yang hendak dijual beberapa ribu kilometer merentasi banjaran yang panas dan jauh untuk menjualnya.

Namun, kini pengusaha ladang boleh membeli kawanan ternakan dengan hanya beberapa klik pada tetikus komputer.

"Dulu, terdapat penternak yang terpaksa berulang-alik tiga hingga lima lawatan untuk membeli biri-biri tetapi kini semuanya boleh dilakukan dalam jangka masa satu jam," kata Pengurus Besar Tapak Jualan Ternakan AuctionPlus, Gary Dick.

Dengan hanya beberapa klik, pembeli-pembeli sekitar Australia, malah para petani yang sibuk bertani boleh membida haiwan pilihan dan membawanya ke tempat mereka merentasi negara yang luas itu.

"Anda boleh membeli bekalan ternakan terus dari meja pejabat menggunakan komputer. Ia adalah satu lagi dimensi baru pembekalan ternakan," kata pengguna laman yang juga pengusaha Sinclair Meats, Steve Sinclair.

Membeli biri-biri dari lokasi jauh bukan sesuatu yang luar biasa dalam amalan membeli-belah secara talian, yang kini tersebar luas di Australia.

Bidaan pada skrin

Seawal 1987, para petani di Australia mendail ke AuctionPlus menggunakan satu nombor telefon tunggal dan sebuah modem. Mereka seterusnya meletakkan bidaan pada skrin komputer, seolah-olah mereka ialah perintis teknikal.

Tetapi pada waktu itu, pembeli-pembeli hanya mempunyai akses kepada data yang ditulis dalam bentuk katalog dan pentafsir perlu melihat sendiri binatang-binatang sebelum memuat turun maklumat ke dalam komputer.

Kini lain pula kaedahnya. Pembeli dapat melihat binatang yang hendak dibeli menggunakan elemen visual iaitu petikan video.

Perkara yang paling kerap berlaku pada masa itu adalah pembeli mungkin akan mendekati ejen pembekal tempatan yang terdekat untuk menggunakan komputer mereka kerana kekurangan sambungan yang sesuai di talian mereka.


SELAIN cara jualan konvensional dan juga bidaan melalui rangkaian web, perdagangan haiwan ternakan turut digiatkan melalui penganjuran ekspo serta pameran.


"Bagaimanapun, cara itu sebenarnya tetap tidak menjimatkan kos kerana mereka masih perlu memandu ke tempat ejen, bermalam di sana, pergi ke bandar dan pulang.

"Tetapi kini, mereka mempunyai komputer riba. Sambil menekan butang, mereka boleh berehat setengah jam dan melihat semula sama ada barangan yang dipilih sudah dimiliki atau tidak. Kemudian, mereka kembali bekerja semula."

Inovasi yang dicetus daripada kemajuan logistik bagi produk pasaran ternakan dari jauh kini beralih ke dalam laman web www.auctionsplus.com.au yang mempunyai 45,000 orang pengguna berdaftar.

"AuctionPlus mengakhiri 'konsep' mengembara beribu-ribu batu dan kembali dengan tangan kosong. Ia juga membantu dari aspek kawalan penyakit kerana ia menyediakan pengangkutan terus dari pembeli kepada penjual," jelas Dick.

Tahun lepas sahaja, AuctionPlus mengendalikan kira-kira 2.2 juta jualan biri-biri dan 167,000 jualan lembu kepada pelanggan-pelanggan di Australia dan luar negara. Pembelian itu adalah melalui urusan di laman web yang menyediakan gambar dan video ternakan, informasi harga dan nasihat pemasaran.

Profesor Shirley Gregor dari Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maklumat, Universiti Kebangsaan Australia berkata, keputusan AuctionPlus untuk meneruskan model e-dagang disifatkan sebagai berwawasan.

"Beberapa orang berpendapat ia agak awal dan mereka yang terlibat mungkin akan berdepan dengan masalah sebagai perintis inovasi.

"Jika mereka tidak mempunyai sejumlah pengguna bagi talian itu, bermakna ia tidak berfungsi secara sepatutnya atau gagal," ujar Gregor.

Pakar e-dagang, Ahmed Imran berkata, AuctionPlus berada pada paras permukaan yang awal, iaitu meliputi catatan kepenggunaan sebanyak tiga peratus bagi pasaran runcit sahaja.

Gelombang kedua

Namun, beliau percaya bahawa gelombang kedua bakal wujud ekoran capaian Internet yang semakin pantas dan diikuti dengan peningkatan penggunaan telefon pintar.

"Australia bukanlah pengguna e-dagang yang terawal. Australia hanyalah pengikut dan bukannya perintis dalam bidang ini," kata Imran, dari Australian National University.

Menurut seorang penganalisis teknologi, Paul Budde, kira-kira 25 peratus pemilik telefon bimbit di Australia sekarang menggunakan telefon mereka untuk membeli-belah dalam talian.

"Generasi Y khususnya hidup dalam satu rangkaian sosial digital yang menyaksikan peralatan mudah alih akan menjadi alat komunikasi utama menjelang 2020.

"Kalau bercakap mengenai konsep e-dagang yang tidak lagi relevan pada masa akan datang, sebenarnya perdagangan akan terus berlaku," ulasnya.

Untuk pelanggan biri-biri seperti Sinclair, kaedah lelongan elektronik adalah salah satu cara lama dan amat berguna dalam urusan berjual beli, terutama sekali semasa kekurangan bekalan.

"Melalui tempoh sukar tersebut, adalah berguna jika seseorang mempunyai akses terus dengan AuctionPlus kerana rangkaiannya menyeluruh di negara itu, dari Tasmania hinggalah ke Queensland," jelas Sinclair.

Process time in ms: 16