RENCANA UTAMA

Penunggang motosikal besar cantik

Penunggang motosikal besar cantik




SEKALI pandang mungkin seperti tidak percaya, wanita bertudung yang lemah lembut itu mampu menunggang motosikal berkuasa tinggi seperti Kawasaki Z1000.

Menariknya motosikal itu bukan sahaja ditunggangnya kerana suka-suka, sebaliknya dia sememangnya obses dengan motosikal berkuasa tinggi sehingga sanggup menabung duit untuk membelinya.

Apa yang pasti, imej bertudung tidak langsung menjadi penghalang kepada Rika Ismail untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Jelas wanita kelahiran Jakarta, Indonesia itu dia kini sudah memiliki sebanyak dua buah motosikal berkuasa tinggi yang dikongsi bersama suaminya.

“Dua motosikal jenis Kawasaki ER6 dan Kawasaki Z1000 pada kebiasaannya digunakan untuk bersiar-siar bersama suami mahupun rakan-rakan.

“Jika saya pakai Z1000 suami akan pakai ER6,” katanya ketika ditemui di KL Bike Week 2010 di tempat letak kereta Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur baru baru ini.

Minat yang pada mulanya didorong oleh suaminya, Fakrudden Amran, 34, kini secara semula jadi sudah sebati dalam jiwanya.

Bercerita lebih lanjut ahli perniagaan berusia, 28 tahun ini memberitahu, dia pernah memiliki motosikal Kawasaki Z6 dan Kawasaki ZX10 sebelum ini.

Memiliki dan menunggang motosikal berkuasa tinggi memberi kepuasan kepada Rika kerana dapat menghilangkan tekanan.


FATEN membantu Rika menunggang jentara Kawasaki Z1000.


Malah, akui wanita berkulit putih itu, kecintaannya terhadap aktiviti motosikal berkuasa tinggi menyebabkan dia juga turut berminat modifikasi motosikal itu.

“Masa Kawasaki Z1000 belum dapat lagi, saya sudah membeli ekzos daripada jenama Two Brother.

“Bagi saya, kalau bunyi senyap pun bahaya juga sebab nanti kenderaan lain tidak perasaan kehadiran kita,” ujarnya.

Kerana Maria Mariana

Lain pula bagi Ruby Ellyana, Anwar. Oleh kerana terpengaruh dengan filem Maria Mariana suatu ketika dahulu telah membuat dia terpikat untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Filem yang menampilkan pelakon wanitanya Ziana Zain dan Erra Fazira menunggang motosikal berkuasa tinggi mendorong ejen hartanah tersebut untuk memiliki motosikal besar.

Wanita berusia 34 tahun itu, sanggup mengorbankan keinginan lain demi untuk membeli sebuah motosikal yang lazimnya digunakan oleh golongan lelaki.

Memiliki motosikal Yamaha Virago 535 sejak tiga tahun lalu pada harga RM13,000 cukup memuaskan hati wanita berjiwa kental itu.

Jelas Ruby Ellyana, sejak membeli motosikal itu dia telah menghabiskan wang sakunya kira-kira RM5,000 bagi mencantikkan motosikal tersebut.

“Antara aksesori asal yang telah saya tukar seperti tayar yang lebih lebar, handal monkey bar dan rim bersaiz 16. Saya kini sedang berusaha untuk membeli motosikal idaman, Harley Davidson Road Star 1,200,” katanya.

Katanya, jika tiada apa-apa masalah dia akan membeli motosikal idaman itu pada tahun ini juga.


PENYANYI Fauziah Latiff dan penyampai radio, Linda Onn antara bintang popular yang turut berkongsi minat dalam sukan pemotoran berkuasa tinggi.


“Nanti kalau dah beli motor itu, Virago ini tetap saya simpan sebab Virago memang tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan harian,” tambahnya.

Ceritanya lagi, antara kenangan manis sepanjang berkecimpung dengan hobi itu ialah dapat bawa kanak istimewa bersiar-siar baru-baru ini.

“Seronok dapat tengok mereka tersenyum dan puas hati berjalan dengan kami. Kenangan manis itu terpancul apabila melihat senyuman di wajah anak-anak kecil di sepanjang perjalanan terutamanya semasa Charity Ride di sekolah Yaakob Latif Taman Maluri, Cheras.

“Antara impian lain saya ialah mahukan penunggang atau bikers membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya daripada kumpulan motosikal berkuasa tinggi, Pilgrimz MG.

Tambah Ruby Ellyana, aktiviti itu telah menambah kenalannya di seluruh negara, Brunei, Indonesia dan lain-lain.

Pernah terlibat dalam kemalangan bersama sebuah kereta pada tahun lalu, namun ia sedikit pun tidak melenturkan minat Ruby Ellyana untuk meneruskan hobi rangginya itu.

“Walaupun dalam kemalangan itu saya hanya cedera ringan tetapi pengalaman itu banyak memberi pengajaran kepada diri saya.

“Antaranya lebih berhati-hati ketika menunggang dan harus sentiasa peka dengan gerak geri pemandu lain,” katanya.


DARI kiri: Rika, Ruby Ellyana dan Faten di samping motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Z1000 dan Yamaha Virago 535.


Bagi Faten Jaafar, 41, yang merupakan penunggang motosikal Kawasaki ER6, sebagai penunggang dia amat menitikberatkan aspek keselamatan.

“Saya sentiasa teringat pesanan seorang rakan bila menunggang walaupun jarak perjalanan dekat kita perlu mengenakan pakaian lengkap.

“Maksud saya pakaian lengkap itu seperti sarung tangan, kasut dan sut pakaian,” katanya.

Jelasnya, walaupun kawannya yang bernama Ismail itu telah meninggal dunia beberapa tahun lalu, pesanan dan tunjuk ajar sentiasa melekat di hatinya.

Selain tiga wanita itu, beberapa artis wanita popular juga mempunyai minat yang sama.

Penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu, Fauziah Latiff sudah lima tahun terlibat dalam aktiviti tersebut manakala penyampai radio, Linda Onn baru berjinak-jinak hampir enam bulan lalu.

Infiniti!»

Projek robotik pelajar ke Rusia

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.

Varia!»

KLwyse imbau nostalgia silam

Pos Malaysia akan meraikan sambutan 160 tahun penggunaan setem di negara ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31