HIBURAN

Farid bikin Tiz berdebar

Farid bikin Tiz berdebar




SELAMA ini, media massa menjadi perantara buat Tiz Zaqyah dan Farid Kamil mengetahui perkembangan cerita masing-masing. Biar bergelar pemain di lantai seni sama, ironinya, dua pelakon muda yang cukup berbakat ini belum berpeluang dipertemukan dalam sebarang projek.

Selepas lebih setahun Tiz yang membawa nama lengkap Siti Zaqyah Abdul Razak menggendong tanggungjawab sebagai pelakon, hanya kini dia berjaya disatukan dengan pemuda tinggi lampai itu menerusi telefilem hasil garapan Khabir Bhatia yang berjudul 7 Lagu.

Menerusi perjalanan telefilem berdurasi 90 minit itu, Tiz yang menerajui karakter Tania manakala Farid (Farhan) menjadi pasangan kekasih yang mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah rendah. Bunga cinta mereka cukup utuh sehingga mewangi mencapai fasa dewasa.

Kali pertama ‘berpacaran’ dengan Farid dalam telefilem tersebut, Tiz tanpa berselindung mengaku hatinya kekok pada awal pertemuan dengan Farid di lokasi penggambaran. Meskipun babak mereka sekadar memakan masa tiga hari, ia bagaimanapun tetap memahat kenangan buat dirinya.

“Sejujurnya, saya gementar apabila diberitahu oleh Khabir yang saya bakal menjadi kekasih Farhan yang merupakan lakonan Farid. Saya sendiri tidak tahu kenapa boleh timbul perasaan debaran ini. Lagipun, sebelum ini, saya tidak pernah bertemu secara empat mata dengan pelakon itu di luar set.


TELEFILEM 7 Lagu menyaksikan gandingan buat pertama kali Farid Kamil dan Tiz Zaqyah.


“Barangkali, sebab saya punya tanggapan awal bahawa Farid sebagai seorang lelaki bersahaja dan ada waktu kelihatan serius di alam realiti, ia secara tidak langsung mempengaruhi fikiran saya ketika pertama kali bertemu dengan dia dalam penggambaran telefilem 7 Lagu.

“Namun, keserasian antara satu sama lain mudah saja wujud tambahan pula Farid tidak kedekut untuk memberi tunjuk ajar kepada saya yang masih baru dalam bidang ini. Tiga hari berlakon dengan aktor ini, saya anggap waktu agak terhad bagi melakukan latihan.

“Begitupun, kami cukup bertuah kerana akhirnya mampu membangunkan beberapa babak romantis sebagai pasangan kekasih dengan jayanya tanpa berdepan masalah,” jelas Tiz yang menjalani penggambaran telefilem 7 Lagu bersama Farid sekitar Ogos tahun lalu.

Mengulas tentang penyatuan mereka, teman lelaki kepada pelakon jelita, Diana Danielle itu mengaku cukup senang dapat bekerjasama dengan Tiz. Biar kali pertama dipertemukan, hakikatnya, Farid dan Tiz tidak mencuri waktu panjang memunculkan keserasian antara satu sama lain.

“Telefilem 7 Lagu memberi peluang pertama kepada saya bekerja sekali dengan Tiz. Ini memberi peluang kepada kami untuk berkomunikasi. Pendapat peribadi saya, dia ialah seorang individu yang mudah menyesuaikan diri dengan situasi atau persekitaran baru.

“Sedikit mengejutkan kerana awal kami bertentang mata, saya dan Tiz harus melibatkan diri dengan adegan intim sebagai pasangan. Sebaik saja dia menzahirkan wataknya, ia memudahkan tugas saya merealisasi karakter Farhan tanpa mengalami masalah.

“Yang pasti, saya selesa apabila berpeluang kerja sekali dengan Tiz. Saya akui dia sebagai pelakon berbakat besar biar masih baru dalam lapangan seni,” kata Farid.


SEBAGAI pelakon yang boleh dianggap masih baru berbanding Farid, Tiz teruja Farid dapat memberikan tunjuk ajar dalam ilmu lakonan.


Kreativiti Khabir

Umum tahu, Tiz sudah beberapa kali berlakon di bawah arahan Khabir Bhatia termasuk drama rantaian, Nur Kaseh yang dianggap landasan awal dirinya lebih dikenali di cabang seni tanah air. Namun, lain pula buat Farid yang pertama kali bekerjasama dengan sutradara popular tersebut.

Jejaka berusia 30 tahun itu sebelum ini mengaku pernah tersilap percaturan apabila bersikap skeptikal terhadap pengarah dari luar. Dia sering mempersoal kekurangan anak tempatan yang juga punya bakat dan skil pengarahan sendiri berbanding sang pengarah dari negara asing.

Keraguan Farid semakin memuncak selepas populariti Khabir mula dicanang umum dan menerima pujian tinggi melangit. Ingin mengetahui keistimewaan pengarah itu, dia nekad menonton filem garapan Khabir yang berjudul Sepi.

“Selepas menonton filem ini, saya dapati ada sesuatu yang membuatkan saya amat tertarik dengan kualiti kerjanya. Ideologi Melayu Khabir begitu dekat. Lantaran itu, saya bercita-cita untuk berlakon di bawah arahannya yang dianggap sebagai pengarah serba boleh.

“Maka, tidak hairan apabila saya mendapat tawaran berlakon dalam telefilem 7 Lagu, ia umpama bulan jatuh ke riba. Melihat nama pengarahnya, saya tanpa membuang masa terus bersetuju tanpa melihat skrip terlebih dulu,” spontan ungkap Farid cukup berpuas hati.

Berkongsi momen berlakon dalam 7 Lagu, Farid yang sempat menjalani pengalaman berlakon dalam sel tahanan selama setengah hari bagaimanapun terpaksa mengorbankan perasaan gundahnya semata-mata ingin menghidupkan watak sebagai individu bermasalah.


AKTOR yang juga pengarah ini begitu mengagumi kredibiliti pengarah Khabir Bhatia.


“Saya gementar sebaik saja diberitahu oleh pengarah kena menjalani penggambaran dalam penjara. Bayangkan, saya tidak suka dengan tempat ini. Tetapi, nasib saya baik apabila sel tahanan digunakan ini belum pernah menempatkan banduan,” cerita Farid dalam nada lega.

Sementara itu, bagi Tiz yang sudah terbiasa bekerjasama dengan Khabir, wanita berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengaku masih belum mengerti keseluruhan setiap idea berada dalam minda Khabir sebagai individu kreatif. Malah, dia cuba memahami setiap kehendak pengarah berkenaan hingga ke saat ini.

“Namun, saya akui selesa bekerja sekali lagi dengan Khabir. Kalau ikut, dia seorang pengarah yang cukup tahu selok belok bidang kerjanya merangkumi aspek lakonan, teknikal dan sinematografi. Ini kelainan dimiliki Khabir.

“Dia selalu memberi bimbingan kepada saya tentang cara pengawalan emosi dalam lakonan. Justeru, baik saya atau pelakon lain bekerja dengan Khabir, kami tidak sesekali akan terpesong daripada watak diberi,” tutur Tiz yang selalu diingatkan pengarah itu soal keseimbangan lakonan.

Selain Farid dan Tiz, telefilem yang bakal bertandang di Astro Citra (saluran 131) pada 30 Januari ini turut mengenengah deretan pelakon popular seperti Emelda Rosmila, Sofi Jikan, Corrie Lee, Fimie Don, Azhan Rani, Fazley, Kuza, Mahmud Ali Bashah dan Sherie Merlis.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 47